Berita Terkini

1 jam yang lalu: Projek tebatan banjir, Selangor akan semak semula dengan MOF - MB 1 jam yang lalu: Axiata umum dividen khas 4.0 sen susulan penggabungan Celcom-Digi 4 jam yang lalu: Ejen hartanah rugi RM7 juta diperdaya Macau Scam 4 jam yang lalu: Potong gaji, tender terbuka bantu bina semula keyakinan terhadap kerajaan - Dr Rais Hussin 4 jam yang lalu: Isu dana RM600 bilion : Saifuddin akan dapatkan pandangan Ketua Polis Negara

IKUTI KAMI


Bekas Jurutera Kini Miliki 50 Cawangan Kedai Runcit 

Tiga tahun menjadi jurutera membuatkan Yen Chee Yung mula berasa bosan dan nekad untuk meninggalkan kerjayanya demi memulakan perniagaan kerana sukakan cabaran. Kini dia bergelar CEO kepada syarikat Baloy.

Kisah Kita Dikemaskini 7 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 27 Mar 2022 6:03PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Mula terasa bosan dengan tugasnya sebagai seorang jurutera membuatkan Yen Chee Yung, 46, memilih untuk meninggalkan kerjayanya itu selepas tiga tahun berkhidmat di sebuah kilang jenama terkemuka dunia. 

Keputusan yang dibuatnya 20 tahun dahulu ternyata tepat kerana dia kini merupakan usahawan berjaya yang memiliki perniagaan runcit dalam talian serta 50 buah cawangan di seluruh negara yang diberi nama Baloy. 

“Saya telah diterima bekerja di kilang berkenaan selepas tamat menuntut di Universiti Sains Malaysia ketika masih menunggu untuk majlis graduasi.

“Sewaktu bekerja di sana saya sempat dihantar ke Amerika Syarikat untuk bekerja di sana sebentar. Selepas tiga tahun saya mula rasa bosan dengan kerja saya dan terasa mahu memulakan perniagaan,” katanya.

Ditanya kenapa dia berasa bosan sedangkan baru tiga tahun bergelar seorang jurutera. Kata anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, dia berasa kerjayanya kurang mencabar pada ketika itu. 

“Perniagaan pertama saya adalah menjual air minuman menerusi vending machine. Ketika itu kami adalah yang pertama dan terbesar yang memulakan perniagaan seumpama itu di Malaysia.

“Mesin yang kami miliki pada ketika itu lebih banyak daripada Coca Cola iaitu sebanyak 1,700 di seluruh Malaysia. 

“Kemudian saya terlibat dengan perniagaan francais yogurt beku. Dalam masa setahun kami berjaya buka 40 buah kedai. Saya rasa tiada orang yang boleh pecah rekod itu lagi. Perniagaan itu berjalan dengan baik sehinggalah kerajaan memperkenal cukai GST. 

“Kebanyakan perniagaan yang melibatkan produk premium terjejas kerana harganya yang mahal. Nasib baik pada ketika itu kami sudah mula lakukan produksi secara besar-besaran dan kami membekalkan produk kami di pasar raya besar.

“Itulah titik permulaan saya terlibat dengan FMCG (Fast-Moving Consumer Goods) dan banyak bekerja dengan pasar raya besar dan kilang. 

“Prestasi kami cukup baik ketika itu sehingga kami diperkenalkan kepada jenama-jenama antarabangsa yang lebih besar yang bercadang untuk pasarkan produk mereka di Malaysia. Jadi, kami berjaya menjadi pengedar mereka di sini.

“Antara produk yang kami edarkan adalah aiskrim ternama dari New Zealand, produk tenusu terbesar dari Korea Selatan serta jenama air kelapa terbesar dari Thailand. 

“Saya mula mengenali banyak pengilang-pengilang serta belajar lebih banyak tentang industri FMCG. Di sinilah saya berjumpa dengan dua rakan kongsi saya dan salah seorang daripada mereka kini sudah pun bergelar isteri saya,” cerita Chee Yung dengan panjang lebar.

Pada tahun 2019, Chee Yung telah menubuhkan syarikat Baloy yang menawarkan perkhidmatan barangan runcit secara dalam talian. Pada tahun pertama sahaja, Baloy telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM42 juta.

“Pada tahun 2019 kami belum ada kedai fizikal. Semuanya berjalan dalam talian. Pada tahun 2020 baru kami buka kedai yang pertama di Seksyen 26, Shah Alam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) yang pertama bermula,” jelasnya. 

Ditanya adakah PKP menjejaskan perniagaannya, kata Chee Yung perkara yang sebaliknya terjadi. Perniagaan mereka berjalan agak lancar sewaktu PKP.

“Sebenarnya PKP banyak membantu perniagaan kami. Kerana waktu itu orang ramai takut nak keluar rumah, jadi mereka banyak membeli secara dalam talian. Mereka boleh pesan barang secara dalam talian dan datang ambil sahaja,” kongsinya.

Kini Baloy sudah memiliki 50 cawangan di seluruh Malaysia dalam masa tidak sampai dua tahun. Soal penulis kepadanya, bagaimana dalam masa yang begitu pantas dan saat negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, perniagaannya boleh berkembang maju. 

“Paling penting sistem kena ada dulu. Baloy mempunyai sistem yang cukup komprehensif iaitu  bila anda nak buka kedai Baloy, tak perlu risau untuk hadapi banyak pembekal kerana sistem kami terus ke kilang. Jadi anda akan dapat stok barang dengan mudah. 

“Di kedai pun cuma memerlukan dua orang pekerja sahaja. Ini perbezaan kami dengan kedai lain kerana kita fokus lebih kepada dalam talian.  Jadi untuk sesiapa yang berminat untuk membuka francais, kami akan uruskan semuanya termasuklah carikan kedai, stok, serta pekerja yang kita akan berikan latihan,” tambahnya.

Tidak hanya tertumpu kepada kedai runcit, Baloy turut mempunyai gudang borong (wholesale) buat mereka yang mahu membeli barang secara pukal. Cawangan yang pertama baru sahaja dibuka di Melaka. Cawangan lain akan dibuka di Shah Alam dan Pulau Pinang tidak lama lagi. 

Ditanya adakah dia mempunyai perancangan untuk membuka pasar raya yang lebih besar seperti pasar raya popular lain, kata Chee Yung buat masa ini belum ada kerana dia mahu menumpukan pada kawasan yang mudah untuk orang ramai membeli. 

“Nak buka pasar raya kena buka di tempat yang lebih besar seperti di bandar. Agak susah untuk semua orang pergi ke bandar yang mengambil masa lebih daripada 30 minit hanya untuk membeli barang runcit. Trend sekarang adalah untuk mendekatkan diri dengan komuniti. Lebih cepat pelanggan dapat membeli, lebih bagus. Lebih menjimatkan kos,” katanya. 

Sebagai seorang yang berniaga, pasti banyak cabaran yang harus ditempuh untuk mencapai kejayaan. Chee Yung juga tidak terlepas daripada mengharunginya. 

“Bila anda nak mulakan sesuatu yang belum lagi ada di Malaysia, memang tidak mudah. Nak kena yakinkan pengilang, pelabur, pengurusan lesen bukan sesuatu yang senang.

“Namun kami bersyukur kerana kami sudah mempunyai pengalaman dan hubungan baik dengan pengilang sebab itu kami boleh lakukannya. Ia tidak mudah, tetapi boleh dengan adanya cita-cita dan usaha gigih untuk ubah sistem ekonomi dan rantaian bekalan,” katanya. 

Chee Yung juga bercita-cita untuk membuka cawangan Baloy di negeri Sabah dan Sarawak serta merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya di peringkat antarabangsa dan menyasarkan Indonesia sebagai negara pertama untuk meluaskan empayar perniagaan mereka. – Getaran, 27 Mac 2022

Gambar: Azrul Rafie

Isu Pada

Coach Eddy Berbicara Tentang Kecergasan Dan Menjadi Pilihan Selebriti

26 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 4 hari yang lalu

Anwar Ketuai Kementerian Kewangan, Mahu Pulihkan Keyakinan Peniaga, Pelabur Asing

2

TARA 1 minggu yang lalu

Wanzar Kini Tampil Dengan Koleksi Pakaian Wanita Kasual Sopan, Selesa Dan Bergaya 

3

Muzik 2 minggu yang lalu

Penganjur Digesa Libatkan Artis Tempatan Dalam Konsert Bersama Artis Luar Negara - Mohammad

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Ulangi Dakwaan Fitnah Salah Guna Kuasa, Guan Eng Saman Azmin

Sorotan

1

Polis Siasat Pengguna TikTok Muatnaik Kandungan Berunsur Fitnah Terhadap PDRM

2

Adik Perempuan Dakwa Emilia Telah Dipukul Sejak 2011

3

Kekurangan Telur: Kerajaan Kenal Pasti Sumber Luar, Tampung Bekalan Dalam Negara

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

Gelama Sungai, Ikan Kering 'Kayangan' Jadi Buruan Di Musim Tengkujuh