web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Dr Mahathir Pecah Belahkan Melayu Dan Negara 

Dr Mahathir terus memainkan naratif lama; perpaduan Melayu, dominasi Melayu, ancaman terhadap Melayu dan survival Melayu, seolah-olah seluruh masa depan negara hanya bergantung kepada politik kaum.

Kolum Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 08 May 2026 11:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa beliau “gagal menyatukan orang Melayu”. Namun kegagalan yang jauh lebih besar bukan sekadar kegagalannya menyatukan orang Melayu, tetapi kegagalannya menyatukan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Beliau memerintah negara selama 22 tahun dalam penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri, sebelum kembali berkuasa selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum 2018. Tidak ramai pemimpin dalam sejarah moden diberi ruang, masa dan kuasa sebesar itu untuk membentuk identiti nasional, memperkukuh institusi dan menentukan arah masa depan negara.

Namun sepanjang tempoh tersebut, Dr Mahathir tidak membina sebuah identiti kebangsaan yang melangkaui kaum. Sebaliknya, politik yang diasaskannya berkisar kepada pemisahan rakyat kepada kelompok “Melayu” dan “bukan Melayu”, “bumiputera” dan “pendatang”, golongan yang dianggap berhak dan golongan yang sentiasa dipersoalkan kesetiaannya.

Di bawah pengaruh politik beliau selama puluhan tahun, hampir setiap isu nasional akhirnya dilihat melalui lensa kaum. Persaingan ekonomi dijadikan naratif Melayu lawan Cina. Kritikan politik pula dianggap sebagai ancaman terhadap hak dan kuasa Melayu. Kelemahan institusi serta kegagalan pentadbiran tidak pernah diakui secara jujur, sebaliknya sering dialihkan sebagai kononnya ancaman daripada bukan Melayu.

Lebih buruk, ketakutan kaum dijadikan alat politik. Orang Cina dijadikan “momok politik” untuk menyatukan orang Melayu dan mengekalkan pengaruh kuasa. Politik ketakutan ini akhirnya menanam rasa curiga antara kaum secara sistematik sehingga menjadi budaya politik negara.

Apabila beliau kembali berkuasa pada tahun 2018 atas slogan reformasi dan “Malaysia Baharu”, ramai mengharapkan perubahan. Namun yang berubah hanyalah slogan, bukan cara politiknya. Dr Mahathir terus memainkan naratif lama; perpaduan Melayu, dominasi Melayu, ancaman terhadap Melayu dan survival Melayu, seolah-olah seluruh masa depan negara hanya bergantung kepada politik kaum.

Beliau juga sekali lagi menafikan laluan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri melalui percaturan politik yang akhirnya membawa kepada Langkah Sheraton. Kali pertama berlaku apabila beliau memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menyingkirkannya daripada UMNO, sekali gus mencetuskan perpecahan Melayu paling besar dalam sejarah politik moden negara. Dalam Pilihan Raya Umum 1999, majoriti pengundi Melayu sendiri bangkit menolak beliau.

Ironinya, banyak perpecahan politik Melayu hari ini lahir daripada krisis yang berlaku di bawah kepimpinan Dr Mahathir sendiri. UMNO berpecah semasa pemerintahannya. Semangat 46 lahir daripada konflik dalaman era beliau. Kemudian muncul Bersatu, Pejuang dan pelbagai lagi pakatan politik berasaskan Melayu yang terus memecahkan landskap politik orang Melayu kepada serpihan yang semakin kecil dan rapuh.

Satu generasi rakyat Malaysia dibesarkan dalam suasana politik yang menormalisasikan syak wasangka kaum. Bukan Melayu sering diperingatkan bahawa mereka sekadar “diterima”, bukan benar-benar dianggap setara sebagai pemilik negara ini. Dalam masa sama, orang Melayu pula terus disogok dengan naratif bahawa mereka sentiasa berada di ambang ancaman, walaupun kuasa politik negara selama berdekad-dekad berada di tangan elit Melayu sendiri.

Politik seperti ini mungkin berjaya mengekalkan kuasa untuk jangka masa panjang, tetapi kesannya ialah kerosakan sosial dan psikologi yang mendalam terhadap negara.

Malaysia hari ini masih gagal keluar daripada politik perkauman kerana ketika peluang terbaik itu wujud, negara dipimpin oleh seorang tokoh yang lebih selesa memelihara ketakutan kaum daripada membina keyakinan nasional.

Maka legasi Dr Mahathir bukan hanya tentang pembangunan ekonomi atau projek mega semata-mata. Legasi paling besarnya ialah sebuah negara yang diajar melihat dirinya terlebih dahulu sebagai Melayu, Cina atau India, dan hanya selepas itu sebagai rakyat Malaysia. - Getaran, 8 Mei 2026

Berita Berkaitan

1

Kolum 6 hari yang lalu

Krisis Negeri Sembilan: Seruan Kepada Kerajaan Untuk Bertindak

2

Kolum 2 minggu yang lalu

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

3

Kolum 2 minggu yang lalu

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

4

Kolum 2 minggu yang lalu

Kerangka Perlembagaan Keadilan: Menyeimbangkan Adat Perpatih Dan Undang-Undang Statutori Di Negeri Sembilan

Sorotan

1

Bayi Perempuan 11 Bulan Maut: Pengasuh Direman Bantu Siasatan

2

Saman Vinod Sekhar: ‘Tiada Kes Untuk Dijawab' - Mahkamah Tinggi

3

Venezuela Isytihar Darurat Selepas 2 Gempa Bumi Kuat Landa Negara

4

5 Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

5

Onn Hafiz Nafi Dakwaan Puad, Umno Johor Buat Laporan Polis

6

Mohd Puad Zarkashi Umum Keluar UMNO Serta-Merta, Dakwa UMNO Johor Hilang Autonomi