Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Lagu-Lagu Sekarang Tidak Sedap! Apa Rahsia Lagu 'Evergreen'?

Lagu yang baik dan 'evergreen' harus merentasi batas waktu dan pendengar arus perdana. Bukan sekadar melodi dan lirik semata-mata, pelbagai aspek lain boleh memainkan peranan menjadikan sesebuah lagu baik dan 'evergreen.'

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Aug 2021 9:03AM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Muzik hari ini banyak yang sampah! Sentimen pedas ini barangkali agak keterlaluan dizahirkan buat penulis-penulis lagu generasi baharu kerana sejajar dengan perubahan teknologi dan zaman, setiap karya lagu yang dicetuskan menerusi rangkuman melodi, beat, tempo dan stail muzik, haruslah bersesuaian dengan cita rasa pendengar muzik muda. 

Akan tetapi, sentimen ini tidak hanya berlaku di Malaysia. Sebaliknya, bahangnya juga dirasai di negara-negara barat yang turut menganggap bahawa lagu-lagu pada masa sekarang seakan sudah  kehilangan esensi dari segi seni pengkaryaannya. 

Apakah benar, muzik dahulu lebih baik daripada sekarang? Jika dinilai, muzik sekarang lebih ringkas dan mudah berbanding muzik dahulu. Namun, yang ringkas dan mudah itu tidak semestinya teruk atau tidak berkualiti. 

Bak kata pepatah Inggeris, simplicity is the best (kesederhanaan itu yang terbaik). Ingat tak bagaimana lagu ‘Keliru’ ciptaan Aidit Alfian nyanyian Ajai dan Nurul berjaya menewaskan lagu lain seperti ‘Menadah Gerimis’, ‘Gelisah Mimpi’, ‘Syair Si Pari-Pari’, ‘Nirmala’ dan ‘Hala Timur’ dalam Anugerah Juara Lagu Ke-17? 

Kemenangan lagu ‘Keliru’ itu membuktikan bahawa lagu yang mudah atau ringkas itu sebenarnya boleh jadi yang terbaik dan pada era yang banyak dibantu kemudahan teknologi serba canggih, semua kerja mampu dilakukan dengan cepat, pantas serta menjimatkan waktu. 

Teknologi digital dalam industri muzik telah memudahkan segalanya – daripada proses mencari bakat, mencipta lagu, merakam muzik, susunan muzik, merakam, mixing dan mastering sehinggalah waktu memasarkan karya lagu itu kepada sasaran pendengar. 

Ironinya, pada saat kebanyakan pendengar generasi lama masih tersekat serta tidak mampu menerima kehadiran muzik-muzik baharu, pendengar yang muda pula sibuk mencari dan mendengar lagu-lagu lama. Bahkan, lagu lama yang didengar adalah dari zaman sebelum kelahiran mereka lagi.

Seorang kakitangan di pusat karaoke pernah memaklumkan bahawa carian lagu lama mereka adalah yang paling tinggi jika dibandingkan dengan lagu baharu dan kebanyakan pengunjung muda mereka banyak menyanyikan lagu-lagu lama yang sudah lama wujud sebelum mereka dilahirkan. 

Apakah ini membuktikan lagu lama lebih evergreen (malar segar), lebih universal dan tidak mempunyai batas waktu atau tarikh luput (timeless) kerana muziknya lebih original dan proses pembikinannya lebih raw serta liriknya lebih tertib, tersusun dan bermakna sehingga ia berjaya merentasi pelbagai jenis pendengar selama beberapa dekad? 

Portal Getaran telah menemu bual tiga komposer berkaliber tanah air yang telah memenangi pelbagai anugerah lagu iaitu Fauzi Marzuki, Manan Ngah dan LY.

Fauzi Marzuki 

Pencipta lagu hebat untuk karya lagu seperti ‘Lagenda’ (Datuk Sheila Majid), ‘Kekasih Awal & Akhir’ (Datuk Jamal Abdillah), ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ (Datuk Nash Lefthanded), ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’ (Ella), ‘Pusara DI Lebuhraya’ (Ekamatra), ‘Di Alam Fana Cinta’ (Fotograf), ‘Usang’ (Rahim Maarof) dan ‘Jejaka Idaman’ (Raja Ema).

Masih mengikuti perkembangan penghasilan lagu-lagu yang dihasilkan penulis-penulis lagu baharu,  Fauzi Marzuki tidak bersetuju jika ada yang menganggap lagu sekarang tidak sedap jika dibandingkan dengan lagu zaman dahulu. 

“Lagu sekarang ada juga yang sedap cuma ia tidak dapat bertahan lama dan ia mempunyai banyak sebab.

“Dulu-dulu semua lagu harus melalui RTM. Sebelum masuk RTM, Artiste & Repertoire (A&R) dalam sesebuah syarikat rakaman akan memilih siapa artis yang layak menjadi penyanyi rakaman, lagu apa yang sesuai untuk dia dan bagaimana cara nak memasarkan artis tersebut. 

