web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Usahawan Muda Malaysia Sasar Berkongsi Pengetahuan, Pengalaman Dengan 1 Juta Remaja

Ekonomi Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2021 10:42AM

Harsha Ravindran. Gambar dari Facebook Harsha Ravindran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Harsha Ravindran, seorang usahawan sosial muda berusia 18 tahun yang mempunyai impian besar, menyasarkan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman keusahawanannya dengan satu juta remaja di seluruh Malaysia dan di seluruh dunia.

Dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Harsha memulakan perjalanan keusahawanannya pada usia 11 tahun apabila beliau menyedari bahawa beliau mahu menjadi usahawan sosial selepas menghadiri ceramah oleh inkubator perniagaan sosial.

Apabila berusia 17 tahun, beliau menubuhkan syarikat permulaan, StartMyName.com, yang mereka bentuk, membina dan menyelenggara laman web, serta telah mendapat lebih 400 pelanggan dari empat benua.

Harsha berkongsi pengalamannya menjelajahi dunia keusahawanan pada usia muda dalam bukunya yang baru diterbitkan, “The Makings of a Teenage Entrepreneur”.

“Buku ini mendokumentasikan pengalaman menarik dan menyeronokkan serta kisah yang serius dan sukar dalam perjalanan saya sebagai seorang usahawan - daripada pengalaman positif seperti berucap di acara TEDx, diterima masuk ke University of Pennsylvania dan bagaimana saya mengembangkan perniagaan saya kepada lebih 400 pelanggan dalam tempoh satu setengah tahun, hingga kepada keadaan yang lebih mencabar seperti mempelajari bagaimana menguruskan pelanggan, membina pasukan dan bekerja keras untuk mengembangkan perniagaan.

“Saya berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain yang ingin menjadi usahawan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Harsha mula menulis buku itu pada hari ulang tahunnya yang ke-18 (11 Julai, 2020) selepas mendapat mesej dan panggilan tanpa henti daripada pelanggan yang menyebabkan beliau bekerja 24/7, siang dan malam.

“Selepas menghabiskan hari lahir saya dengan menghadiri perbincangan menggunakan zoom, melayani panggilan dan e-mel, saya menangis selepas berlaku sedikit perselisihan pada hari tersebut.

“Untuk seketika, semua pengalaman saya menguruskan perniagaan saya nampaknya telah dibayangi oleh emosi remaja saya.

“Menyedari bahawa ramai usahawan remaja lain di seluruh dunia mungkin menghadapi situasi yang sama seperti saya, saya memutuskan untuk menulis pengalaman saya sebagai usahawan remaja sejak tujuh tahun lepas sebaik mungkin dan berkongsi turun dan naik serta pengajaran daripadanya supaya remaja lain mempunyai panduan dalam menuju perjalanan mereka sendiri sebagai seorang usahawan,” katanya.

Selain itu, Harsha menggalakkan golongan remaja supaya tidak malu untuk meneroka dunia perniagaan berikutan peluang datang daripada langkah-langkah yang kecil.

“Langkah pertama saya untuk menjadi seorang usahawan ialah dengan hanya menghadiri rancangan bual bicara yang diadakan oleh inkubator perniagaan sosial dikenali sebagai ET Ideas dan berbual dengan usahawan di sana.

“Jika anda mempunyai idea tentang apa yang anda minati, teruskan dan cari persekitaran individu yang tepat yang dapat memupuk idea itu menjadi kenyataan,” katanya.

Harsha, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif StartMyName.com dan Ketua Pegawai Pemasaran di Ascendance Sdn Bhd, telah menerima Diana Award for Young Changemakers 2019 sebagai pengiktirafan kepada kerja-kerja sosial dan kemanusiaan.

Beliau telah berucap di tiga persidangan TEDx setakat ini - TEDxYouth@SKIS, TEDxMonash University Malaysia dan TEDxIMU di International Medical University - dan telah diberi peluang untuk memberikan ceramah di beberapa persidangan di peringkat tempatan dan antarabangsa mengenai topik daripada “Gen Z’s in the Workforce” hingga “Solving World Problem”.

Beliau kini merupakan pelajar pengajian jarak jauh (Ijazah Sarjana Muda Seni dan Sains Gunaan) di University of Pennsylvania.

Harsha berkata beliau memutuskan untuk menubuhkan syarikat permulaannya, StartMyName.com, untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membayar yuran universiti selain memberikan perkhidmatan sebagai pertukaran.

“Tidak mahu membebankan ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal, saya telah menceburi pembangunan web pada masa lapang saya, dan mempunyai sumber daripada pertemuan dengan ramai usahawan daripada ET Ideas sejak beberapa tahun lepas,” katanya.

Harsha berkata sebahagian besar hasil daripada buku itu akan disalurkan ke Ascendance untuk membangunkan usahawan remaja lain.

“Melalui cara ini, jualan daripada buku ini akan menyumbang kepada memastikan usahawan remaja lain dapat mengembangkan perniagaan mereka dan menjadikan idea mereka sebagai kenyataan seperti saya,” katanya.

Beliau berkata Ascendance telah mengumumkan visi baharunya untuk memberi impak kepada #OneMillionTeens di seluruh dunia, menggunakan buku itu dan platform panduan dalam talian, www.theteenageentrepreneur.com sebagai panduan untuk memberi inspirasi kepada golongan remaja.

“Sasaran pertama kami untuk melancarkan visi ini ialah bekerjasama dengan 50,000 pelajar pada 2021. Ascendance telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelajar di seluruh Malaysia yang ingin menjadi sebahagian daripada visi dan platform ini,” katanya.

Beliau berkata Ascendance telah mula menjual buku itu pada awal bulan lepas, dengan 2,000 salinan telah dicetak dalam kumpulan pertama. Setakat ini, kira-kira 300 naskhah telah dijual.

Mereka yang berminat untuk membeli buku tersebut, yang berharga RM39.90 senaskhah, boleh membelinya di store.startmyname.com. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Usahawan 2 bulan yang lalu

Capal Jago Kepala Batas: Warisan 6 Dekad Jadi Pilihan PM

2

Usahawan 1 tahun yang lalu

Kedai Kopi Jalan Ampas Imbau Nostalgia Filem Melayu Lama

3

Usahawan 2 tahun yang lalu

Pengusaha Harumanis Tak Menang Tangan Penuhi Permintaan Pelanggan

4

Usahawan 2 tahun yang lalu

Peniaga Nasi Kukus Raih Jualan RM14,000 Sebulan Selepas Sertai Program IPR

Sorotan

1

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

2

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

3

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

4

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

5

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

6

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori