Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kurangkan Plastik Dan Galak Guna Kembali, Jangan Taasub Kitar Semula

Rencana Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Apr 2023 5:28PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tidak seperti kebanyakan pengamal media sosial lain, beliau tidak berhasrat mencipta nama sebagai pempengaruh, sebaliknya, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuid menyertai komuniti TikTok bagi memperjuangkan isu sisa pepejal.

Semangat wanita separuh abad yang mempunyai senyuman memikat dan pantas mesra itu terhadap isu berkenaan terserlah semasa beliau menunjukkan klip video TikToknya kepada penulis tatkala kami membicarakan masalah sisa plastik di negara ini.

Dalam klip video itu, beliau dilihat berdiri di bawah sebuah khemah di bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya, mengingatkan pengunjung dan peniaga berhampiran agar mengurangkan penggunaan beg plastik.  

“Bayangkan anda semua bawa beg kitar semula dan tidak minta plastik tambahan daripada peniaga-peniaga, anda telah menjimatkan tanah tapak pelupusan daripada penuh ya... Anda bantu kami,” katanya kepada orang ramai yang lalu-lalang.

Bagaimanapun, kata Ummi Kalthum, beliau berasa kecewa pada hari itu apabila melihat hanya segelintir pengunjung membawa beg beli-belah kitar semula. Keadaan sama juga dapat dilihat di beberapa bazar Ramadan yang dikunjungi Bernama. Kebanyakan pengunjung lebih suka menggunakan beg plastik dan bekas makanan yang disediakan oleh peniaga.

Apabila ditanya apa yang mereka akan lakukan dengan barangan plastik terbabit, sesetengah daripada mereka menyatakan hasrat untuk kitar semula.

Sentimen itu memang dialu-alukan, namun sebahagian besar daripada beg plastik dan bekas pembungkus makanan terbabit akan berakhir di tapak pelupusan - sesuatu yang sepatutnya dapat dicegah oleh ekonomi kitaran.

Ekonomi kitaran sepatutnya memastikan bahan, produk dan perkhidmatan berada dalam kitaran selama mungkin, sekali gus mengurangkan jumlah sampah dalam ekosistem. Sisa plastik boleh dikitar semula dan diubah menjadi resin yang dijual serta diguna untuk dijadikan produk plastik lain. Industri kitar semula merupakan sebuah industri yang bernilai berbilion dolar.

Bagaimanapun, angka daripada SWCorp mencerminkan penemuan ramai pakar, iaitu sekalipun industri itu bernilai berbilion dolar, kadar kitar semula masih rendah berbanding jumlah sampah baharu yang masuk ke dalam kitaran.

“Syarikat-syarikat besar ini mahu jual produk mereka, jadi mereka kata, ya kami mampu lakukannya. Kami mampu kitar semula, hasilkan bahan kimia untuk kitar semula serta bangunkan sistem yang bagus. Akan tetapi, pada masa sama mereka mengekalkan pengeluaran plastik,” kata Mageswari Sangaralingam, penyelidik di Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Beliau dan penggiat alam sekitar yang lain memberitahu Bernama bahawa orang ramai telah dibohongi apabila diberitahu kitar semula adalah penyelesaian bagi masalah sisa plastik. Kitar semula memang ada fungsinya dalam ekonomi hijau, namun kita terlalu menekankan pada usaha menggalakkan orang ramai mengitar semula berbanding menggunakan semula dan mengurangkan sisa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan pengeluaran plastik sekitar 363 juta tan setahun dan angka itu dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2040.

Kitar Semula Tidak Berjaya

Menurut data SWCorp, setiap rakyat Malaysia menghasilkan 1.17 kilogram sisa pepejal perbandaran  setiap hari, merangkumi plastik, makanan, kertas dan kaca yang mungkin dikitar semula dan mungkin juga tidak.

Pada 2021, bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebanyak 101,949 tan plastik, iaitu 13 peratus daripada keseluruhan 772,349 tan sampah yang dihasilkan oleh penduduk, berakhir di tapak pelupusan. Hanya 152.87 tan plastik dikitar semula dengan kadar kitar semula plastik kira-kira 16 peratus.

Pada 2022, kadar kitar semula plastik meningkat, namun jumlah sisa plastik dan sampah biasa juga bertambah. Keseluruhannya, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghasilkan 796,795 tan sampah pada tahun lepas dengan 13 peratus atau 210,966 tan adalah plastik. Kadar kitar semula plastik ialah 33.16 peratus, sementara kadar kitar semula semua jenis sisa ialah 33.16 peratus.

