Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mencari Ketenangan Menerusi Terapi Hutan

Rencana Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 21 Mar 2024 8:40PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bagi pencinta alam, peluang menjejakkan kaki ke dalam hutan sama ada untuk aktiviti merentas hutan mahupun pendakian pastinya amat mengujakan di samping menikmati keindahan pelbagai spesies flora dan fauna.

Jiwa terasa lapang meninggalkan segala lelah kehidupan di tengah-tengah 'hutan batu', rutin kehidupan yang sentiasa sibuk, beban kerja serta desakan hidup dan hingar-bingar kesesakan jalan raya yang boleh sahaja menjadikan darah menyirap.

Ancaman pencemaran serta peningkatan suhu akibat semakin kurang kawasan hijau yang rakus ditelan arus pembangunan semakin terasa apabila negara dilanda cuaca panas, membuatkan sesetengah warga kota 'melarikan diri' ke dalam hutan sebagai terapi diri dan minda. 

Damainya dapat menghidup udara segar dengan dikelilingi rimbunan pepohon hijau, itulah pengalaman peribadi penulis tatkala mengikuti program meditasi anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Antarabangsa Viriyachan, sebuah pusat permukiman eksklusif di Dusun Tekali, terletak kira-kira 20 minit dari Kampung Sungai Tekali (Hulu Langat), baru-baru ini.

(Pusat Antarabangsa Viriyachan (Viriyachan International Centre) hanya dibuka untuk aktiviti meditasi dan keagamaan Buddha dan tidak dibuka untuk lawatan umum)

Sebahagian daripada peserta sebuah program meditasi melakukan 'Terapi Hutan' atau 'Forest Bathing'. - gambar Phwah You Yang
Sebahagian daripada peserta sebuah program meditasi melakukan 'Terapi Hutan' atau 'Forest Bathing'. - gambar Phwah You Yang

Penerokaan penulis dan 80 peserta program yang rata-rata semuanya adalah pengamal meditasi ke dalam hutan pada kali ini lain daripada yang lain, apabila kami memilih untuk 'merehatkan minda' dan melakukan terapi hutan atau forest bathing. Semuanya ini dilakukan menerusi meditasi dalam hutan bagi merasai ketenangan alam semula jadi. 

Meskipun cuaca sedikit membahang sebelum memasuki ke kawasan hutan berdekatan pusat itu untuk program yang diatur, suasana bertukar menjadi nyaman apabilla dikelilingi rimbunan pohon hijau dan langkah kaki membawa kami menyusuri denai kecil, merentasi batu-bata di atas sungai serta menaiki tangga kecil.

'Orkestra' Alam

Setelah 20 minit menempuh perjalanan merentasi denai hutan, kami tiba di sebuah tapak konkrit sebesar gelanggang bola keranjang berhadapan dengan sebuah kolam kecil yang dikelilingi dengan batu-batu besar serta rimbunan pokok buluh di belakangnya.

Kami diminta untuk memilih sudut kegemaran untuk melakukan terapi hutan menerusi meditasi selama 30 minit bagi aktiviti pernafasan dan seterusnya, menikmati suasana tenang dengan ditemani pepohon hijau di sekeliling gelanggang. 

Peserta perlu menempuh perjalanan merentasi denai hutan sebagai sebahagian daripada terapi hutan. - gambar Phwah You Yang
Peserta perlu menempuh perjalanan merentasi denai hutan sebagai sebahagian daripada terapi hutan. - gambar Phwah You Yang

Bunyi burung berkicauan, desiran daun, aliran air dari kolam ke sungai dengan sekali-kala disusuli dengan bunyi hidupan liar di hutan itu, seolah-olah membentuk 'orkestra' alam yang begitu padu, menambah ketenangan jiwa penulis ketika sesi terapi hutan itu.

Suasana persekitaran hutan yang begitu nyaman dan hijau membuatkan kami seakan tidak mahu beredar meninggalkan kawasan yang dipenuhi kehijauan hutan.

Tidak hairanlah, berdasarkan artikel Ketua Laboratori Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman 'Alam Sekitar Sebagai Terapi Alternatif Kesihatan Mental' dalam Jurnal Psikologi dan Kesihatan Sosial 2019, trend terkini merawat kesihatan mental adalah dengan mendedahkan pesakit kepada alam semula jadi, selain rawatan menerusi ubat-ubatan.

Terapi Hutan

Bagi pengasas Viriyachan International Centre Ng Kian Huat, alam semula jadi seperti kehijauan pohon dan kepelbagaian biologi di dalam hutan sememangnya dapat memberikan impak keselesaan dan nyaman, di samping dapat menyejukkan suhu bumi. 

Beliau yang banyak membantu NGO dalam menganjurkan program meditasi dan terapi hutan mengakui, rimbunan kehijauan, kicauan burung dan deruan air mengalir juga dapat meningkatkan kadar fokus dalam diri, menenangkan minda serta memberi kesan positif kepada otak.

Pengasas Viriyachan International Centre (Pusat Antarabangsa Viriyachan) Ng Kian Huat. - gambar Phwah You Yang
Pengasas Viriyachan International Centre (Pusat Antarabangsa Viriyachan) Ng Kian Huat. - gambar Phwah You Yang

"Sejak tahun 2018, kami mengadakan pelbagai program berasaskan terapi hutan yang disertai oleh kanak-kanak sehinggalah warga emas.

"Kami mendapati apabila kanak-kanak mendekatkan diri dengan alam semula jadi, mereka akan menjadi lebih tenang, gembira dan fokus dalam proses pembelajaran kerana dikelilingi alam semula jadi yang dapat menghasilkan hormon gembira. 

"Sesetengah kanak-kanak agak lincah dan tidak boleh duduk diam menyebabkan kadang-kala ibu bapa dan guru sangat buntu dalam mengawal pergerakan mereka, jadi apabila mereka dikelilingi alam semula jadi, secara tidak langsung mereka akan menjadi lebih tenang dan fokus

"Bagi golongan dewasa dan warga emas pula, anda boleh mendapati muzik semula jadi hasil daripada kepelbagaian biologi juga dapat menjadikan terapi hutan lebih berkesan, terutamanya kepada mereka sentiasa berasa tertekan dengan kerja seharian dan tiada masa untuk merehatkan minda," katanya.

Bekas kontraktor dan pesara swasta yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pembinaan turut mengakui, pembangunan pesat juga turut menyebabkan hutan semula jadi dan kawasan hijau semakin berkurangan menyebabkan suhu bumi makin meningkat.

"Kebanyakan daripada mereka tiada pilihan kerana atas kepentingan diri dan tidak mempunyai kesedaran bahawa alam semula jadi begitu penting dalam menjaga ekosistem bumi dan ejen kepada penyerap haba.

"Ramai yang hanya mampu bercakap dan meletakkan sasaran untuk menjalankan pembangunan lestari dan tidak menebang pokok namun akhirnya tindakan dan melaksanakan apa yang dijanjikan akan menentukan segala-galanya," katanya. 

Sebahagian daripada peserta melakukan meditasi di dalam hutan. - gambar Phwah You Yang
Sebahagian daripada peserta melakukan meditasi di dalam hutan. - gambar Phwah You Yang

Menurut beliau, kesedaran untuk menjaga alam sekitar dan memelihara hutan haruslah dipupuk sejak kecil bermula dari rumah kerana kanak-kanak ibarat 'kertas putih' yang begitu tulus dalam mempelajari apa sahaja secara langsung daripada gerak-geri ibu bapa mereka.

"Jika ibu bapa mereka mempunyai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan menyayangi haiwan misalnya, secara tidak langsung anak-anak juga akan mengikuti jejak langkah ibu bapa dan komited menjaga ekosistem alam," katanya.

Hutan Sihat, Manusia Sihat

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, menurut institut kesejahteraan global, terapi hutan adalah kaedah terapi kesihatan yang menghargai alam semula jadi dengan mengamati kawasan sekeliling, menghidu bau segar di samping menikmati bunyi yang kedengaran.

"Merentas hutan, rekreasi hutan, ekopelancongan semakin menjadi aktiviti popular untuk mencari kedamaian dan kesihatan fizikal. Banyak perkara yang kita tidak tahu mengenai bagaimana hutan membantu meningkatkan kesihatan manusia menerusi kegiatan fisiologi dan biokimia. 

"Hutan yang sihat akan menghasilkan manusia yang sihat. Ekosistem hutan yang sihat akan mewujudkan ekosistem yang seimbang, yang mampu melindungi manusia serta perkara lain seperti bencana alam, tanah runtuh, perubahan iklim dan menyerap karbon dioksida," katanya apabila dihubungi oleh Bernama.

Prof Dr Ahmad Ismail
Prof Dr Ahmad Ismail

Menurut Ahmad, terdapat kajian yang membandingkan berjalan di kawasan bandar dan hutan sebagai respons kepada kesan fisiologi dan psikologi manfaat berjalan bagi pekerja pejabat di bandar, contohnya tahap hormon stres, tekanan darah, kadar degupan jantung dan fungsi imun.

"Itulah sebabnya mengapa inovasi pemuliharaan hutan adalah penting terutamanya di kawasan bandar.

"Kawasan seperti Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur perlu dikekalkan bagi generasi akan datang serta mengimbangkan isu iklim, persekitaran dan kesihatan dalam komu depan Kuala Lumpur," katanya. 

Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu berkata, hutan atau pokok boleh menurunkan suhu sehingga sebanyak 10 peratus Fahrenheit.

"Faktor penyejuk bergantung kepada lokasi serta parameter ekologi seperti ketinggian, kelembapan, tekanan udara dan pergerakan.

"Proses penyejatan boleh membantu menurunkan suhu serta meningkatkan kelembapan, di samping kesan penyejukan apabila air berada di atas permukaan daun," katanya.

Beliau menambah, hutan juga memainkan peranan penting dengan bertambahnya cabaran dalam memerangi perubahan iklim dan gas pelepasan rumah hijau (GHG) ke atmosfera.

"Inovasi dan teknologi menambah baik sistem pemantauan dalam fungsi pengurusan karbon, terutama dalam mengesan dan melapor kecekapan hutan.

"Dunia memerlukan teknologi cekap seperti Kecerdasan Buatan (Al) bagi memantau aktviti penggondolan hutan dan memulihkan hutan.

"Teknologi mungkin boleh memberikan sistem amaran awal tentang keadaan hutan, pemetaan hutan, pengeluaran komoditi yang mampan serta penglibatan Orang Asli," katanya, menambah, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar ekologi hutan bagi membantu teknologi yang baharu muncul. 

Beliau berkata, Malaysia telah mengambil langkah baik, antaranya mempromosi negeri untuk melindungi hutan masing-masing, mengekalkan 50 peratus keluasan hutan,mengamalkan pengurusan hutan yang mampan dan penghasilan barangan kayu yang mampan.

Langkah lain, katanya, Promosi Pemindahan Fiskal Ekologi, meningkatkan CEPA (Komunikasi dan Kesedaran Awam), dan Kempen Menanam 100 juta Pokok Kebangsaan dalam tempoh lima tahun (2021-2025). - BERNAMA

Sorotan

1

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

2

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

3

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

4

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

5

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

6

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

7

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

Disyorkan untuk anda

Rencana 9 jam yang lalu

Harta Intelek: Ada Kesedaran Tapi Masih Ada Yang Suka Curi Dan Ciplak

Rencana 1 hari yang lalu

Haiwan Peliharaan Atau Terbiar Juga Boleh Diserang Strok Haba