Minat kepada selebriti atau seseorang personaliti adalah perkara biasa pada zaman ini. Namun terdapat beberapa orang dalam kalangan ini yang digelar peminat setia atau peminat tegar.
Mereka ini biasanya membuktikan cinta dan minat mereka pada seseorang dengan melakukan pelbagai perkara, termasuk mengumpul aneka barangan berkaitan seseorang personaliti.
Minggu ini, kami mendekati penata gaya, jurusolek dan pereka dalaman Chandra Shegar yang merupakan peminat tegar bintang ikonik era 80-and dan 90-an, Debbie Gibson dan mengupas mengapa dia sanggup mengumpul barangan berkaitan bintang pujaannya ini.

Sejak bila meminati Debbie Gibson?
Saya meminatinya sejak mendengar lagu pertamanya ‘Only In My Dreams’ yang dipetik dari album sulungnya Out Of The Blue. Tika itu beliau baru sahaja memasuki industri hiburan semasa zaman awal remaja saya pada tahun 1987.

Kenapa anda meminati Debbie Gibson?
Sehingga kini beliau kekal dengan pendiriannya dan tidak pernah cuba mengikuti trend muzik masa kini. Malah beliau pernah mengatakan, dirinya lebih sanggup kekal dengan imej dan muziknya sendiri kalaupun hanya 100 orang yang akan rasa gembira menikmati muziknya. Selain itu beliau sangat berbakat.
Debbie Gibson diiktiraf sebagai artis termuda dalam sejarah carta tersohor Billboard 100 untuk menulis, menerbit dan mempersembahkan lagu solo pada usia 16 tahun melalui lagunya ‘Foolish Beat’.
Dia juga seorang yang sangat baik dan merendah diri, Malah kami saling mengikuti di laman media sosial masing-masing dan kadang bertukar pesanan langsung.

Apa yang membuat anda ingin membeli dan mengumpul barangan berkaitan bintang ini?
Peluang untuk bertemu seorang selebriti besar sangat susah. Jadi sepanjang enam kali saya dapat bertemu beliau di konsert di Malaysia serta Singapura, saya akan pastikan saya miliki sesuatu sebagai tanda kenangan kerana sangat menyayanginya.
Apakah barang-barang cenderahati berkaitan Debbie Gibson yang anda miliki?
Hampir kesemua rekod (termasuk piring hitam), cakera padat, pita video dan kaset album beliau. Ada juga rantai kunci, koleksi terbaik album, majalah kelab peminat antarabangsa dari luar negeri, kemeja-T dan banyak lagi.

Apakah objek berkaitan Debbie Gibson yang paling mahal anda miliki?
Selain barangan yang telah ditandatangani, yang termahal adalah koleksi terunggul albumnya yang baru diterbitkan beberapa tahun lalu. Ia menghimpun kesemua belasan cakera padat dan video karya-karyanya dalam satu koleksi.
Barangan mana yang dibeli di luar negara?
Kemeja-T, beg, beberapa buku program dari persembahan teater yang dibintangi beliau semasa di Broadway dan West End, selain calendar yang dikeluarkannya setiap tahun.

Berapa lama anda ingin menyimpan barangan ini?
Sepanjang hayat saya.
Barangan cenderahati selebriti biasanya mempunyai nilai yang tinggi. Malah boleh dijual dengan harga yang tinggi.

Adakah anda akan menjual barang-barang ini satu hari nanti?
Saya tidak akan sama sekali. Ini semua barangan berharga. Saya peragakan di rumah dan melihatnya membuat saya gembira. Saya mahu ia kekal seperti itu.
Apabila anda tiada nanti anda pastinya akan wariskan pada seseorang. Adakah anda akan biarkan mereka untuk menjualnya atau mahu ia diwariskan ke generasi berikutnya?
Saya harap dua orang anak saudara saya akan menghargai barangan ini dan berkongsi peninggalan muzik Debbie Gibson dengan generasi yang akan datang. Saya sangat berharap mereka tidak akan menjualnya.

Pesanan buat mereka yang ingin mengumpul barangan berkaitan selebriti kesayangan mereka.
Buat yang meminati mana-mana selebriti, mengumpul barangan cenderahati mereka biasanya akan mengingatkan kita pada zaman muda kita dahulu, semasa mula-mula mengenali seseorang selebriti tersebut.
Jadi jika anda mahu mengimbas kembali zaman kegembiraan itu, kumpulkan barangan ini. Ia akan membantu membuat anda tersenyum bila perlu.
Saya juga ingin berterima kasih kepada Debbie Gibson sendiri kerana lagu-lagunya membantu saya membesar di zaman remaja. - Getaran, 6 Februari 2022