KUALA LUMPUR - Seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta selepas cuba menyeludup masuk 26 kilogram dadah jenis MDMA ketika sedang bertugas.
Pegawai kastam, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, juruterbang dikenali sebagai MS itu turut berada di bawah pengaruh dadah selepas ujian air kencing dijalankan.
Menurut beliau, suspek berusia 39 tahun dan ditahan di lapangan terbang utama di Jakarta, semalam.
“MS disahkan sebagai suspek selepas didapati membawa MDMA menggunakan sebuah beg pakaian ke Jakarta atas arahan individu tidak dikenal pasti, dan dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000.
"Ujian air kencing juga mendapati suspek berada di bawah pengaruh kokain dan methaphetamine,” katanya.
Jelas Hengky, suspek dipercayai bertindak sebagai kurier dadah.
“Pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sedang berhubung rapat untuk menyiasat perkara ini,” katanya.
Selain Malaysia, Indonesia turut dimaklumi melaksanakan undang-undang yang ketat untuk kesalahan berkaitan dadah.
Pada 2015, dua warga Australia dihukum mati selepas didapati bersalah terlibat dalam sindiket dadah Bali Nine dan cuba menyeludup heroin keluar dari Bali. - Getaran, 31 Julai 2026