Menurut Laporan Semakan Semula Dasar Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar Sunway University 2021 oleh Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs dan WWF-Malaysia, rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 14 juta tan sampah setahun dengan 43.7 peratus adalah barang kering boleh dikitar semula seperti plastik, kaca, besi dan pek tetra.

Rasa kecewa terhadap konsep kitar semula telah lama timbul. Plastik juga, secara alami, adalah bahan yang sukar dikitar semula.

Dari satu segi, tidak semua sisa plastik boleh dikitar semula, sesetengahnya disebabkan oleh tindakan manusia. Industri kitar semula plastik mempunyai syarat ketat dalam menerima satu-satu item plastik untuk dikitar semula. Plastik yang bersih dan keras seperti botol, karton susu dan bekas mentega boleh dikitar semula, sementara barang seperti cawan kopi dan langsir bilik mandi hujan pula tidak, dan ramai yang tidak tahu tentang hal ini.

Keadaan barang yang dihantar untuk dikitar semula juga penting. Jika seseorang itu gagal membersihkan barang plastik sebelum meletakkannya di dalam tong kitar semula misalnya, sisa makanan mungkin akan mencemari kesemua item di dalam tong itu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia Datuk Johnson Yoon, kos mengasingkan dan membersihkan sisa plastik tidak selalunya setimpal dengan pendapatan yang dijana.

“Apabila anda hantar (plastik kotor) kepada pengitar semula, mereka perlu fikirkan cara untuk membersihkan plastik itu, sama ada hot wash (basuh dengan air yang sangat panas) atau lain-lain, jadi kos akan meningkat,” katanya.

Plastik juga tidak boleh dikitar semula secara berterusan. Bahan itu akan terurai selepas beberapa kali melalui proses kitar semula, justeru, harus ada pengeluaran plastik baharu untuk menampung keperluan industri kitar semula. 

Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 merekodkan pada 2019, Malaysia menjana 1.69 juta tan plastik boleh dikitar semula, yang mana dianggar 1.4 juta tan dilupuskan pada tahun sama. Jumlah nilai material berpotensi, jika sisa yang dilupuskan itu dikitar semula, ialah sekitar US$1.3 bilion. 

Namun kata Yoon, jika kesemua plastik itu dikitar semula, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk memastikan syarikat kitar semula dapat menjana keuntungan.

“Ini adalah isu populasi. Setiap penduduk di Semenanjung Malaysia perlu habiskan (dua) botol 1.5L minuman ringan setiap hari, setiap orang termasuk bayi, dan hantar botol terbabit ke kilang (kitar semula), dan itupun hanya dapat keluarkan 1,000 tan botol plastik kitar semula,” katanya.

Oleh itu, syarikat kitar semula kata mereka, perlu mengimport sisa plastik untuk memastikan mereka meraih laba dan menyumbang kepada kitaran ekonomi - satu langkah yang tidak disenangi oleh aktivis alam sekitar. 

 Kurangkan Fokus Pada Kitar Semula

Grafik visual bertarikh 17 Februari 2023 menunjukkan Malaysia sebagai penyumbang ketiga terbesar pencemaran plastik di lautan dengan 73,098 tan, menyusuli Filipina (356,371 tan) dan India (126,513 tan).

Aktivis dan penggiat alam sekitar menyifatkan infografik itu sebagai mengelirukan, dan mereka menggambarkan jumlah sisa plastik negara terbabit sebagai  “penjajahan sisa” - sebahagiannya disebabkan oleh negara kaya mengeksport sisa plastik ke negara yang tidak mempunyai sumber mencukupi untuk menguruskan sisa.

Sisi gelap industri kitar semula plastik terdedah pada 2018 apabila China mengharamkan import sisa plastik campuran. Syarikat yang berkenaan kemudian beralih ke Malaysia, menghantar sisa plastik campuran ke negara ini dan menjadikan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sebagai tapak pembuangan. 

“Mangsa” paling ketara ialah Jenjarum, sebuah pekan kecil di Kuala Langat, Selangor, di mana pengitar semula haram membuang sekitar 17,000 tan sisa plastik campuran yang diimport di situ.

Malaysia mengetatkan peraturan dan menghantar balik sisa plastik yang dibawa masuk, namun hingga kini, sebahagian daripada tapak pembuangan sisa plastik campuran itu masih wujud, membawa risiko kesihatan kepada penduduk di kawasan berhampiran selain berpotensi mencemarkan sumber bekalan air.

Akan tetapi, nasi sudah menjadi bubur dan keadaan dijangka bertambah buruk pada tahun-tahun mendatang sekiranya tidak ada tindakan serius diambil oleh masyarakat, syarikat atau kerajaan.

Mageswari berkata sudah tiba masanya untuk kita mendepani realiti pahit ini dan memikirkan semula pendekatan pengurusan sisa di Malaysia.

“Konsep 3R (yang kita pelajari) ialah reduce (mengurangkan), reuse (menggunakan semula) dan recycle ( mengitar semula), namun kita, kerajaan sendiri sebenarnya, terlalu menekankan pada aspek kitar semula. Sekarang, kita menimbang aspek mengurangkan (sisa), selain turut mengetengahkan (betapa pentingnya) guna semula,” ujar beliau.

Pengasas bersama yang juga Pengarah Zero Waste Malaysia Khor Sue Yee bersetuju dengan pandangan itu, dan berkata: “Kita memang galakkan orang ramai kurangkan kitar semula. Kenapa? Kerana kitar semula memerlukan penggunaan tenaga yang banyak, dan di peringkat global, kadar kitar semula hanya sembilan peratus. Kami, Zero Waste Malaysia, percaya pencegahan lebih baik berbanding penawar.”

Bagaimanapun ini tidak bermakna konsep kitar semula tidak ada peranan dalam ekonomi kitaran Malaysia.

Ummi Kalthum berhasrat meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2025, iaitu seiring sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Akan tetapi, untuk mencapai sasaran itu, organisasi tersebut perlukan kuasa penguatkuasaan bagi mengambil tindakan terhadap pelaku pencemaran kecil-kecilan dan tapak pelupusan haram, bukan pelaku berskala besar sahaja.

“Sekarang ni kita kena buka kes satu-satu. Jenuhlah nak buka kes tu. Katalah kompaun satu kes tu RM50. Kita nak buka kes, buka kertas siasatan, satu kes (kos) minimum RM300 … jadi, memang membazir duit sahaja,” katanya.

Beliau juga berpandangan perlu ada pemisahan di peringkat kawal selia sumber untuk dipatuhi oleh orang ramai.

Bagi meningkatkan kadar kita semula, beliau dan juga aktivis lain mencadangkan agar negara ini mencontohi Jerman dan beberapa negara lain, di mana di negara-negara berkenaan pusat kitar semula diwujudkan di pasar raya selain melaksanakan sistem pembayaran balik deposit untuk barangan kitar semula.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim, pensyarah kejuruteraan alam sekitar di UCSI University, memberitahu Bernama bahawa beliau lebih bimbang tentang plastik sekali guna seperti beg plastik. Beliau berkata satu cara untuk memotivasikan orang ramai agar tidak menggunakan plastik sekali guna ialah dengan menawarkan insentif. 

“Misalnya, jika anda ke pasar raya membawa beg sendiri, mungkin pasar raya itu boleh berikan diskaun untuk pembelian anda,” katanya.

Mereka juga mencadangkan agar syarikat menjual produk seperti syampu dan bahan pencuci dalam bentuk isian semula agar pengguna dapat menggunakan semula bekas lama. Satu lagi saranan yang dikemukakan ialah menghasilkan  tuala wanita yang boleh dibasuh dan digunakan semula.

Bagi menangani masalah sampah semasa dan masa depan, terdapat dua pemikiran dengan satu pihak menentang bentuk penyelesaian yang boleh mencemarkan alam sekitar seperti insinerator. Satu pihak lagi pula menyokong penggemblengan penyelesaian yang tidak sempurna terbabit.

Bagaimanapun, semua mereka bersetuju tentang pengurangan jumlah sisa plastik yang dihantar ke tapak pelupusan dengan Sue Yee menegaskan kitar semula harus menjadi pilihan terakhir sebelum tapak pelupusan.

“Kitar semula adalah sebahagian daripada ekosistem, namun kita perlu lakukannya dengan betul,” kata beliau. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 8 bulan yang lalu

Jangan Ambil Rasuah, Sentiasa Jaga Integriti - Tengku Hassanal

2

Semasa 10 bulan yang lalu

Program Pensijilan Kemahiran Pengurusan Sisa Pepejal Angkat Imej Pekerja Pembersihan

3

Semasa 11 bulan yang lalu

El Nino Burukkan Jerebu Di Malaysia 

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Rumah Terbuka Aidilfitri Boleh Burukkan Lagi Isu Pembaziran Makanan

Sorotan

1

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

2

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

3

Malaysia Berdepan 30,000 Kekurangan Jurutera, Perlu Tampung Dengan TVET

4

Kerajaan Kelantan Ucap Terima Kasih Kepada PM

5

KESUMA Sambut Baik Penyediaan Dana Latihan RM30 Juta

6

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Pencabulan Bahasa Dalam Iklan Jadi Norma Yang Sukar Dibetulkan