ASAJAYA - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mungkin akan dilakukan dalam masa beberapa hari lagi bagi memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bahang pilihan raya Sarawak kian terasa.
"Kemungkinan sehari dua ini kita akan mendengar mengenai pembubaran," katanya pada sidang media selepas taklimat bersama kontaktor bagi Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Jalan Pesisir PA-1 (Seksyen 1 dan Seksyen 2) Jalan Kota Samarahan/Sadong Jaya di Dewan Kampung Tambirat di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, pembubaran DUN Sarawak amat dialu-alukan kerana sudah tiba masanya rakyat memberi mandat.
"Sekarang tidak timbul lagi isu wabak COVID-19 kerana yang pasti akan ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
"Tambahan pula, kes di Sarawak kebanyakan atau lebih 90 peratus adalah kategori satu dan dua," ujarnya.
Abdul Karim berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk
memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan baik.
"Kita perlu akur dan mematuhi SOP yang ditetapkan sama ada KKM, SPR, JPBNS, MKN atau agensi lain," katanya.
Perintah Darurat ketika ini masih dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penulararan COVID-19, justeru PRN tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lalu.
Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Febuari 2022. - Getaran, 21 Oktober 2021

