Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Inovasi Michael Permudahkan Proses Buah Koko Empat Kali Ganda

Kisah Kita Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 16 Jan 2024 8:36PM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Michael John Henry Tao mengampu buah koko dengan tangan kirinya, sebelum parang di tangan kanan diayun mengenai lenggai yang berwarna kekuningan itu.

Hanya selepas beberapa kali ditakik barulah lenggai koko terbelah, mendedahkan gugusan ulas berwarna putih.

"Sik terkabey gik aku mauk melah ya (Aku sudah tidak larat lagi nak membelah buah koko ini)," rungut Michael kepada isterinya, Helen Sili yang turut membantu.

Lambakan buah, hasil daripada 1,000 batang pokok di kebun mereka di Kampung Semadang di sini, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching - bagaikan tidak luak sekalipun sudah berjam-jam dia membelah buah berkenaan bagi mengeluarkan ulas-ulas koko.

Perbualan di suatu petang kira-kira tujuh tahun lalu itu dikongsikan oleh Michael, 56, kepada BERNAMA semasa ditemui di kediamannya baru-baru ini. 

Mesin pembelah koko ciptaan lelaki itu yang membawa BERNAMA ke situ dan kini dimanfaatkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi memudahkan pekebun koko di seluruh negara.

Bercerita lanjut, Michael yang berkebetulan pandai besi berkata, terdetik di hatinya kemudian untuk mencipta mesin pembelah buah koko bagi memudahkan kerjanya.

"Kisah ini berlaku pada 2017, dan saya mengambil masa hampir setahun untuk melakar reka bentuk mesin itu berdasarkan video- video yang saya tonton di YouTube dan juga carian di internet.

"Akhirnya pada 2018, saya berjaya menyiapkan model pertama yang berfungsi dengan baik, selepas enam bulan menempa dan mengimpal besi melalui proses trial and error," kongsinya.

Guna Lebihan Besi bina rumah

Menurut Michael, pembuatan mesin itu yang menggunakan lebihan besi daripada kerja ubah suai rumahnya melibatkan kos kira- kira RM500.

"Modal itu hanya digunakan untuk membeli alatan bagi menggerakkan mesin seperti motor, kotak gear, bearing dan rantai," katanya.

Menurut lelaki itu lagi, pendorong utama untuk dia menyiapkan mesin tersebut adalah kesihatan dirinya.

"Saya fikir saya perlu cipta mesin ini. Kalau tidak, satu minggu habis badan sakit sebab pecahkan buah koko satu per satu. (Atas sebab itulah) meskipun gagal pada awalnya, saya terus cuba dan cuba," katanya yang mula terbabit dalam penanaman koko pada 2014.

Ujarnya, kebun koko seluas satu hektar itu mengeluarkan hasil pertama pada 2017 dan kini mampu menghasilkan kira-kira 700 kilogram buah setahun.

Mesin yang berbentuk seakan gabungan mesin pengadun dan pemerah tebu itu menjadi buah mulut komuniti pekebun koko di kawasan sekitar, namun kedatangan pegawai LKM ke kebunnya mengangkat inovasi berkenaan ke tahap lebih tinggi.

"Apabila ada pegawai LKM melawat kebun saya dan melihat mesin itu, mereka mencadangkan saya menghasilkan sebuah lagi prototaip untuk dijadikan produk inovasi bawah LKM. 

"Mereka sediakan modal dan bantuan teknikal untuk patenkan mesin itu," kata anak Bidayuh yang berasal dari Bau tersebut.

Katanya, selepas menempuh beberapa siri ubah suai, mesin itu mendapat kelulusan piawaian SIRIM dan secara rasmi dipatenkan sebagai produk di bawah LKM pada 2023.

Menurut Michael, mesin itu meningkatkan proses membelah buah koko sebanyak empat kali ganda, iaitu 2,760 lenggai sejam berbanding hanya 720 secara manual.

"Dalam masa seminit, mesin ini boleh membelah 40 ke 46 lenggai koko berbanding menggunakan tangan yang hanya dapat membelah 12 hingga ke 15 biji sahaja untuk seminit," jelasnya, menambah mesin itu beroperasi menggunakan tenaga elektrik.

Anugerah Inovasi Wilayah Sarawak 2023

Mesin yang dinamakan 'Michael John's Cocoa Cracker' (MJCC) itu menerima Anugerah Inovasi Petani Wilayah Sarawak bersempena dengan pelancaran Hari Agrikomoditi di ibu negara pada 5 Disember 2023.

