Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Menilai Reformasi Monopoli Selepas Setahun Pentadbiran MADANI

Kolum Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 11 Dec 2023 3:13PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saudara Pengarang,

Sudah setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri. Salah satu sebab beliau berjaya memegang tampuk kepimpinan adakah kerana agenda reformisnya yang berjaya menarik sokongan rakyat. Persoalannya sekarang, adakah Anwar masih seorang reformis atau adakah beliau telah membelakangi idealisme yang dipegangnya dahulu?

Salah satu komponen penting di dalam sebarang reformasi ialah ketersediaan pilihan (availability of choices) kepada rakyat. Dengan kata lain, membanteras monopoli, terutamanya dalam bidang ekonomi, sepatutnya menjadi pegangan utama sesebuah pentadbiran reformis. Setakat ini, kerajaan MADANI telah mencapai beberapa kejayaan di dalam aspek ini, walaupun masih terdapat ruang untuk pembaikan.

Pada Mac tahun ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Kerajaan akan mengkaji semula semua monopoli untuk memastikan rakyat menikmati manfaat yang saksama. Pendirian ini seharusnya dipuji kerana ia meletakkan pentadbiran beliau di atas landasan yang betul.

Seperti yang sedia maklum, hampir semua bentuk monopoli merugikan rakyat.

Monopoli menafikan pilihan kepada pengguna, membenarkan pemilik menetapkan harga yang tidak munasabah untuk produk dan perkhidmatan sub-standard, selain merugikan pekerja di dalam industri yang dimonopoli.

Setakat ini, salah satu usaha kerajaan yang amat menyerlah dalam menghapuskan monopoli adalah apabila Kementerian Pengangkutan mengarahkan pengendali lebuh raya untuk membenarkan pengguna jalan raya membayar tol melalui kaedah selain Touch `N Go. Selama beberapa dekad, pengguna jalan raya Malaysia hanya dibenarkan membayar tol menggunakan tunai atau perkhidmatan Touch 'N Go, tetapi kini mereka boleh menggunakan pilihan lain seperti kad kredit mereka.

Di samping itu, Kementerian Pengangkutan juga telah memutus untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada penyedia lain sebaik sahaja konsesi dengan Puspakom tamat tahun depan. Menteri Anthony Loke menjelaskan bahawa ini akan memupuk industri pemeriksaan kenderaan yang kompetitif.

Walaupun langkah-langkah ini adalah di atas landasan yang betul, Kerajaan perlu menyegerakan usaha untuk menghapuskan monopoli, khasnya yang merugikan rakyat.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Petros Niaga Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Berhad (Petros), akan dijadikan pengedar tunggal LPG di Sarawak mulai 1 Disember ini.

Sepatutnya, kerajaan menggalakkan persaingan di kalangan penyedia perkhidmatan dan bukannya membenarkan hanya satu syarikat untuk menyediakan perkhidmatan yang amat penting ini.

Satu lagi sektor yang menarik perhatian umum ialah industri gula. Baru-baru ini, terdapat laporan media bahawa seorang ahli perniagaan terkemuka yang rapat dengan kerajaan dan merupakan pemain utama dalam industri gula tempatan, berminat untuk mengambilalih syarikat gula pesaing.

Saya berharap kerajaan tidak membenarkan sebarang usaha menjurus ke arah monopoli industri gula. Kekurangan gula baru-baru ini di beberapa negeri sepatutnya memberi pengajaran buat kita semua. Negara memerlukan industri gula yang dinamik dan kompetitif, dan bukan sekadar memuaskan sikap tamak haloba sesetengah ahli korporat.

Jika industri gula tempatan dikuasai oleh monopoli, yang rugi adalah rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40. Gula adalah bahan utama dalam makanan dan minuman rakyat Malaysia. Sekiranya hanya satu syarikat sahaja yang mengawal harga dan bekalan barang keperluan ini, implikasinya amat membimbangkan.

Satu lagi perkembangan lain yang berkaitan dengan monopoli adalah cadangan ambilalih Grab ke atas Delivery Hero, iaitu pemilik FoodPanda.  Kedua-duanya adalah pemain utama negara dalam industri penghantaran makanan.

Sekiranya ambilalih ini berjaya, yang rugi adalah rakyat. Kita hanya perlu imbas kembali bagaimana penggabungan Grab dan Uber di 2018 menyebabkan harga seru-pandu (ride-hailing) melambung naik, dan kebajikan pemandu digadai.

Sewajarnya, pentadbiran MADANI meneliti ura-ura di atas melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), terutamanya yang melibatkan industri gula dan penghantaran makanan. MyCC harus diberi kuasa untuk menolak atau meluluskan sebarang penggabungan dan ambilalih koporat, khasnya yang melibatkan industri strategik, seperti gula.

Ini dapat memberikan badan tersebut lebih "taring". Ia juga dapat menghantar mesej bahawa Kerajaan tidak bertolak ansur terhadap sebarang usaha mewujudkan monopoli yang merugikan rakyat.

Namun, secara keseluruhannya, saya berpendapat kerajaan berada di landasan yang betul dalam hasratnya untuk memecahkan monopoli. Banyak juga kemajuan telah direkodkan di dalam bidang ini. Anwar hanya perlu menggiatkan usaha dalam menghapuskan monopoli jika beliau benar-benar serius untuk mereformasikan ekonomi negara.

Razali Mohd Rahim

Bangi

Sorotan

1

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

2

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

3

Malaysia Berdepan 30,000 Kekurangan Jurutera, Perlu Tampung Dengan TVET

4

Kerajaan Kelantan Ucap Terima Kasih Kepada PM

5

KESUMA Sambut Baik Penyediaan Dana Latihan RM30 Juta

6

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM