Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Tarian Bukan Sekadar Hiburan, Mampu Pupuk Nilai Positif

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Oct 2021 9:03AM

Ismadi (dua dari kiri) bersama anggota kumpulannya ketika mengambil bahagian dalam satu pertandingan tarian.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - “Saya mahu mendidik anak bangsa untuk mencintai dan menghargai tradisi seni budaya negara.

"Saya juga mahu mengubah persepsi masyarakat yang menganggap bahawa bidang tarian hanya hiburan semata-mata,” kata penari profesional dan jurulatih seni tari, Ismadi Mohd Arsad.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai pembabitan dalam bidang tarian, biarpun ketika itu mengikuti pengajian dalam kursus berbeza, iaitu pendidikan pengurusan perniagaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Ismadi Mohd Arsad
Ismadi Mohd Arsad

Bercerita mengenai detik awal pembabitan dalam bidang tarian, Ismadi berkata, ia bermula apabila beliau secara suka-suka hadir untuk menonton beberapa rakannya menjalani latihan di Pusat Kebudayaan UPSI menjelang persembahan Citrawana Negeri Perak, tiba-tiba diminta menjadi bidan terjun bagi menggantikan seorang peserta pasukan berkenaan yang terpaksa menarik diri atas masalah kesihatan.

Meskipun tidak mempunyai sebarang asas kemahiran tarian, jelasnya, beliau menerima peluang diberikan dan mampu menari berdasarkan gerakan peserta yang ditontonnya ketika mereka menjalani latihan beberapa kali sebelum itu.

Ismadi berkata, sejak itu dirinya semakin meminati bidang tarian dan dengan sokongan penuh keluarga, beliau bergiat aktif kerana mahu memiliki kemahiran khusus (soft skill) sebagai ilmu tambahan untuk diterapkan dalam kerjaya sebagai pendidik selepas graduasi.

“Kemahiran tersebut boleh dijadikan sebagai persediaan untuk saya menempuh alam pendidikan sebenar ketika mengajar nanti. Realitinya, perkara terbabit benar apabila kemahiran dipelajari itu membawa saya ke tahap seperti dikecapi hari ini,” katanya kepada Getaran.

Ismadi berkata, sebaik menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengurusan Perniagaan, beliau berkhidmat sebagai pendidik yang menyaksikannya diberi kepercayaan menjadi jurulatih tarian untuk mengajar seni kebudayaan itu kepada murid dan guru supaya mereka memiliki keupayaan serta kepakaran sama.

“Kini saya berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Bakat Murid di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Johor. Jika dahulu saya fokus kepada mengajar dan mendidik murid, sekarang dengan portfolio pengurusan, saya melatih guru sehingga mereka menjadi pakar serta boleh mendidik anak murid masing-masing.

“Ini terbukti apabila saya berjaya menubuhkan pasukan kesenian tarian guru dengan nama Suluh Tingkah Kesuma Tari, dan memperoleh beberapa kejayaan ketika membuat persembahan di dalam serta luar negara,” katanya.

Ditanya apakah nilai positif terhadap diri yang disumbangkan seni tarian, Ismadi berkata, pembabitan dalam aktiviti itu mampu mendidik individu menjadi lebih bijak apabila berupaya mengasah keupayaan fizikal serta mental yang kuat untuk menari, seperti mengingat dan mendengar.

“Kriteria perlu dimiliki individu untuk berjaya sebagai penari adalah disiplin tinggi kerana dengan berpegang pada nilai ini, semua perkara akan menjadi mudah dan sempurna,” katanya yang turut menyifatkan seni tarian mampu menjadi ‘aktiviti senaman’ untuk mengekalkan stamina serta kesihatan tubuh.

Berkongsi pengalaman suka, duka dan cabaran sepanjang membabitkan diri sebagai penari, Ismadi berkata, detik paling diingati adalah apabila memenangi pertandingan, terutama ketika pertama kali menyertai persembahan yang menyaksikan pasukannya berjaya menewaskan juara bertahan iaitu sebuah universiti awam.

Kumpulan tarian yang mendapat latihan daripada Ismadi.
Kumpulan tarian yang mendapat latihan daripada Ismadi.

Momen paling menggembirakannya sebagai jurulatih pula adalah ketika melihat murid dan guru yang dididik muncul sebagai  penari profesional serta berjaya dalam bidang diceburi, malah ada antara mereka mampu menjadi tenaga pengajar tari sepertinya.

Bercerita mengenai pengalaman duka sebagai penari pula, Ismadi memberitahu, situasi itu dialami beliau ketika awal penglibatannya sebagai koreografer tari apabila terdapat individu menganggap hasil kerjanya sebagai tidak berfaedah.

Namun, Ismadi berkata, teguran individu terbabit tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi pembakar semangat untuk beliau memperbaiki hasil kerja sehingga menggapai kejayaan cemerlang dalam bidang terbabit pada beberapa tahun berikutnya.

Pada masa sama, katanya, penari juga perlu kreatif dan bijak dalam menangani sesuatu cabaran atau situasi bagi memastikan persembahan tidak terganggu.

“Saya pernah berdepan cabaran ketika membawa anak didik mewakili Malaysia Ke Festival Kesenian Pagar Ruyung di Sumatera Barat, Indonesia 2018, apabila pakaian tarian anak didik saya hilang.

“Situasi ini mencemaskan sebab pembukaan festival berkenaan akan berlangsung, namun dengan keupayaan kita berfikir dalam keadaan seperti itu akhirnya membolehkan masalah terbabit diselesaikan apabila kami mengolah apa sahaja bahan dimiliki secara maksima,” katanya.

Menurut Ismadi, selepas kira-kira 16 tahun menceburi tarian, perkara utama membuatkan beliau terus meminati dan memperkasakan bidang itu adalah atas rasa tanggungjawab sebagai pendidik.

Jelasnya, beliau mahu terus membugarkan bidang seni berkenaan dalam kalangan anak didiknya yang menjadi pewaris bangsa, untuk mereka kekal mengetahui latar belakang budaya serta sejarah tradisi supaya tidak hilang ditelan zaman.

Impiannya juga, katanya, supaya mereka kekal dengan pemahaman terhadap tradisi mereka selagi perkara berkenaan tidak melanggar batas agama dan budaya sendiri.

Menyentuh mengenai harapan dan impian, Ismadi ingin mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang tarian bukan hanya hiburan semata-mata.

Keupayaan kesenian, katanya, adalah elemen sangat berguna dalam pendidikan, terutama bagi mendidik insan menjadi manusia beradab, memiliki budaya nilai tinggi dan menghormati tradisi.

“Mempelajari bidang kesenian juga, jelasnya, bermatlamat menjadikan peserta bijak dan lebih cemerlang daripada semua aspek, iaitu jasmani, emosi, rohani serta intelektual seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Ini saya dapat buktikan apabila anak-anak didik saya yang terbabit dalam bidang tarian turut memperolehi kecemerlangan akademik sehingga beralih daripada kelas biasa ke kelas lebih baik. Alhamdulillah, ramai anak didik saya dalam bidang tarian ini juga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya. - Getaran, 28 Oktober 2021

Sorotan

1

Semakan Gaji Penjawat Awam Adalah Wajar Untuk Hadapi Inflasi – Ahli Ekonomi

2

Tiada Daya Juang Tinggi, Rexy Kesal Dengan Pemain Perseorangan Wanita Negara

3

Sultan Nazrin Dilantik Pengerusi MKI Bagi Tempoh 2 Tahun 

4

Agong, Raja Permaisuri Zahir Penghargaan Kepada Warga Pekerja

5

AstraZeneca Akui Vaksin COVID-19, Covishield Mampu Timbulkan Masalah Darah Beku

6

Saya Perlu Dapatkan Semula Keyakinan Diri - Zii Jia

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

Mengikut Peredaran Masa – Kisah Tukang Baiki Jam

oleh Wartawan Getaran