"Saya buat mesin ini bukan demi keuntungan, tetapi untuk kegunaan sendiri sahaja. Saya tidak sangka ciptaan saya dapat membantu pekebun koko lain menerusi penglibatan LKM," katanya, menambah dalam tempoh beberapa tahun lalu dia menghasilkan sembilan unit mesin pembelah koko untuk agensi itu.

Kesemua sembilan mesin itu kemudian diagihkan ke kawasan tanaman koko di seluruh negara, iaitu tiga di Sarawak (Sarikei, Julau dan Ketimbong), masing-masing satu di Johor dan Kelantan serta empat di Ranau, Sabah, di bawah inisiatif pemodenan petani LKM.

Michael yang juga penjawat awam dalam sektor penjagaan kesihatan berkata, pembabitannya dalam industri koko hanyalah secara sambilan selepas menerima benih koko daripada LKM menerusi Program Tanaman Baharu 2014.

"Saya memang dah ada tanah yang luasnya satu hektar, jadi saya rasa yang paling sesuai diusahakan adalah koko sebab tanah rata dan tanaman ini mudah dijaga sebagai kerja part-time (sambilan).

"Asalnya saya beli sendiri benih dalam 100 lebih pokok, dan saya fikir sekiranya LKM tidak sediakan bantuan, saya akan teruskan juga tanam secara kecil-kecilan. Syukur LKM ada berikan bantuan, kursus serta input pertanian seperti baja dan benih," katanya lagi.

Hampir sedekad menyelami selok-belok industri komoditi itu, Michael berkata pekebun koko di negara ini perlu sentiasa menambah ilmu dengan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh LKM agar tidak ketinggalan dari segi teknik dan teknologi terkini industri.

"Jika ada peluang untuk saya meraih pengetahuan dan pengalaman baharu, baik daripada LKM atau institusi lain, saya akan rebut peluang itu untuk diamalkan di kebun saya," ujar beliau.

Prospek 2024

Sementara itu, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin berkata, kejayaan Michael dalam merevolusikan pembelahan buah koko diharapkan menjadi batu loncatan kepada pekebun koko tempatan untuk mempercepat proses pascatuai dan meningkatkan kualiti aroma koko.

"Pada 2022, harga biji koko dijual sekitar RM8 sekilogram, namun pada 2023 telah mencapai RM13. Menurut pakar dan penganalisis, harga biji koko dijangka meningkat lagi tahun ini (2024), jadi mudah-mudahan dengan ekonomi negara yang semakin berkembang, pekebun koko perlu ambil peluang ini untuk meningkatkan pengeluaran koko di kebun masing-masing," katanya.

Ramle berkata, inovasi itu menzahirkan hasrat LKM untuk meningkatkan kerjasama dengan pemain industri ke arah penggunaan mesin di seluruh ladang koko di Malaysia bagi mengurangkan beban kerja pekebun, selain menjamin kualiti hasil.

"Kalau dilihat industri koko di Malaysia, walaupun ada yang cakap kuantiti pengeluaran kita semakin berkurangan, hakikatnya negara kita merupakan antara pengeluar biji koko terbaik di dunia," katanya.

Menurut beliau, setakat Disember 2023, keluasan tanaman koko di Malaysia adalah 5,985 hektar, melibatkan 3,444 hektar di Sabah; 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung.

Sebelum ini, Ramle dilaporkan berkata, sejumlah RM9.5 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024 akan disalurkan sebagai bantuan input pertanian kepada 3,295 petani koko di seluruh negara bermula bulan ini. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 2 tahun yang lalu

Iklan Lembaga Koko Tampil Profesor Koko, BoBoiBoy Raih Lebih 1.5 Juta Tontonan

Sorotan

1

Belum Sempat Sampai Rumah Dari KLIA, Suami Sarjan Faridah Terima Berita Pemergian Isteri

2

Selangor Tewaskan KDA FC 1-0, Bergema 'Siu' Di MBPJ

3

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah 2 Anggota Polis Dibawa Keluar Dari HSI

4

Gagal Jelaskan Hutang RM4.96 Juta, Jovian Apparel Disaman

5

Kelantan Gagal Sekat Sabah FC Bawa Pulang 3 Mata Dari Kota Bharu

6

Perbuatan 6 Bekas Penuntut UPNM Dera, Buli,  Melampau - Pendakwaan