Berita Terkini

46 minit yang lalu: 5 individu nyaris maut pokok tumbang hempap kenderaan 47 minit yang lalu: Agong nasihat umat Islam elak bazir makanan di bulan ramadan 47 minit yang lalu: MBA gesa kerajaan percepat program biodiesel B20 di seluruh negara 48 minit yang lalu: Cadangan MRSM berbayar, kos haji tumpuan Dewan Rakyat hari ini 48 minit yang lalu: Malaysia sedia bekerjasama dengan Afghanistan - PM

IKUTI KAMI


Buaya: Antara Mitos Dan Kebaikannya

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Feb 2021 4:26PM

Aksi buaya menyambar makanan di Taman Buaya Jong yang terletak di Siburan, kira-kira 28 kilometer dari Bandaraya Kuching pada 4 Februari. Gambar: Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUCHING: Sebut sahaja nama buaya, pasti kita berasa gerun kerana reptilia itu sering digambarkan sebagai haiwan purba yang ganas.

Seekor buaya betina boleh membesar sepanjang tiga meter manakala buaya jantan tiga hingga enam meter dengan berat 640 kilogram (kg) sehingga 1,100kg.

Di Sarawak, oleh kerana saiznya yang besar, sang bedal ini diberikan gelaran sebagai ‘Bujang Senang’ dan mempunyai legendanya yang tersendiri.

Mengikut mitos kaum Iban, Bujang Senang adalah jelmaan pahlawan Iban yang disumpah menjadi buaya serta menyimpan dendam untuk membunuh semua keturunan musuhnya jika mereka berada di dalam air (sungai).

Sehingga kini, kaum Iban di Sarawak masih percaya dengan mitos tersebut dan tiada sesiapa pun yang berani memakan daging buaya kerana dipercayai sang bedal itu boleh menghidu bau manusia yang memakan atau membunuh ‘saudaranya’.

Bukan sahaja kaum Iban yang percaya dan takut dengan reptilia itu, malah majoriti daripada masyarakat di bumi Kenyalang ini juga tidak berani membunuh atau memakan daging buaya kerana dimomokkan dengan mitos tersebut.

Malahan sukar untuk menukar pemikiran atau perspektif masyarakat mengenai ancaman buaya, memandangkan konflik antara manusia serta buaya sememangnya wujud sekian lama.

Perkara tersebut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Zolkipli Mohamad Aton dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, masyarakat perlu belajar untuk menerima hubungan yang ‘harmoni’ dengan buaya sambil menjaga keselamatan diri.

“Buaya sebenarnya tidak akan menganggu manusia kerana mereka mempunyai habitat sendiri, namun kita manusia sering menceroboh kawasan mereka untuk mendapatkan sumber makanan, apabila habitat atau sarang diganggu maka reptilia ini akan bertindak agresif serta mampu mengancam keselamatan manusia,” katanya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SFC pada tahun 2012 hingga tahun 2014 yang meliputi 45 batang sungai di Sarawak, serta hasil pemerhatian di sepanjang 2,108.38 km sungai  yang dikaji, sejumlah 2,236 ekor buaya berjaya dikesan.

Hasil kajian itu juga membuktikan kenaikan ketara populasi buaya di sungai yang turut membuktikan kejayaan usaha pemuliharaan reptilia ini di Sarawak.

Zolkipli berkata, Sungai Batang Samarahan merekodkan angka tertinggi, dengan keboleh munculan buaya sebanyak 108 kali.

Beliau menambah, kekerapan kemunculan buaya bagaimanapun menjadi kebimbangan penduduk terutamanya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Sarawak yang menjadikan sungai sebagai laluan utama dan mencari rezeki.

“Para nelayan kecil berasa terancam dari segi keselamatan namun disebabkan kelangsungan hidup untuk mencari rezeki, mereka terpaksa memberanikan diri dan berwaspada.

“Apabila berlaku serangan buaya terhadap manusia, maka lumrah kita sebagai manusia akan menyalahkan serta membenci buaya tanpa memikirkan apakah punca haiwan tersebut bertindak agresif,” katanya sambil menambah, sepanjang tahun 2020, SFC menerima sebanyak 12 aduan mengenai ancaman buaya.

Program memahami, mengenali dan memulihara buaya

Untuk rekod, pada tahun 1980-an, masyarakat di negeri ini pernah digemparkan dengan kejadian seekor buaya ganas bergelar Bujang Senang yang mendiami sungai Batang Lupar di Sri Aman yang menyerang dan membaham beberapa orang mangsa.

Di Sarawak, aktiviti pemburuan atau pembunuhan reptilia itu tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kecuali ada risiko ancaman keselamatan kepada kehidupan manusia.

Mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa dan tempatan, pelbagai aktiviti, termasuk pemburuan, menangkap, menjual, malah memelihara haiwan berkenaan boleh  dikenakan hukuman dan penjara kerana buaya merupakan haiwan terlindung.

Mengikut ordinan yang dipinda pada tahun 1998, mana-mana individu yang didapati memburu, membunuh, menangkap, menjual, mengimport, mengeksport, memelihara atau menyimpan bahagian atau organ buaya tanpa lesen sah boleh dihukum satu tahun penjara dan denda tidak lebih RM10,000.

Menurut Zolkipli, SFC berusaha untuk mendidik masyarakat melalui Program Memahami, Mengenali dan Memulihara (3M) buaya serta menerima kewujudan buaya sebagai pengimbang ekosistem alam.

Dari sudut saintifik, kata beliau, ekosistem dalam sungai tidak akan seimbang sekiranya populasi buaya berkurangan.

Ternak buaya

Mengulas lanjut, Zolkipli berkata masyarakat sepatutnya melihat kewujudan buaya dari sudut positif iaitu melihat buaya sebagai sumber rezeki melalui perniagaan penternakan buaya.

Beliau berkata, kulit buaya mempunyai nilai yang tinggi di pasaran antarabangsa namun untuk memastikan kulit buaya tersebut menembusi pasaran ia perlulah memenuhi kriteria serta standard yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, penternakan buaya perlu dijalankan secara profesional dengan cara yang betul selain mematuhi piawaian,” katanya.

Zolkilpi berkata SFC mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang menternak buaya supaya memohon permit.

“Tidak apa kalau tidak mempunyai kepakaran mengenai buaya, kita (SFC) akan ajar cara memahami buaya sebelum membolehkan anda membuka ladang penternakan buaya.

“Syarat pertama, mohon kebenaran dari Pengawal Hidupan Liar SFC seterusnya pastikan anda mempunyai kawasan yang sesuai iaitu kawasan yang  dikhaskan untuk tujuan itu,” tambanya.

Sementara itu, Pegawai Penglibatan Antarangsa SFC, Rambli Ahmad berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2012-2014, dianggarkan sejumlah 500 ekor buaya dibenarkan untuk dituai setiap tahun.

Jumlah tersebut, kata beliau, adalah lima peratus daripada anggaran sejumlah 13, 507 ekor buaya yang perlu dikekalkan.

Selain itu, bagi tempoh tiga tahun pertama (selepas memperolehi permit penternakan buaya), sejumlah 2,500 biji telur buaya atau 750 ekor buaya yang baru menetas atau 375  ekor yang berusia satu tahun boleh diambil untuk tujuan penternakan.

“Sebenarnya untuk membolehkan kulit buaya itu mempunyai nilai yang tinggi, usia buaya yang sesuai dituai mestilah yang berumur tiga tahun, sama ada untuk kulit atau pun dagingnya.

“Kalau buaya yang di sungai itu sebenarnya sudah tidak ada nilai, jadi tiada untung pun anda membunuhnya untuk dijual,” katanya.

Beliau menambah, buaya yang layak dituai juga perlu memenuhi kriteria, antaranya mesti mempunyai kulit yang cantik agar mampu menebusi pasaran antarabangsa.

Antara industri fesyen ‘high end’ yang memerlukan kulit buaya ini adalah di Itali, Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis bagi jenama mewah seperti Louis Vuitton, Hermes, dan Birkin.

Cara penternakan

Rambli mengambil contoh seperti di Australia, penduduk tempatan dibayar sejumlah AS$30 (kira-kira RM121) untuk sebiji telur buaya yang dijual kepada penternak buaya.

“Jadi sumber pendapatan penduduk di kawasan itu bergantung kepada hasil telur buaya, secara automatiknya penduduk setempat perlu menjaga populasi buaya di kawasan itu supaya reptilia itu dapat bertelur.

“Itulah salah satu sudut positif dan kebaikan menjaga populasi buaya kerana ia mampu menjadi punca pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Turut senada dengan beliau, Timbalan Ketua Pegawai  Eksekutif I SFC, Oswald Braken Tisen, berkata, perkara itu yang mahu SFC perkenalkan di Sarawak dengan menyakinkan orang tempatan untuk menceburi perniagaan  penternakan buaya seperti yang dilakukan oleh penduduk di Australia.

“Setakat ini, penternak buaya yang memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa hanyalah Jong’s Crocodile Farm, itu pun dalam jumlah yang sedikit.

“Jadi sahutlah cabaran kami (SFC). Gunakan buaya yang ada di negara kita sebagai salah satu punca rezeki. Jika kurang kepakaran, SFC akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar bagaimana untuk membuka ladang penternakan buaya secara profesional agar boleh menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurut Oswald, Kemboja mempunyai ramai penternak buaya tetapi disebabkan tidak dibuat dengan cara yang betul, maka sukar untuk mereka menjual hasil tuaian ke pasaran antarabangsa.

“Difahamkan, setakat ini hanya penternak di Australia dan Indonesia sahaja yang mampu menghasilkan kulit buaya yang berkualiti tinggi bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Warga Emas Cedera Digigit Buaya Ketika Mengambil Wuduk

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Komitmen MPOGCF Ke Arah Mitigasi Hubungan Manusia-Gajah

3

Semasa 2 bulan yang lalu

Perhilitan Pantau Kehadiran Buaya Di Pantai Labuan

4

Rencana 6 bulan yang lalu

Hilang Habitat, Kurang Sumber Makanan Antara Faktor Konflik Manusia-Buaya Di Sabah

Sorotan

1

Tambang Bas Sekolah: Jangan ‘Cekik Darah’, Ikut Tempoh Perkhidmatan, Adakan Perbincangan

2

Batal Pengecualian Cukai: Dakwa Muhyiddin Berniat Jahat, Guan Eng Lapor Polis

3

Pemuda UMNO Lapor Polis Pembukaan Kelab Pamer Thai Hot Guy, ‘Cukup-Cukuplah’