Pasangan kontroversi, Aliff Aziz dan Bella Astillah akhirnya sah bercerai talak satu kali kedua hari ini, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 1.11 tengah hari.
"Bismillahirahmannirahim, saya Muhammad Aliff bin Aziz menceraikan isteri saya Dayang Nabellah Awang Astillah dengan talak satu mulai hari ini," lafaznya di hadapan hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Aliff dan Bella melalui peguam masing-masing telah bersetuju untuk mendatangani perjanjian untuk menyelesaikan kes mereka secara baik.
Antara kandungan yang termaktub dalam perjanjian tersebut adalah defendan (Aliff) setuju untuk hadir ke mahkamah bagi melafazkan cerai.
Bella bersetuju melepaskan hak nafkah edah, mutaah, nafkah tertunggak dan hutang perkahwinan.
Aliff juga bersetuju untuk memberikan hak penjagaan penuh kedua anak mereka kepada Bella sebagai ibu kandung serta tidak menuntut nusyuz terhadapnya.
Sewaktu hakim bertanya seandainya mereka berdua ingin bersalaman sebelum lafaz cerai dibacakan, kedua-dua mereka enggan berbuat demikian.
Sementara itu Aliff ketika ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya kerana berjaya menyelesaikan kes ini.
"Saya harapkan orang di luar sana mendoakan yang baik-baik," katanya yang kini mengambil keputusan untuk berehat dan tinggal di Singapura.
Bagi Bella pula dia lega kerana hari ini merupakan hari terakhir dia hadir ke mahkamah untuk kes penceraiannya.
"Alhamdulillah selesai sudah. Saya bersyukur kerana urusan hari ini dipermudahkan. Saya percaya ramai orang yang sudah penat apatah lagi saya sendiri," katanya.
Ditanya kenapa dia tidak mahu menuntut sebarang nafkah daripada Aliff, kata Bella dia enggan memanjangkan masalah di antara mereka.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa lagi daripada Aliff. Sekarang adalah fasa untuk 'move on'. Banyak lagi perkara yang saya ingin lakukan dengan anak-anak," ujarnya.
Terdahulu rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian ramai selepas Aliff ditangkap khalwat bersama sahabat Bella iaitu aktres Ruhainies di kediamannya di Pavilion Bukit Bintang.
Bella kemudian memfailkan penceraian pada Mac lalu. Mereka sepatutnya bercerai pada April lalu, namun Aliff mengambil keputusan untuk tidak melafazkan cerai terhadap Bella dan mahu menjalani proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Kes kemudian ditangguh sehingga 13 Jun bagi proses keputusan JKP, namun kedua-dua mereka memilih untuk bercerai cara baik pada hari ini. - Getaran, 13 Jun 2024
Foto : Helmi Anuar
