Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Lupakan Patong, Larikan Diri ke Surin Untuk Sebuah Percutian Mendamaikan

Tidak seperti Patong, Surin menjanjikan sebuah percutian lebih tenang dan mengasyikkan. Mencari makanan halal juga lebih mudah serta lebih murah.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Oct 2022 8:04PM

Apa yang menariknya ialah Pantai Surin tidak sesesak Pantai Patong. - Gambar oleh Rahayu MN

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setelah dua tahun tidak terbang ke mana-mana, hati mana yang tidak menjerit-jerit untuk dibawa terbang membawa diri. Bukan mahu lari berpatah-arang, berkerat rotan dengan rutin harian yang membosankan, tetapi untuk merawat diri yang seakan merajuk gara-gara virus COVID-19 yang galak membunuh sana-sini.

Enggan bertangguh-tangguh lagi, penulis mencari sebuah destinasi percutian yang dekat di hati, tidak membebankan poket, dan yang paling penting menjanjikan ketenangan fikiran.

Bukan bingit seperti hutan batu Kuala Lumpur. Akhirnya Phuket menjadi pilihan hati. Biarpun sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke destinasi popular ini, namun masih banyak lagi lokasi atau tarikan yang belum diterokai.

Berpegang kepada hasrat hati yang mahu merawat diri, penulis tekad memilih Pantai Surin untuk percutian tiga hari dua malam. Daripada ulasan-ulasan dalam talian, pantai ini sebenarnya sering menjadi pilihan hati mereka yang cintakan ketenangan. Benar, pantainya tidak sepanjang atau seluas pantai Patong, tetapi percayalah ia tidak menghampakan.

Di sini, anda juga boleh melihat matahari yang sama melabuhkan tirainya, di sini juga anda boleh menjamu selera dengan pelbagai jajanan tempatan yang membuka selera.

Malah, di sini juga anda boleh bersama-sama rakyat tempatan yang juga meluangkan masa menikmati keindahan alam. Tidak seperti di Patong, rata-rata yang berpeleseran adalah warga asing. 

Paling manis, penulis berkesempatan membawa diri ke pantai di hening pagi, mendengar desiran ombak tanpa sebarang gangguan. Tenang, damai, mengasyikkan. Terlerai seketika beban yang digalas.

Apa mesti tahu tentang Surin?

Pantai Surin juga terkenal dengan aktiviti luncur air. - Gambar oleh Rahayu MN
Pantai Surin juga terkenal dengan aktiviti luncur air. - Gambar oleh Rahayu MN

Pantai Surin adalah salah satu tempat yang paling indah dan semula jadi pulau yang mendapat gelaran ‘Mutiara Laut Andaman’ ini. Biarpun tidak sepopular pantai Patong, namun pantai ini sebenarnya sudah lama menjadi pilihan kelab-kelab pantai dan restoran terkenal.

Selepas pandemik, pantai ini kelihatan lebih cantik dan segar. Menikmati pemandangan matahari terbenam sambil menikmati makanan Thai tempatan merupakan salah satu aktiviti yang mesti anda lakukan di sini.

Jika perut tidak lapar, boleh basahkan tekak dengan air kelapa yang sentiasa menjadi buruan ramai. Boleh sewa tempat piknik pada harga THB100 ke THB200 untuk lebih selesa.

Selain itu anda juga perlu tahu, setiap kali musim tengkujuh (Julai ke October), Surin popular untuk aktiviti luncur air. Waktu ini anda boleh saksikan ramai peluncur mengejar ombak untuk membuat luncuran penuh gaya. 

Jika anda juga salah seorang peminat , jangan lepaskan peluang menghambat adrenalin. Nak belajar? Kenapa tidak? Ada banyak ‘sekolah mengajar’ yang tersedia. Silap-silap hotel yang didiami juga ada menawarkan sesi pembelajaran.

Salah satu hotel atau resort yang giat mempromosikan sukan lasak ini ialah Outrigger Surin Beach Resort yang baru sahaja dibuka pada penghujung 2021. Sejak pembukaannya itu, Outrigger Surin Beach Resort telah mempromosikan budaya meluncur di Phuket. 

Hidangan menarik, membuka selera pengunjung.
Hidangan menarik, membuka selera pengunjung.

Selain menganjurkan beberapa pertandingan, hotel bertaraf butik ini turut memperkenalkan pakej ‘Surf's Up’ yang membantu mengajar tetamunya cara meluncur.

Pakej ini termasuk dua malam penginapan dengan sarapan pagi di Nalu Bar & Grill, serta pelajaran luncur air selama 60 minit dengan pengajar profesional, sijil penyertaan dan gambar sesi.

Pengangkutan pergi balik dari resort ke sekolah luncur air juga disertakan. Harga bermula daripada THB4999 bergantung kepada jenis bilik yang ditempah.

Bagaimana penulis tahu tentang pakej ini? Sebabnya penulis menginap di resort ini dan sempat berbual-bual dengan salah seorang petugas hotel yang ramah.

Sayangnya, penulis tidak punya masa untuk belajar kerana sudah menempah beberapa pakej lain daripada operator luar. Namun di dalam hati sudah terdetik, akan kembali untuk belajar. 

Lagipun penulis jatuh hati dengan resort ini. Cukup ideal untuk merehatkan diri. Persekitarannya tenang, dekorasinya juga cantik, sesuai dengan lokasinya yang menghadap pantai Surin.

Gambar dari laman web Outrigger Surin Beach Resort
Gambar dari laman web Outrigger Surin Beach Resort

Percayalah, jiwa terasa lepas bebas sepanjang berada di sini. Bahkan, sesuai dijadikan lokasi persembunyian, jauh daripada mereka yang menjengkelkan. Sebab apa? Persekitarannya juga selamat. Petugas resort pula sedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa. 

Jadi jika anda sedang merancang percutian ke Phuket, pertimbangkanlah resort ini. Berikut sedikit info yang boleh membantu anda membuat keputusan.

Resort kecil, tetapi serba lengkap

 Outrigger Surin Beach Resort - Gambar dari laman web
Outrigger Surin Beach Resort - Gambar dari laman web

Terletak hanya 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Outrigger Surin Beach Resort mempunyai 60 buah bilik yang terdiri daripada pelbagai jenis, termasuklah Surin Studio Balcony, seperti yang penulis pilih. Dengan katil bersaiz king, bilik ini cukup luas dan selesa. Penulis suka dengan balkoni yang menghadap ke kolam renang.  

Biarpun kecil, resort ini mempunyai restoran dan bar berinspirasikan luncur air, dua kolam renang, studio kecergasan dan spa. Tiada sarapan pagi secara bufet tersedia, sebaliknya tetamu boleh memilih beberapa set sarapan menarik. 

Pilihlah menu vegetarian kerana hotel restorannya tidak berstatus halal. Jika tidak selesa boleh pandu keluar ke jalan utama. Ada banyak kedai makan Islam yang boleh anda singgah memandangkan populasi muslim banyak mendiami kawasan Surin. Harga makanan juga murah berbanding di Patong.

Satu lagi perkara yang anda mesti tahu ialah, resort ini mempunyai aplikasi yang boleh dimuat turun untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan aktiviti yang boleh anda ikuti sepanjang berada di resort seperti yoga dan larian pagi di pantai.

Boleh juga ‘berchatting’ untuk meminta sebarang servis atau pertolongan.Untuk maklumat lanjut, lebih baik anda layari sendiri laman sesawang resort ini di sini. - Getaran, 9 Oktober 2022 




 

Isu Pada

Takdir Bertemu - Nabila Razali & Keisya Levronka

08 Oct 2022

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi