web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Memang Patut Laksana RUU Larangan Lompat Parti Di Negeri, Tapi…

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Jul 2022 7:01AM

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan, pada 28 Julai lalu. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) seperti Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan empat hari lalu wajar dilaksanakan di peringkat negeri bagi mengelakkan semua wakil rakyat ‘melompat parti’ sesuka hati.

Namun, menurut penganalisis politik, keputusan sama ada peraturan itu bakal dilaksanakan atau sebaliknya di peringkat negeri, bergantung kepada kerajaan masing-masing kerana ia di bawah kuasa pihak berkenaan, bukan kerajaan Persekutuan.

Dr Rusdi Omar
Dr Rusdi Omar

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Rusdi Omar berkata, beliau bersetuju sekiranya undang-undang melarang wakil rakyat melompat parti dilaksanakan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), memandangkan tindakan itu turut dilakukan segelintir mereka.

“Wakil rakyat melompat parti ini bukan hanya membabitkan Ahli Parlimen, tetapi juga ADUN seperti berlaku di beberapa negeri, antaranya Sabah, Perak dan Kelantan.

“Jadi bagi saya kalau kita betul-betul nak buat, mahu transparent (telus) supaya tak timbul lompat parti, bukan saja di Parlimen perlu laksana RUU lompat parti, tetapi juga di DUN,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Terdahulu, Veteran UMNO berharap RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Parlimen Rabu lalu, turut dilaksanakan di peringkat negeri bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti sesuka hati.

Mustapha Yaakob - Gambar dari media sosial
Mustapha Yaakob - Gambar dari media sosial

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya menyarankan supaya semua kerajaan negeri turut meminda atau menambah fasal yang menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada melompat ke parti lain.

Tegasnya, Malaysia tidak mampu lagi mempunyai ahli politik dan wakil rakyat ‘katak’ yang menyumbang kepada ketidakstabilan politik negara seperti berlaku sekarang.

Beliau berkata, RUU itu juga sebagai penghormatan dan jaminan kepada pengundi daripada dikhianati selepas memberi kepercayaan serta amanah kepada wakil rakyat semasa PRU.

Mustapha menegaskan, ia juga akan menghalang wakil rakyat dari menggadai jawatan atas sebab peribadi dan menyelamatkan mereka dari menjadi ‘pelacur politik’ yang hina.

Rusdi memaklumkan, perkara itu bagaimanapun terletak di tangan kerajaan negeri, memandangkan kuasa memerintah adalah di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, kebiasaannya apabila sesuatu undang-undang, akta atau peraturan dibuat di peringkat Pusat, ia akan diikuti negeri demi kebaikan rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, RUU berhubung larangan melompat parti itu sememangnya bagus bagi menghalang wakil rakyat menjadi ‘katak politik’ dan mengkhianati pengundi yang memberikan kuasa kepimpinan kepada mereka ketika pilihan raya.

“Cuba bayangkan seseorang wakil rakyat ini bertanding parti A, bila parti itu goyah, dia melompat ke parti B dan kebanyakan mereka ini berbuat demikian untuk kepentingan sendiri.

“Memang tak nampak (melompat) demi kepentingan rakyat, kalau benar demi rakyat, janganlah jadi menteri, timbalan menteri atau pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tapi rasanya tak pernah lagi buat macam ini, sebaliknya untuk diri sendiri,” katanya.

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Sementara itu, Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pelaksanaan larangan melompat parti wajar dipratikkan di peringkat kerajaan negeri, namun ia harus berlandaskan beberapa perkara.

Jelasnya, pertama adalah kelulusan itu bergantung kepada kerajaan negeri dan parti dominan yang memerintah di peringkat negeri.

Persekutuan katanya, tidak boleh memaksa kerajaan negeri untuk melaksanakan RUU terbabit kerana ia akan menyaksikan campur tangan di dalam hal ehwal kerajaan negeri.

“Kemudian perbincangan mengenai undang-undang seperti ini perlu dibentuk di pihak parti dahulu, iaitu kalau lompat parti apa tindakan akan dikenakan.

“Daripada parti, barulah perkara ini ke peringkat negeri untuk dibincang atau diusulkan,” katanya.

Awang Azman berkata, berdasarkan RUU sedia ada diluluskan di Parlimen, ia seharusnya menjadi kayu pengukur kepada pentadbiran negeri untuk mengenalpasti kekuatan atau kelompangan yang ada untuk ditambah baik.

“Kita perlu beri ruang kepada kerajaan negeri dan parti untuk melaksanakan undang-undang seperti ini. Beri ruang untuk kerajaan negeri kaji kelompangan supaya apa yang bakal dilaksanakan lebih baik.

“Perkara seperti melaksanakan undang-undang ini subjektif, jadi bagi masa dan ruang untuk mereka (kerajaan negeri) bincang apa terbaik, baru bawa ke mesyuarat peringkat negeri,” jelasnya. – Getaran, 31 Julai 2022

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

Luar Negara 2 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka  Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Padah Pasport Diconteng Anak, Wanita Terpaksa Tunda Penerbangan 

oleh Sophia Ahmad

Luar Negara 1 hari yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran