KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri bersetuju mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyiasat aspek pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Kabinet telah diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH sebelum meneliti secara menyeluruh dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Menurut beliau, laporan RCI itu akan dikeluarkan kepada umum hari ini dan turut akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada cadangan yang dikemukakan.
“Kabinet turut dimaklumkan bahawa TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencerminkan kedudukan pengurusan institusi itu kini berada pada tahap yang lebih kukuh,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya siasatan menyeluruh oleh agensi penguat kuasa berkaitan berdasarkan dapatan laporan RCI diteruskan serta-merta.
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya. - Getaran, 29 Julai 2026

