KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam dinamakan sebagai calon MUDA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, nama Amira Aisya Abd Aziz heboh diperkatakan di media sosial.
Segalanya bermula dengan ucapan Setiausaha Agung MUDA itu sejurus dipilih bertanding mewakili parti berkenaan di DUN terbabit yang disiarkan sebuah portal berita, malam tadi.
Menurut artikel tersebut, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa pernah berjanji kepada ibunya untuk tidak menyertai politik namun bertindak sebaliknya.
Sebaik kisah berkenaan tular, Amira memohon maaf dan meminta restu ibunya, agar penglibatannya dalam politik diterima.
Bagaimanapun netizen mula mempersoalkan kredibiliti Amira Aisya sebagai calon diketengahkan MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mereka meluahkan kekhuatiran calon tersebut akan berbuat perkara sama kepada pengundi di DUN Puteri Wangsa.
“Dengan ibu sendiri boleh mungkir janji apatah lagi nanti dah menang, mungkir janji dengan pengundi pula. Belum naik jadi YB dah mungkir janji dengan ibu sendiri,” kata Bobs Win.
“Nak ke pilih orang yang tak ada pendirian ini. Dengan ibu sendiri pun dia dah mungkir janji, apatah lagi dengan rakyat nanti,” kata Jul Bintang.
“Alahai. Janji dengan mak sendiri pun boleh ‘sailang’ dan minta maaf. Janji dengan pengundi apalah sangatkan?” soal pula Arif Kadir.
Bismillah
— amiraaisya (@_amiraaisya) February 15, 2022
Membesar dalam keluarga yang tiada latar belakang politik, saya tak pernah terfikir hari ini akan terjadi.
Langkah Sheraton bagi saya merupakan titik runtuh demokrasi di Malaysia.
Langkah Sheraton merupakan permulaan awal saya dalam dunia politik secara aktif.
1/4 pic.twitter.com/96Z9lUCjnL
Berdasarkan tinjauan di media sosial, majoriti menolak calon pemimpin seperti Amira Aisya.
“DNA MUDA pun berasal daripada Pakatan Harapan (PH), mungkir janji itu benda biasa. Manifesto bukan kitab sucilah katakan,” kata Mansur Syah.
“Dengan ibu pun mungkir janji, tu contoh tak baik tau,” kata Hirman Kasiran.
“Langkah awal pun sudah sumbang. Harap ada simpan deposit nanti,” sindir Jaya Kusuma.
Di sebalik kecaman itu, terdapat juga netizen yang mendoakan agar Amira Aisya tabah menempuhi dugaan dalam karier politiknya.
“Amira, kami doakan kejayaan kamu dan kami percaya kamu berpotensi menang. Buat persediaan dengan baik untuk ceramah-ceramah, itulah resipi kejayaan,” kata Robert William Wilfred.
Terdahulu, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu mengumumkan Amira Aisya sebagai calon sulungnya, menyifatkan wanita itu sebagai individu sebenar yang menjadi tulang belakang dan penggerak parti tersebut.
Katanya, Amira Aisya merupakan individu yang tidak mahu menyertai parti berteraskan kaum semata-mata.
Menurut Syed Saddiq, Amira Aisya mempercayai konsep kepelbagaian yang meraikan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.
“Saya harap, sahabat-sahabat, keluarga dari DUN Puteri Wangsa dapat memberi peluang kepada wanita muda ini untuk mewakili sahabat ke peringkat DUN, dan perjuangkan isu rakyat, kebajikan, reformasi pendidikan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi calon Pakatan Harapan daripada BERSATU, Mazlan Buang, dengan majoriti 24,959 dalam pertandingan lima penjuru.
Bagaimanapun, Mazlan yang juga bekas Pengerusi BERSATU Johor, mengumumkan pengunduran daripada parti berkenaan 27 Januari lalu.
Katanya keputusan itu dilakukan atas alasan tidak percaya kepada kepimpinan Presiden BERSATU yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Getaran, 15 Februari 2022

