Berita Terkini

5 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jasmine Suraya Dedikasi Tinggi Terhadap Watak

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Dec 2022 10:00AM

Jasmine Suraya mula dikenali sebagai pengacara rancangan bola sepak.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di Malaysia, bilangan pelakon bukan Melayu yang berjaya menempa nama dalam industri hiburan Melayu tidak ramai. Bak kata orang  boleh dikira dengan jari. Jika dahulu kita punya bakat seperti Janet Khoo, Angeline Tan dan Nancy Foo yang begitu menyerlah di arena seni tempatan, kini kita punya aktres seperti bintang jelita yang menjadi wajah sampul hadapan TARA minggu ini iaitu Jasmine Suraya Chin.

Mendengar namanya buat pertama kali pasti membuatkan ramai menyangka bahawa empunya nama ini merupakan seorang yang berbangsa Melayu mahupun seorang mualaf. Namun, Jasmine sebenarnya merupakan anak kelahiran Kuching Sarawak yang berketurunan Cina.

“Ya, ramai yang sering tersalah sangka dan beranggapan bahawa saya beragama Islam kerana nama saya seperti orang Melayu. 

“Sebenarnya nama Suraya itu diberikan kepada saya oleh ibu bersempena nama rakan karibnya ketika mereka sama-sama belajar di luar negara,” kongsi pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin Xian Mei ini.

Malah, disebabkan ramai yang tersalah anggap agama sebenar Jasmine, ramai netizen yang mengecamnya setiap kali dia berkongsi foto yang mempamerkan imej seksi.

“Saya tak mahu cakap banyak kerana perkara ini sangat sensitif kerana ia melibatkan isu perkauman, agama dan sebagainya. 

“Jika orang nak pertikaikan pemakaian saya, biarlah. Itu pendapat mereka. Saya rasa tak perlu saya buang masa untuk berbalah dengan mereka semata-mata untuk mempertahankan diri,” katanya. 

Daripada Pengacara Bola Sepak Kepada Lakonan 

Sebetulnya penulis mula mengenali Jasmine Suraya bukan sebagai pelakon tetapi sebagai pengacara rancangan bola sepak di stesen televisyen milik Media Prima. Ketika itu, penulis kagum melihat seorang wanita jelita berjaya mengendalikan rancangan sukan yang begitu  sinonim dengan golongan  lelaki. 

Soal penulis kepadanya bagaimana dia boleh terjun ke bidang lakonan sedangkan namanya ketika itu sedang menjadi tumpuan dan bualan hangat sebagai pengacara rancangan sukan bola sepak.  

“Awak patut tanya saya macam mana saya boleh terjebak rancangan bola sepak” jawabnya sambil ketawa

“Sebenarnya saya tak berapa suka bola sepak. Tapi ketika itu saya masih baru dan masih tercari-cari peluang. 

“Kebetulan peluang untuk mengacarakan rancangan bola sepak itu datang. Jadi saya pun terima. Tetapi saya anggap peluang mengacarakan rancangan itu sebagai satu rezeki kerana di situ nama saya mula dikenali di kalangan peminat sukan bola sepak. 

“Tetapi impian sebenar saya adalah untuk menjadi seorang pelakon. Saya bertemu dengan seorang sahabat dan dia menasihati saya jika saya benar-benar mahu menjadi pelakon, saya harus fokus kepada bidang lakonan. 

“Selepas itu saya berhenti dari menjadi rancangan bola sepak itu dan teruskan langkah dalam bidang lakonan. 

“Saya bernasib baik pada ketika itu kerana saya bertemu dengan pengarah terkenal, Michael Ang. Dia telah menawarkan saya watak dalam drama Hero Seorang Cinderella. Tiba-tiba drama itu meletup,” kongsinya.

Laluan Jasmine dalam bidang lakonan terlihat mudah kerana selepas berjaya mencipta nama sebagai pelakon drama, dia disunting pula untuk membintangi filem pecah panggung, iaitu Paskal pada tahun 2018. 

Jasmine melakonkan watak sebagai Lily yang merupakan isteri kepada salah seorang anggota Paskal yang terkorban. Jasmine merupakan ‘bunga’ yang menjadi penyeri dalam filem arahan Adrian Teh itu yang kebanyakan pelakonnya didominasi oleh barisan pelakon lelaki antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian dan Theeban G. 

“Sejak dari itu, orang mula memandang serius tentang bakat lakonan saya. Banyak tawaran yang datang dan saya  berpeluang memilih watak untuk saya berkarya,” ujarnya.

2022 Tahun Gemilang Dalam Kerjaya Lakonannya 

Tahun ini kerjaya lakonan Jasmine dilihat cemerlang. Dia berjaya menggalas tanggungjawab memegang watak pemain bowling terkenal negara, Shalin Zulkifli dalam drama ‘Ratu Tenpin’. 

Dedikasinya untuk menghidupkan watak berkenaan perlu dipuji kerana bukan mudah untuk menjelmakan sosok persis Shalin. Jasmine perlu menambah berat badannya dan memotong rambut pendek untuk menghidupkan watak Shalin.

“Watak Shalin adalah antara salah satu watak yang paling berbekas di hati kerana ia sangat mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon. Saya perlu tambah berat badan dan banyak babak menangis. 

“Satu lagi watak yang paling memberikan kesan yang mendalam dalam karier lakonan saya adalah watak sebagai gadis cina bernama Sofia yang membesar dalam rumah anak yatim dan kemudian diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu. 

“Apabila drama itu ditayangkan, ramai yang sangat sukakannya. Ramai juga yang kongsi kisah mereka bersama saya. Bagi saya ia merupakan satu pengalaman yang sangat berharga apabila dapat menghasilkan karya yang dapat menyatukan semua orang,” ujarnya.

Amat Menghormati Budaya Lain 

Ditanya apa yang membuatkannya diterima baik oleh masyarakat Melayu, kata wanita berusia 33 tahun ini, dia seorang yang sangat menghormati budaya lain dan fasih berbahasa Melayu.

“Mungkin percakapan saya lebih fasih berbanding orang lain. Saya menghormati budaya lain. Apabila saya bergaul dengan mereka, saya anggap diri saya sebahagian daripada mereka. Selain itu, saya juga memperkasakan bahasa Melayu saya. 

“Saya juga bukan pelakon yang akan terima watak yang tertumpu kepada satu bangsa sahaja. Contohnya, saya tak  saya hanya nak berlakon watak perempuan  Cina sahaja kerana saya mampu lakukan dengan baik. Saya terbuka untuk melakonkan watak perempuan Melayu. 

“Jika saya diberi watak perempuan Melayu bertudung, saya akan belajar macam mana nak sembahyang, baca al-Quran, ataupun sebut perkataan seperti Alhamdulillah dan Assalamualaikum.

“Saya akan belajar untuk bercakap seperti orang Melayu. Mungkin ini salah satu sebab kenapa saya diterima baik oleh penonton dikalangan masyarakat Melayu,” katanya yang turut tidak menafikan namanya juga merupakan salah satu faktor kenapa dia mudah diterima oleh masyarakat Melayu.

Pegang Watak Anggota Polis Dalam Hilang 

Terbaru, Jasmine muncul dengan drama bergenre seram dan misteri berjudul ‘Hilang’ yang sedang hangat ditayangkan di platform penstriman popular, VIU Malaysia. Ini kali pertama dia membawa watak sebagai seorang anggota polis disamping aktor berbakat besar, Khir Rahman. 

Malah, penulis sendiri berpeluang melawat ke set penggambaran ini yang terletak di Sungai Lembing Pahang untuk melihat sendiri lokasi serta proses pembikinan drama yang diarahkan Ghaz Abu Bakar dan Syed Hussein ini. 

Memandangkan, ini kali pertama Jasmine memegang watak sebagai anggota polis, bagaimana pula  tentang  persediaan yang dilakukannya  untuk menggalas watak Inspektor CAY? Kata Jasmine, dia banyak menonton siri dari luar negara untuk mengambil inspirasi.

“Saya banyak tonton siri dari Korea terutamanya seperti ‘Partner For Justice’ dan ‘Stranger’. Kerana dalam cerita itu, ada watak polis perempuan. Watak Inspektor CAY ini sangat menarik kerana dalam banyak-banyak watak yang ada dalam siri ‘Hilang’ ini, watak saya yang paling punya hati nurani yang paling bersih.

“Bagi saya siri ini sangat lain daripada drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Bila saya baca sinopsis, saya sangat berharap saya akan dapat watak ini kerana saya tak pernah baca format yang sebegini. 

“Agak mencabar juga watak Inspektor CAY ini dari segi fizikal dan perilaku seorang yang bergelar anggota polis. Tetapi saya perlu berterima kasih kepada setiap pelakon yang terlibat dalam siri ini kerana kami mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja sewaktu berlakon tetapi juga ketika di luar set.

“Bagi saya hubungan ini sangat penting untuk mewujudkan ‘chemistry’ yang luar biasa dalam lakonan,” kongsinya. 

Idam Watak Wanita Kurang Upaya 

Apabila mendengar Jasmine berkongsi tentang persediaannya dalam memenuhi tuntutan watak dalam setiap karya yang dibintanginya, jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang sangat tekun dan sangat memberi perhatian dalam setiap perincian. 

“Saya akan baca skrip beberapa kali. Kali pertama saya akan baca sekali lalu. Kali kedua baru saya akan ‘highlight’ watak saya. 

“Saya suka mengkaji sesuatu watak itu dari pandangan kaca mata seorang penonton. Di mana ‘turning point’ watak itu, bagaimana perubahan dari segi emosi dan fizikal selepas berlakunya ‘turning point’. Saya punya satu diari yang saya akan tulis setiap perkara yang perlu tentang watak,” ceritanya penuh bersemangat. 

Melihatkan kini dia sangat memilih watak untuk berkarya, soal saya padanya watak bagaimana lagi yang mahu digalasnya? Kata Jasmine dia mengidamkan watak orang kurang upaya.

“Kalau boleh saya mahu lakonkan watak penghidap autisme yang mempunyai minat dalam bidang sukan. Saya juga idamkan watak seperti dalam filem Crouching Tiger Hidden Dragon. Itu adalah watak yang saya sangat teringin untuk lakonkan.

“Disebabkan itu juga saya mempunyai impian untuk mengembangkan bakat saya ke luar negara. Saya kagum dengan orang seperti Tan Sri Michelle Yeoh. You can call me a cliché

“Pada saya, biarpun beliau datang daripada keluarga yang berada, tetapi apa yang dikecapinya hari ini sebagai seorang pelakon yang berjaya di persada antarabangsa adalah daripada hasil titik peluhnya sendiri. 

“Beliau seorang yang pandai mencari peluang dan menggunakan peluang yang dia ada,” katanya yang mengharapkan dapat membintangi filem untuk Netflix dan filem bertaraf festival filem. - Getaran, 10 Disember 2022

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA: Jasmine Suraya 

Editor Gaya Hidup & Hiburan: Ellyna Ali

Teks & Penyelaras: Helmi Anuar 

Suntingan Teks: Faizal Salim 

Reka Letak: Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Dedikasi Jasmine Suraya

17 Dec 2022

Sorotan

1

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

2

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

3

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

4

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

5

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

6

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan