KUALA LUMPUR - Di sebalik dakwaan kononnya berlaku perselisihan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan presiden Umno itu sebagai “kawan baik dan juga abang”.
Ismail Sabri tetap menafikan perkara itu dengan berkata, Ahmad Zahid seperti seorang abang dan cakap-cakap mereka bertengkar hanya datang daripada orang luar.
“Dia macam abang dan kawan baik saya sejak bersama di Universiti Malaya. Malah kalau saya ponteng pun, tumpang tidur di biliknya,” katanya dipetik Malaysiakini.
Sejak Ismail Sabri mengambil alih jawatan Perdana Menteri, pemerhati politik sentiasa memerhatikan hubungan mereka kerana sebelum ini jawatan tertinggi negara kebiasaannya diisi presiden UMNO, bukannya naib presiden.
Di samping itu, Zahid berdepan 47 pertuduhan dikaitkan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB), yang enggan dicampuri Ismail Sabri kerana tidak mahu mengganggu badan kehakiman.
Temu bual antara Ismail Sabri dan pertubuhan media terpilih telah diadakan di Seri Perdana sempena setahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Ismail Sabri juga mengesahkan bahawa beliau telah bertemu dengan pemimpin tertinggi Umno untuk membincangkan mengenai pilihan raya umum akan datang.
Namun katanya, lima pemimpin teratas memahami beliau berkuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen. - The Vibes, 21 Ogos 2022

