Berita Terkini

12 minit yang lalu: 5,020 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini - KP Kesihatan 53 minit yang lalu: Indonesia dijangka hantar 5,000 hingga 10,000 rakyatnya untuk bekerja di negara ini, bulan depan - M. Saravanan 3 jam yang lalu: Mahkamah Rayuan benar permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan 4 jam yang lalu: Pasukan peguam bela Najib akan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi 4 jam yang lalu: Rayuan Najib untuk mengenepikan kesemua tujuh tuduhan Mahkamah Tinggi ditolak

IKUTI KAMI


Adrian Edy, Aktivis Sosial Kebanggaan Sabah

Jarang melihat anak muda sanggup bersusah payah melakukan kerja-kerja kebajikan, namun tidak buat anak jati Sabah ini apabila dia memilih menabur bakti membantu golongan memerlukan.

Kisah Kita Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 18 Oct 2021 5:37PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam era serba moden di mana ramai remaja dan belia lebih gemar menghabiskan masa berdansa di hadapan lensa kamera telefon pintar demi kandungan aplikasi Tik Tok, masih ada pemuda yang luhur budinya menabur bakti kepada insan kurang bernasib baik.

Adrian Edy Siaw Chee Hua, jejaka keturunan Sino Kadazan berusia 25 tahun kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini begitu popular di media sosial. 

Namun, popularitinya bukan kerana kandungan yang sia-sia sebaliknya apa yang dipaparkan adalah aktiviti kebajikan yang memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana.

Jika mengikuti akaun Instagramnya, anda akan lihat sosoknya di merata ceruk menyampaikan bantuan keperluan asas terutamanya buat mereka yang tinggal di kawasan pedalaman sekitar Sabah. 

Getaran berpeluang berbual dengan anak kedua daripada empat beradik ini untuk menyelami dasar hatinya bagaimana terdetik menjadi aktivis sosial.  

Menurut Adrian, aktiviti itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dahulu.

“COVID-19 benar-benar membuka mata saya. Sebelum ini nak bersedekah pun agak susah. Bagaimanapun, sewaktu PKP yang pertama dahulu saya lihat ramai terjejas teruk malah ada yang meninggalkan mesej di Facebook saya meminta bantuan seperti susu dan beras.

"Terdetik di hati kenapa mereka menghubungi saya sedangkan saya bukanlah sesiapa. Bermula dari detik itu saya mula memberi bantuan menggunakan duit sendiri,’” katanya.

Apabila sudah sering menghulurkan bantuan ke merata tempat, akui Adrian lama kelamaan aktiviti itu jadi rutin.  

“Saya rasa seronok dapat membantu orang yang memerlukan. Saya dapat rasa erti kehidupan sebenar. Sejujurnya saya bukan berasal dari keluarga yang susah. Boleh dikatakan sejak kecil saya sudah biasa dapat apa yang saya inginkan.

"Apabila menjalankan misi bantuan ini barulah tersedar bahawa selama ini saya hidup dengan selesa sekali gus membuatkan saya lebih bersyukur dan menghargai kehidupan,” ujarnya. 

Lumrah menjadi manusia, buat jahat dikeji, buat baik juga dipandang sinis. Adrian mengakui perjalannya sebagai aktivis sosial tidaklah semudah disangka. Tetap ada cabaran yang sesekali hampir meruntuhkan benteng semangatnya.

“Di awal pembabitan sebagai aktivis, belum ramai lagi mengenali saya. Terfikir bagaimana saya mahu membantu orang sedangkan dana yang ada ketika itu tak banyak mana. Sumbangan yang diterima pada waktu itu pun sedikit.

"Malah, saya pernah dimarahi dan dikecam kerana dikatakan cuba tunjuk baik. Ada juga yang cakap saya cuba buka aib orang dengan memaparkan kesusahan mereka di media sosial.