“A&R akan bentangkan idea ini kepada team promosi dan pemasaran di dalam syarikat rakaman dan mereka kemudian akan melaksanakan tugas mereka mengikut bajet yang dibentangkan,” katanya. 

Menurut Fauzi Marzuki lagi, dia masih ingat sewaktu dia bertugas sebagai A&R di syarikat rakaman EMI dan waktu itu, mereka di dalam proses meluncurkan album Sudirman pada bulan Ogos. 

“Kita buat mesyuarat dengan Sudirman. Kita fikir dan bincang  konsep apa yang sesuai untuknya. Kita selitkan lagu merdeka sebab ia kena dengan jiwa dan keperibadian dia. Setiap lagu kita pilih betul-betul. Kena atau tidak dengan konsep albumnya.

“Kemudian kita fikir pula akan kesesuaian melodi setiap lagu. Tinggi rendahnya. Sesuai atau tidak dengan Sudirman. Kita tanya dia okey ke tidak. Kalau okey, baru kita rakam dan lagu-lagu di dalam album itu pasti akan dimainkan di RTM. 

“Bukan lagu yang sama kita berikan pada semua stesen radio. Kita lihat sasaran penonton setiap radio dan berikan lagu yang sesuai dengan sasaran pendengarnya. 

“Namun, zaman sudah berubah. Corak kerja seperti itu sudah tidak dipraktikkan lagi. Disebabkan itu, sudah tiada lagi kawalan kualiti (quality control) untuk sesebuah lagu rakaman yang dihasilkan untuk penyanyi rakaman,” katanya. 

Menurut Fauzi lagi, penyanyi generasi baharu pula lebih suka gunakan khidmat rakan-rakan mereka untuk buat lagu.

“Mereka sesama mereka berbincang dan tiada ada kawalan kualiti lagu itu okey atau tidak okey, sedap atau tidak, sesuai atau tidak. 

“Perubahan zaman juga menyebabkan radio tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjadikan sebuah lagu itu hit. 

“Sekarang ini, kalau mahukan lagu itu jadi hit, campak sahaja lagu itu di media sosial terutama di YouTube. Lagu-lagu yang dimainkan di YouTube, hanya didengar dalam kalangan kelompok pendengar usia muda yang sebegitu sahaja. 

“Ia tidak sampai secara menyeluruh kepada semua pendengar. Jadi, bila kelompok pendengar ini berusia 40-an nanti, lagu itu tidak akan jadi nostalgia kepada pendengar generasi muda selepas mereka. Bila tidak jadi nostalgia, ia tidak akan jadi evergreen,” katanya. 

Manan Ngah 

Pencipta lagu hebat untuk karya lagu seperti ‘Merisik Khabar’ dan ‘Terasing’ (Datuk Sudirman Haji Arshad), ‘Sekadar Di Pinggiran’ dan ‘Aku Hanya Pendatang’ (Francesca Peters), ‘Kau Merubah Segalanya’ dan ‘Bukan Kemahuan Fikiran’ (Fauziah Latiff), ‘Relakan’ (Datuk Sheila Majid), ‘Mencari Mimpi’ ( Azlina Aziz), ‘Kau Yang Tersendiri’ (Jay Jay) dan ‘Cinta Nusantara’ (Sheqal).

Komposer kelahiran Terengganu ini berpendapat bahawa sukar untuk menentukan bagaimana sesebuah lagu itu dapat diklasifikasi sebagai lagu yang baik serta mampu bertahan lama. 

“Tapi, sebenarnya bergantung kepada cita rasa dan pilihan menerusi medium yang sedia ada. Hari ini, pendengar mampu membuat pilihan, lagu apa yang mereka mahu dengar dan di saluran atau medium apa yang mereka mahu gunakan untuk mendengar lagu itu. 

“Dahulu, kita tidak mempunyai pilihan-pilihan tersebut. Kita hanya mampu mendengar lagu di saluran yang telah disediakan dan ditetapkan untuk kita dan jika ia mampu diterima sehingga 30 atau 50 tahun akan datang dan orang masih mengenal lagu itu, bermakna lagu itu dapat bertahan. 

“Untuk bertahan ia didorong oleh dua faktor - time is essence dan ia mampu merentasi pendengar muzik arus perdana,” katanya. 

Bagaimanapun, kata Manan Ngah lagi, terdapat aspek-aspek yang lain turut menyumbang kepada sesebuah lagu itu menjadi sebuah lagu yang baik dan pada masa yang sama mampu bertahan. 

“Saya melalui dua zaman dalam pembikinan lagu iaitu analog dan digital. Penghasilan lagu secara analog memang merumitkan kerana segalanya terpaksa dilakukan secara manual. 

“Macam saya buat lagu ‘Merisik Khabar’. Ia hanyalah sebuah lagu yang berdurasi 5 minit sahaja. Tapi disebabkan ia dilakukan secara manual, prosesnya terpaksa dilakukan berulang kali apabila hasil rakamannya tidak memuaskan dan bayangkan rakaman vokal sahaja mengambil masa 5 hingga 6 jam untuk disiapkan. 

“Ia memang mencabar kreativiti, emosi dan keupayaan fizikal. Berbeza dengan digital kerana banyak perkara boleh dilakukan secara delete dan copy and paste

“Kerja jadi lebih cepat dan ia lebih banyak membantu menaiktaraf dokumentasi secara digital  serta lebih mudah mendapat kesempurnaan yang lebih jelas dalam kerja-kerja rakaman. 

“Tapi, jiwa dalam penghasilan lagu itu haruslah lahir dalam batang tubuh kita sendiri dan kita tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata. Kandungan lirik juga memainkan peranan penting dalam melukis dan memberi watak kepada kewujudan lagu itu. 

“Kalau sekadar meletakkan lirik lagu yang melepaskan batok di tangga, ia tidak akan menjadi. Tapi kalau lirik tersusun dan ada estetika, ia akan menyumbang lagu itu untuk menjadi evergreen. 

“Begitu juga dengan penyanyi yang membawakan lagu itu. Dia harus merelakan dirinya untuk membawakan lagu itu dengan sebaik mungkin,” katanya yang kini sibuk memuatkan kandungan-kandungan dalam saluran YouTube miliknya sendiri iaitu Manan Ngah. 

LY 

Penulis lagu hebat  ini menghasilkan karya-karya seperti ‘Aku Cinta Padamu’ (Dato' Seri Siti Nurhaliza), ‘Mengapa’ (Nicky Astria), ‘Bayangan Gurauan’ (Mega), ‘Rahsia Pohon Cemara’ (Exist),  ‘Bourgenvilla’ (Spring), ‘Sedalam Mana Cintamu’ (Safura), ‘Setia Ku Korbankan’ (Fauziah Latif), ‘Syurga Di Hati Kita’ (Ziana Zain), ‘Bahagiamu Deritaku’ (Hafiz Suip).

Bagi Rosman Shafie atau LY pula, sesebuah lagu evergreen itu haruslah mempunyai ciri-ciri lagu yang kontemporari dan semasa (current). 

“Ia satu putaran yang sama dari dahulu hingga sekarang. Waktu kita muda, generasi yang terdahulu tidak dapat menerima lagu yang kita dengar dan pada hari ini, sebahagian kita tidak dapat menerima apa yang pendengar muda hari ini dengar dan nikmati. 

“Mereka ini akan membawa lagu yang mereka dengar itu sehingga usia mereka 30 dan 40 tahun dan pada waktu itu, lagu yang mereka dengar itu sudah dilabelkan sebagai evergreen

“Waktu saya muda, saya suka dengar lagu rock. Tapi, bapa saya tidak suka sebab dia peminat lagu pop yeh yeh dan ramai peminat lagu pop yeh yeh yang tidak menerima kehadiran muzik rock. 

“Yang mendengar rock pula tidak dapat menerima apabila munculnya muzik indie ataupun hip hop kerana itu bukan zaman mereka. 

“Sebenarnya sesebuah lagu itu mampu bertahan apabila ia dibawa dari satu generasi ke satu generasi seterusnya,” katanya. 

Namun, jelas LY lagi,  aspek teknikal juga adalah penyumbang utama kepada ketahanan sesebuah lagu itu dan menjadikannya evergreen

“Sesebuah lagu yang evergreen pastikan akan mempunyai signature atau trademark yang jelas dan nyata. Misalnya lagu ‘Aku Cinta Padamu’ yang saya buat, dengar sahaja intro lagu itu orang sudah tahu. Begitu juga dengan lagu seperti ‘Sejati’ (Wings) atau ‘Sampai Hati’ (Spring). 

“Kemudian baru kita pergi kepada melodi dan lirik. Harus ada penyatuan di dalam melodi dan liriknya. Susunan muzik dan struktur lagu itu sangat penting dan akhir sekali barulah muziknya. 

“Apabila semua ini menyatu, lagu yang terhasil ini akan menjadi sebuah lagu yang baik dan evergreen

“Tapi muzik sekarang tidak seperti muzik dahulu sebab lagu sekarang banyak yang pakai sampling dan memang inilah benda-benda baharu yang budak-budak zaman sekarang inginkan. 

“Bagi saya, ia bukan suatu masalah kerana muzik harus bergerak. Kalau tak bergerak, ia tidak akan berkembang dan kalau tak berkembang, ia  tidak ada kemajuan,” katanya lagi. - Getaran, 1 Ogos 2021

Isu Pada

Jeritan Ezah Hashim

31 Jul 2021

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini