Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Adakah Benar Dakwaan Kebebasan Media Di Malaysia ‘Disekat’?

Rencana Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 May 2021 12:33PM

Datuk Dr Chamil Wariya

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pada 17 April lepas, Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-119 dari 180 negara, berbanding kedudukan ke-101 pada tahun 2020.

RSF, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpangkalan di Paris ini, menyebut, antara faktor utama yang menyebabkan negara ini jatuh 18 anak tangga termasuk undang-undang mengekang berita palsu melalui Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang “membenarkan kerajaan untuk menentukan kebenarannya sendiri”.

Selain itu, RSF turut merujuk kepada beberapa akta yang didakwa menyekat kebebasan media, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di sebalik laporan NGO berkenaan, timbul satu persoalan, apakah benar dakwaan yang menyatakan Ordinan Darurat serta akta-akta ini sebenarnya menyekat kebebasan bersuara dan pelaporan berita di Malaysia, terutamanya buat golongan wartawan serta syarikat media di negara ini?

Bukan ‘Gold Standard’

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Media Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya ketika diminta mengulas perkara ini menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat oleh RSF itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menjelaskan, antara lain tujuan Ordinan berkenaan diwujudkan adalah bagi mengekang penyebaran berita palsu mengenai COVID-19 dan vaksinisasi, bahkan kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat ini bukanlah untuk menggantikan kuasa mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

Menurut beliau, meskipun Malaysia berada di tangga 119, berbanding tahun 2020 seperti yang tercatat di dalam hasil laporan Indeks itu, bukanlah bermaksud bahawa tiada langsung kebebasan bersuara dan pelaporan berita di negara ini kerana penilaian yang dibuat RSF adalah berdasarkan kerangka serta sisi pandang media barat.

“Memang benar setiap tahun kita menunggu hasil laporan Indeks Kebebasan Media ini, atas dasar kita boleh menjadikannya sebagai panduan akan kedudukan serta kebebasan media negara kita. Namun begitu, ia tidaklah bermakna kita perlu menjadikannya sebagai ‘gold standard’ yang boleh digunapakai untuk mengukur kebebasan media negara ini.

“Ini kerana apabila kaedah penilaian yang digunakan ialah berdasarkan pengamalan media di negara barat, pastinya ia tidak sama dengan keunikan dinamik dan landskap media negara kita, tambahan pula Malaysia terikat dengan Perlembagaan yang menggariskan ada batasnya kebebasan bersuara terutama membabitkan perkara sensitif seperti isu perkauman dan sebagainya,” jelasnya dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.

Nilai Semula Akta

Namun begitu, bagi memastikan kebebasan media terus maju bergerak ke hadapan dan terus dijamin Perlembagaan, Chamil mencadangkan supaya kerajaan Perikatan Nasional memansuhkan undang-undang yang dianggap mengongkong.

Ini termasuklah memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; seksyen-seksyen tertentu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, serta Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Akta-akta ini perlu dinilai semula dan jika perlu, hendaklah dimansuhkan kerana ia dilihat terlalu mengongkong kebebasan media. Kami mencadangkan supaya kerajaan dapat mewujudkan Akta Kebebasan Pengaliran Maklumat atau Freedom of Information Act (FoI), selain mewujudkan Akta Melindungi Sumber bagi membolehkan wartawan merahsiakan sumber berita bagi pendedahan berkaitan isu-isu kepentingan awam.

“Kerajaan perlulah menerima hakikat bahawa kita tidak lagi boleh mengongkong kebebasan media kerana sekarang hampir semua orang ada akses kepada internet dan media sosial, jadi akta yang ada perlulah dimodenkan sesuai dengan peredaran semasa,” jelasnya.

Selain itu, Chamil turut mencadangkan supaya kerajaan dapat mewujudkan sebuah pakej rangsangan khas untuk membantu ‘media sustainability’ yang terjejas teruk akibat gangguan digital dan sosial media.

“Mengikut laporan terkini Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), lebih tiga ribu petugas dari pelbagai organisasi media dan akhbar  kehilangan kerja akibat gangguan digital ini, menyebabkan industri akhbar menguncup teruk. Audit Bureau Circulation Malaysia (ABC) juga sebelum ini pernah melaporkan, edaran akhbar sehari pada tahun 2014 boleh mencapai 6.4 juta naskah, namun kini tinggal sekitar 618,000 naskah sehari pada tahun 2019.

“Oleh itu, bantuan yang boleh dilakukan ialah menerusi pembelian ruangan iklan akhbar oleh jabatan dan agensi kerajaan sebagai salah satu cara lain untuk membantu industri akhbar terus bertahan,” katanya.

Selain itu, Chamil turut menekankan bahawa isu sensitif khususnya penghinaan terhadap agama Islam tidak akan pernah diberi toleransi kerana jelas ternyata di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Negara menyebut bahawa Islam adalah agama persekutuan, yang meletakkan agama Islam pada kedudukan tertinggi yang mengatasi agama lain.

“Apabila ingin berbicara tentang kebebasan media, tentunya kita tidak boleh mengikut tatacara pengamalan kebanyakan media barat yang berpandukan ideologi Pluralism, apatah lagi mereka tanpa segan silu memaparkan hasil karya kontroversi seperti komik yang jelas menghina Nabi Muhammad SAW. Pengamal media kita tetap perlu patuh dengan peraturan ditetapkan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Menjiwai Sambutan

Bagi menjiwai sambutan kali ini, Chamil berharap pengamal media dapat memahami dengan jelas sambutan sedemikian diraikan adalah bagi mengiktiraf peranan mereka sebagai agen penyebar maklumat serta dasar kerajaan, selain ianya turut menjadi peringatan kepada kerajaan supaya terus menghormati kebebasan media bagi menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.

“Pengamal media juga perlu terus komited menjalankan tugas mereka sebagai jagawan (watchdogs) yang menjadi medium semak dan imbang tiga punca kuasa negara (legislatif, eksekutif dan judisiari). Teruskan juga peranan anda sebagai medium perantaraan di antara kerajaan dan ‘orang-orang kecil’ seperti rakyat marhaen untuk mereka meluahkan sebarang masalah yang dihadapi,” jelasnya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali berpandangan, petugas media khususnya yang beragama Islam perlu terus komited melaporkan berita dengan berintegriti dan mengikut etika kewartawanan kerana ia satu amanah berat yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

“Di media mana sahaja tempat kita bertugas, teruskanlah menulis apa sahaja atas nama kebebasan media, tetapi kebebasan itu wajib berpaksikan undang-undang dan syariat yang telah ditetapkan Allah.

“Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT di dalam Surah Al-Anfal ayat 27,” Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

“Teruskan juga melaporkan maklumat sahih tanpa jemu untuk membina pemikiran rakyat yang positif dan mewujudkan masyarakat berinformasi. Apabila kita mampu melaporkan berita yang tepat dan telah diverifikasi, secara tidak langsung akan memberikan media imej yang bersih,” katanya.

Dr Akmar Hayati menambah, seorang pegawai media juga perlu melatih daya tahan lasak dari segi mental dan fizikal bagi membolehkan mereka sentiasa bersedia untuk berdepan saingan pelaporan berita palsu daripada pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 4 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 4 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

2

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

3

Malaysia Berdepan 30,000 Kekurangan Jurutera, Perlu Tampung Dengan TVET

4

Kerajaan Kelantan Ucap Terima Kasih Kepada PM

5

KESUMA Sambut Baik Penyediaan Dana Latihan RM30 Juta

6

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Pencabulan Bahasa Dalam Iklan Jadi Norma Yang Sukar Dibetulkan