Aidilfitri tahun ini dinanti penuh debar oleh warga kota, ibu bapa di kampung halaman, sahabat handai dan teman taulan. Degupan jantung bukan sahaja kencang ketika menanti kemunculan anak bulan Syawal, tetapi juga tatkala menunggu pengumuman kebenaran rentas negeri untuk meraikan hari mulia ini bersama keluarga tercinta.
Kemeriahan Aidilfitri tahun lalu begitu terkesan apabila masing-masing tidak dibenarkan bersama keluarga di desa dan aktiviti ziarah terkesan dengan SOP ketat yang dikenakan. Adalah besar harapan semua agar tahun 2021 ini akan membawa khabar gembira.
Namun begitu, dalam penantian keputusan kerajaan berkait rentas negeri, mereka yang sudah berumah tangga perlu mengatur strategi bagaimana formulanya untuk beraya jika kebenaran diberi. Tentu sekali masing-masing merasakan perlu balik ke 'kampung saya' dulu.
Sekiranya prapersetujuan tidak dimeterai sebelum sampai Hari Raya pertama, natijahnya mungkin akan memurungkan suasana.
Getaran menyediakan formula untuk bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada giliran siapa balik ke kampung di Hari Raya pertama.
Buang Dadu? Oh Som?

Ini strategi paling mudah, kita sandarkan sahaja pada nasib masing-masing. Ambil dadu atau duit syiling, pilih muka dan baling. Kemudian, berserah. Boleh?
Kalau suami isteri jenis kepala sejuk boleh cuba cara ini tapi kalau terkena yang tak boleh menerima kekalahan, takut kena baling dengan objek berat yang lain pula. Selain syiling dan rock-paper-scissors, oh som juga boleh dicuba.
Status Kesihatan Ibu Bapa

Untuk yang ingin berunding cara matang dengan memberi penekanan kepada keperluan, kita boleh bermula dengan ibu bapa siapa yang lebih tidak sihat. Tidak perlu dijelaskan kenapa ini penting untuk diutamakan.
Kita tidak tahu samada r-naught COVID-19 ini akan kekal landai atau sebaliknya di bulan-bulan akan datang di tahun 2021 ini. Maka, seorang lagi yang ibu bapanya masih sihat walafiat, jatuh lokasi nombor dua.
Namun, formula ini tidak boleh digunapakai apabila kedua-dua ibu bapa tidak mengalami masalah kesihatan serius. Dan, jangan pula pakat-pakat dengan mak ayah untuk buat-buat sakit asal dapat jumpa anak menantu. Untuk yang sudah tiada ibu bapa, cara ini juga tidak boleh digunakan.
Siapa Kampung Jauh, Dia Balik Dulu
Formula kedua ialah jarak kampung masing-masing dari rumah. Masuk data dalam peta Google, siapa lebih jauh, dia menang.
Eh, kenapa macam itu pula? Kerana, apabila kita dikekang dengan PKP, PKPB, PKPD dan sebagainya, kebenaran merentas negeri ini terlalu berharga. Lantas, marilah kita rentas serentas-rentasnya untuk lebih untung, di samping dapat berjumpa ahli keluarga yang jauh di perantauan.
Yang dekat sedikit itu terpaksalah beralah kerana peluang si kampung jauh itu pulang agak tipis pada masa-masa lain. Jadi, satu trip untuk awak yang jauh, dua trip untuk saya yang dekat gitu. Hari raya ketiga, keempat pun raya juga. Asalkan dia tak langkau kampung kita, bertolak ansur itu adalah lebih baik.
Menyorot Raya 2019

Kalau masih ingat lagi, tahun 2019 dulu balik kampung siapa di hari pertama? Eh, tiba-tiba lupa ya? Tak mengapa. Buka sahaja Memories di dalam FB tu. Siapa dah balik di tahun 2019, 2021 dia kena mengalahlah pula.
Kalau tahun 2020 dikira juga, tentu sekali akan mengundang pertelingkahan segera. Anggap sahaja 2020 itu tahun yang hilang dan berilah peluang kepada pasangan kita untuk pulang meraikan Aidilfitri di hari pertama.
Perihal Dompet & Bajet

Untuk balik beraya di kampung halaman, bukan sikit-sikit belanjanya. Ramai yang yang terkesan dengan impak COVID-19 ke atas ekonomi, ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang dipotong pendapatan, ada yang hidup bersandar i-Sinar sahaja.
Pulang beraya dengan tangan kosong mungkin membuat hati masing-masing berasa tidak selesa, walaupun ibu bapa yang menerima tidak berkata apa-apa.
Jika begini keadaannya, janganlah dipaksa pasangan untuk menurut kehendak kita sahaja. Bincang dan bincang lagi agar persetujuan dapat dicapai umpama menarik rambut dalam tepung.
Selepas keputusan telah dibuat, berlapang dadalah. Usah diungkit-ungkit mencacat kemeriahan perayaan. Jika kebenaran merentas negeri diberi oleh MKN, perlu diingat bahawa vaksin masih belum sampai ke lapisan marhaen.
Oleh itu, kita semua perlu berjaga-jaga dengan mengekalkan SOP setiap masa. SOP, SOP juga, jangan pula kita berjejak-kasih beria dengan memeluk cium tanpa pelitup muka dan jangan pula kita sanitasi bekas kuih di rumah orang pula.
Segalanya berpada-pada kerana objektifnya ialah untuk memeriahkan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara. - Getaran, 30 April 2021