Berita Terkini

2 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 3 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 4 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Usah Berhenti Belajar!

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Oct 2021 10:22AM

Penulis

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Minat menulis aku bermula sejak dari kecil lagi. Dan tak mungkin aku lupakan kali pertama tulisan aku diterbitkan oleh sebuah majalah hiburan tempatan, ‘Weekend’ ketika aku masih berusia 10 tahun.  

Melihat ‘byline’ sendiri dalam ruangan ‘Letter to the Editor’ itu menjadi pendorong untuk aku terus mendalami cabang seni kreatif ini.

Namun, selain daripada sekolah, kesempatan lain untuk belajar menulis agak terhad. Yang aku ingat adalah iklan dalam sebuah akhbar tempatan mengenai kursus jarak jauh dalam bidang penulisan oleh sebuah institusi dari England.

Aku hantarkan poskad dengan nama dan alamat aku seperti yang tertera dalam iklan itu dan beberapa minggu kemudian aku terima brosur kursus yang ditawarkan.

Minat, memang minat. Tapi bila aku tengok yuran yang dikenakan, terus aku padamkan harapan. Tapi mereka memang gigih buat pemasaran sebab untuk beberapa tahun selepas itu, tidak putus-putus aku terima brosur yang menjanjikan karier sebagai seorang “published writer” yang disegani.

Inilah yang dipanggil “correspondence course” yang menjadi kebiasaan pada era 70an dan 80an.

Lebih kurang sembilan tahun yang lalu pula, aku memohon geran untuk menyertai kursus intensif pembikinan filem di kota London, United Kingdom dan permohonan ini telah diterima oleh pihak MDEC di bawah program CILL (Creative Industry Lifelong Learning).

Dua, tiga tahun sebelum itu, aku mula berjinak dengan seni penulisan skrip drama dan filem. Setelah sekian lama selesa menulis dan menyunting rencana dan berita, serta mengilhamkan lirik lagu, aku teruja untuk membina karakter dan menulis dialog pula.  

Ketika itu aku masih bertugas sebagai pegurus besar media baharu di Media Prima serta mengacara rancangan bual bicara pagi, “Malaysia Hari Ini’, tetapi demi untuk menimba ilmu yang baharu, aku mengambil cuti selama sebulan. Hasrat aku ini juga mendapat sokongan keluarga.

Central Film School yang merupakan insitusi pilihanku terletak di sebelah timur kota London, berhampiran dengan Brick Lane. Buat yang mengenali London, sudah pasti tahu akan Brick Lane yang terkenal dengan pasar minggunya serta pelbagai kedai dan restoran Asia dan Muslim.  

Sedekad dua ini, kawasan ini juga terkenal dengan ruang yang disediakan untuk seni dan fesyen dan dinding-dinding di bangunan sini juga dihiasi grafiti oleh artis-artis terkenal, termasuklah artis jalanan dan aktivis bertaraf legenda, Banksy.

Jadi persekitaran di sini menang sangat ideal untuk pelajar-pelajar filem dan cabang seni kreatif yang lain. (Tapi oh ya, di sini jugalah terletaknya Whitechapel, lokasi beberapa pembunuhan ngeri oleh pembunuh bersiri Jack The Ripper).

Hari pertama aku masuk ‘sekolah’ memang terasa agak janggal pada mulanya. Maklumlah, sudah lama tidak duduk di dalam suasana bilik darjah, lengkap dengan ‘backpack’, pen dan buku nota.

Sesi September 2012 itu hanya mempunyai 20 orang peserta, tetapi dari latar belakang dan negara yang pelbagai, termasuk Hong Kong, Sepanyol, Itali dan England sendiri.

Yang pasti, semua di dalam kelas itu mempunyai minat yang mendalam terhadap seni filem. Ada yang lebih gemar menulis, ada yang cintakan sinematografi dan ada yang bercita-cita untuk menjadi pengarah terkenal suatu hari nanti.

Juga tidak menjadi isu adalah umur aku yang ketika itu baru sahaja masuk ‘4-siri’. Walaupun ramai teman sekelas yang jauh lebih muda, tidak pernah ada terasa jurang komunikasi atau persefahaman. Janji kenal akan ‘Jaws’, ‘Star Wars’ dan ‘Sound Of Music’, kami boleh berborak macam dah kenal lama.

Penulis (tengah) bersama rakan-rakan yang menyertai kursus intensif pembikinan filem di kota London, United Kingdom pada September 2012.
Penulis (tengah) bersama rakan-rakan yang menyertai kursus intensif pembikinan filem di kota London, United Kingdom pada September 2012.

Tenaga pengajar pula memang mereka yang bergelumang dalam industri filem di UK secara langsung. Setiap hari, kelas dari jam 10 pagi hingga 6 petang, sering membuat aku ternganga dan teruja dengan ilmu baharu yang dapat aku kutip.

Kesempatan berada di sana juga aku gunakan sepenuhnya untuk jelajah ke merata London serta beberapa destinasi berhampiran, termasuk bandar Oxford, Brighton dan juga Cardiff di Wales. (Dan ya, tak sahlah kalau orang Malaysia tak melepak di Bayswater).

Selepas dua minggu, kami diminta membuat ‘pitching’ untuk tugasan filem pendek. Daripada tiga yang aku bentangkan, satu telah terpilih untuk dibikin menjadi filem pendek yang akan ditayangkan di penghujung kursus.

Keseronokan belajar beralih kepada fasa praktikal. Berdasarkan skrip lima muka surat yang aku tulis, kami diberikan kebebasan mencari lokasi yang sesuai, menguruskan bajet GBP200 yang diberikan dan juga membuat sesi mencari pelakon (‘casting’). Yang terakhir itu paling seronok, lebih-lebih lagi apabila pelakon utama yang aku pilih mempunyai aura sedikit seperti Rowan Atkinson!

Penggambaran dilakukan di sekitar kawasan Brick Lane dan juga berlatarbelakangkan beberapa lokasi ikonik kota ini seperti Sungai Thames dan Tower Bridge. Memang sengaja aku pilih tempat-tempat ini untuk menjadi kenangan indah berbentuk visual yang merakamkan pengalaman aku di sana.

Itulah sebuah pengalaman sangat berharga, dan ilmu yang aku timba, walaupun daripada sebuah kursus pendek, sedikit sebanyak mempertajamkan kemahiran dan mencetuskan ilham untuk aku terus berkarya.

Pulang dari kursus tersebut, aku dapat menyiapkan dua skrip filem, dan sepanjang beberapa tahun selepas itu, aku juga menulis skrip drama TV, dan menerbitkan beberapa siri serta telemovie pemenang anugerah.

Kini, peluang untuk belajar apa saja terbentang luas untuk semua, khasnya melalui platform dalam talian. Bahkan sebelum pandemik COVID-19 menular pun, segala cabang ilmu dan kepakaran dapat diperolehi secara maya, ada yang berbayar, tetapi banyak lagi yang percuma.  

Dari program dan kursus santai, atau yang berkaitan dengan karier, mahupun pelbagai pecahan ilmu yang lebih mendalam, semuanya terpulang kepada diri dan minat masing-masing. Pendapat aku, kini tiada lagi istilah “Ah, tak tahulah nak buat benda ni”.

Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengorbankan masa yang dihabiskan melayan konten “viral” dan bertelagah di media sosial, dan menggantikannya dengan memburu ilmu yang dapat memudahkan kerja dan mendewasakan jiwa.

Saksikan filem pendek hasil karya dan arahan penulis berjudul “Tweet”:

Sorotan

1

Tanah Milik Keluarga Ammar Baharin Yang Dipindah Milik Diratifikasi Semula – Amirudin

2

Laporan Interim Nahas Helikopter TLDM Dikeluarkan Esok – Fahmi

3

Pokok Tumbang: Mangsa Lelaki Dibenar Keluar Hospital, Warga Sweden Masih Dirawat

4

Kecederaan Beberapa Tonggak Utama Resahkan TFC

5

Мahkamah Benar Muhyiddin Dapatkan Pasport Bagi Lawat Kakak Sakit Di Australia

6

Mutang Tagal Masih Dirawat Di IJN, Keadaan Agak Serius

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Menjelajah Potensi Pusat Data: Membuka Peluang Ekonomi Baharu Di Malaysia

oleh Nasser Ismail