"Saya tak ambil pusing semua itu dan terus memuatnaik misi bantuan di media sosial kerana itulah salah satu cara untuk membuktikan bahawa segala sumbangan dan bantuan telah sampai ke tangan penerima. Apa yang boleh dikatakan, 95 peratus bantuan yang diberi adalah hasil sumbangan orang ramai yang diamanahkan kepada saya,” jelasnya. 

Cabaran yang dilalui Adrian bukan sekadar menuntut ketahanan mental bahkan fizikal. Melakukan aktiviti kemasyarakatan di bumi Sabah tidak semudah yang disangka. Geografi dan infrastruktur di Sabah agak berlainan dengan negeri lain.

“Selain kekangan masa, kadang-kadang saya terpaksa masuk ke kawasan pedalaman yang mengambil masa lama dan perlu menaiki bot untuk sampai ke destinasi. Itu belum lagi sebut keadaan jalan yang kurang baik kerana untuk sampai ke kawasan pedalaman laluannya berliku.

"Kadang-kadang rumah itu tak jauh pun tetapi keadaan jalannya yang membuatkan masa perjalanan itu menjadi lama. 

"Masih segar di ingatan, sewaktu misi menghantar telefon bimbit kepada dua beradik di Beaufort yang merupakan mangsa banjir, mereka terpaksa belajar di atas sampan untuk mendapatkan capaian internet. 

"Untuk ke rumah mereka, saya perlu naik bot dan melalui jalan berlumpur setinggi paras betis. Itu antara misi yang tak dapat saya lupakan malah sampai sekarang saya masih berhubung dengan mereka," kongsinya.

Hati siapa tidak tersentuh melihat kedaifan insan yang tidak berdaya dan kurang bernasib baik. Begitu juga dengan Adrian yang tidak dapat menahan air matanya daripada tumpah melihat kesusahan yang terpaksa ditanggung masyarakat Sabah. 

“Baru-baru ini saya ada misi bantuan di Kota Marudu. Di sana ada seorang pak cik yang tular di media sosial kerana terpaksa berjalan selama dua jam untuk ke pekan bagi membeli beras tetapi wang yang ada tidak cukup. Saya sebak melihat kehidupan pak cik itu. 

"Untuk ke rumahnya kena redah kawasan hutan dan anak sungai. Setibanya di sana saya lihat rumahnya usang dan tiada bekalan elektrik. Baju yang dipakai juga lusuh. Saya tidak pernah menangis apabila tiba di lokasi tetapi yang ini air mata saya gugur apabila belek gambar dan video," luahnya. 

Sebelum bergelar aktivis sosial, wajah Adrian pernah muncul di kaca televisyen membintangi beberapa drama sebagai watak pembantu.

Namun, kata Adrian sejak memilih untuk menjadi aktivis, jiwa dan raganya kini diserahkan sepenuhnya untuk aktiviti kemasyarakatan. Tambahan pula bidang lakonan memerlukan dia terbang ke Kuala Lumpur dan terikat dengan jadual penggambaran yang panjang. 

Perjuangan Adrian dalam aktiviti kemasyarakatan turut mendapat sokongan keluarganya biarpun pada awalnya mereka terkejut dengan keputusan itu. 

“Mula-mula dulu mereka terkejut juga dan mempersoalkan kenapa saya pilih jalan ini.  Namun, lama kelamaan apabila misi bantuan saya menjadi lebih besar, mereka bangga dengan apa yang saya lakukan. Sebagai anak saya gembira dapat buat ibu bapa rasa bangga," katanya.

Ditanya siapakah yang menjadi sumber inspirasi buat dirinya dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan, Adrian berkata dia mengagumi dermawan dan aktivis kemasyarakatan terkenal Ustaz Ebit Lew.

“Sewaktu PKP yang pertama dahulu saya ternampak video Ustaz Ebit Lew di media sosial. Sewaktu itu saya rasa pintu hati saya seperti diketuk. Dia sangat memberi inspirasi kepada saya walaupun tahu saya tak mungkin mampu memberi bantuan sepertinya.

"Kadang-kadang saya ambil idea daripada misi bantuannya seperti menghulurkan bantuan kepada pemandu bas sekolah dan teksi serta mewujudkan bank makanan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sepanjang menjalankan tugas sebagai aktivis, sudah banyak barang bantuan yang disampaikan seperti bekalan makanan, telefon pintar, tilam, mesin basuh, peti ais, bahan binaan rumah dan sebagainya. Menurut Adrian semua ini tidak mampu dilaksanakan tanpa sumbangan orang ramai.  

“Hero yang sebenar adalah mereka yang memberi sumbangan. Saya cuma orang tengah yang meyampaikan sumbangan mereka kerana untuk menggunakan duit saya sendiri sepenuhnya memang saya tidak mampu. Tidak kisah berapa nilai sumbangan yang diberikan waima 10 sen atau seringgit, ia amat bermakna bagi mereka yang memerlukan,” jelasnya. 

Disebabkan usaha murninya sering mendapat perhatian netizen, Adrian telah dipilih sebagai penerima anugerah Sabahan Pemurah Pilihan Era anjuran radio Era Sabah baru-baru ini. 

Mengulas lanjut mengenai pengiktirafan yang diterima ini, Adrian menzahirkan rasa terharu dan bersyukur dengan sokongan orang terhadapnya. 

“Saya berharap kemenangan ini menjadi asbab kebaikan kepada ramai orang untuk melakukan perkara yang baik. Mungkin dengan kemenangan ini orang akan nampak serba sedikit usaha ini dan turut terinspirasi untuk melakukan hal sama”, luahnya. 

Impian Adrian selepas ini adalah untuk menyampaikan lebih banyak bantuan sekitar Sabah dan negeri semenanjung seperti Kelantan. 

“Tinggal beberapa daerah lagi di Sabah yang belum saya lawati seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu. Mana daerah yang dekat saya sudah sampai. Rasa macam tak percaya juga dalam masa setahun saya sudah pergi ke hampir semua daerah di Sabah,” katanya. 

Usaha mulia Adrian ini telah membuka mata banyak pihak tentang betapa pentingnya sikap ambil peduli terhadap kebajikan masyarakat sekeliling. Adrian contoh betapa tenaga muda serta pengaruh yang ada pada anak muda sepertinya mampu memberi perubahan kepada kehidupan sosial.

Ditanya apakah pesanan terbaik yang boleh dititipkan kepada orang ramai terutamanya golongan remaja yang ingin menjadi aktivis sosial sepertinya, kata Adrian segalanya bermula dengan niat yang baik.

“Tidak kisah muda atau tua, jika anda ada niat untuk membantu orang susah, itu sudah dikira pahala. Teruskan niat baik itu dan bantu semampu yang boleh. Jangan risau jika anda rasa bantuan itu kecil kerana bagi yang menerima, bantuan itu sangat besar di mata mereka. 

Hidup ini hanya sementara. Hanya dengan amal kebajikan di dunia yang akan membantu kita di akhirat kelak. Bila kita sudah tiada lagi di dunia ini, segala kebaikan yang kita paparkan di media sosial mudah-mudahan dikenang dan menjadi ikutan orang ramai.

 Mulakan dengan bersedekah sedikit demi sedikit. Jika lihat ada nombor akaun yang meminta bantuan di Facebook dan sebagainya cubalah  bersedekah. Lama kelamaan ia akan jadi rutin. Teruskan buat kebaikan. Jangan risau, jika kita buat benda baik, perkara yang baik juga akan datang kepada kita,” katanya mengakhiri perbualan. - Getaran , 18 Oktober 2021

Gambar : Instagram Adrian Edy

Sorotan

1

Sindiket Rokok Seludup Tumpas, 2 Lelaki Ditahan

2

Atletico Mara, Liverpool Kekal Sempurna

3

'Red Notice' Filem Paling Banyak Ditonton Di Netflix

4

Singapura Sahkan 2 Kes Import Positif Varian Omicron