Faber-Castell Malaysia telah melancarkan program Pembelajaran Kreatif oleh Score A, sebuah program edisi guru yang menggalakkan dan memupuk pembelajaran kreativiti di sekolah.
Program ini dijalankan sempena menyahut seruan Kementerian Pendidikan (KPM) agar sektor swasta menjalinkan kerjasama bagi menggalakkan kreativiti dalam kalangan guru.
Menekankan kepada penggunaan alatan tulis yang tepat dan bersesuaian dengan kaedah kreatif, program ini bertujuan meningkatkan teknik pengajaran guru dan proses pembelajaran pelajar.
Ia turut membantu untuk menggalakkan penglibatan dan hubungan mesra antara barisan tenaga pengajar dengan anak-anak didik asuhan mereka.
Untuk fasa pertama program ini, Faber-Castell berkolaborasi bersama enam Jabatan Pendidikan Negeri. Antaranya, Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.
Fasa pertama ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 guru dan 200,000 pelajar di negeri-negeri terbabit.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama industri dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru dan pelajar.
“Dengan Score A, ia merangkumi pendekatan pembelajaran abad ke-21 di dalam bilik darjah. Saya yakin pembelajaran kreatif ini lebih menyeronokkan.
“Pembelajaran kreatif dilihat sebagai penggerak utama yang membantu pelajar memahami maklumat dengan lebih baik.
“Selain itu, ia turut membantu membina kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal, penyelesaian masalah, pergerakan dan banyak lagi.
“Pelajar lebih bersedia dengan kemahiran dan cabaran yang perlu dihadapi di masa hadapan. Oleh itu, saya memuji usaha murni ini yang dijalankan serentak di enam negeri,” ucapnya.

Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Andrew Woon pula berkata, “Program ini direka selaras dengan moto syarikat iaitu ‘teman sepanjang hayat’.
“Ia disasarkan untuk memupuk kreativiti di semua peringkat umur tanpa batasan. Kami ingin terus mendorong dan memberikan pengalaman kreatif kepada semua pengguna kami.
“Kreativiti tidak hanya terbatas kepada seni sahaja, malah merangkumi proses pembelajaran dan penyelesaian masalah juga.”
Woon menambah sesi pembelajaran itu bukan sekadar menghafal. Ia lebih kepada memperoleh dan memahami maklumat. Kaedah kreatif dilihat turut mampu membantu proses pembelajaran.
Sebagai contoh, peta minda menggunakan kaedah visual dan warna untuk menguatkan ingatan. Ia membenarkan pelajar menyusun pemahaman mereka agar maklumat lebih mudah difahami.
“Melalui program ini, para guru turut didedahkan kepada pelbagai teknik pembelajaran kreatif untuk membimbing dan memotivasi pelajar tentang keseronokan belajar,” tambahnya lagi.
Antara contoh teknik kreatif Score A seperti Riverflow Note-taking iaitu kaedah mengambil nota secara kreatif semasa proses pembelajaran dengan aliran kronologi.
Association Technique pula ialah kaedah yang memecahkan maklumat kepada butiran kecil.
Seterusnya, pelajar dikehendaki menggunakan deria rangsangan seperti visual, lisan dan fizikal untuk menghubungkan maklumat-maklumat tersebut.
Para guru akan dilengkapi dengan buku panduan yang menerangkan teknik-teknik dan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan agar ia berkekalan dan berguna untuk jangka masa yang lama.
Pembelajaran Kreatif oleh Score A ini pertama kali diperkenalkan pada 2020 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Sepanjang dua tahun berlangsung, Faber-Castell Malaysia telah mengendalikan beberapa bengkel pembelajaran kreatif di seluruh negara. – Getaran, 22 Julai 2022