Acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat filem fantasi pecah panggung, Avatar kini semakin menghampiri hari pelancarannya. Avatar: The Experience akan dilancarkan secara besar-besaran di Cloud Forest, Gardens by the Bay pada 28 Oktober hadapan, iaitu hari pertama ia membuka pintu kepada orang ramai.
Persembahan atau acara yang diinspirasikan oleh keajaiban dan pengisahan unik filem yang mendapat kutipan tertinggi di seluruh dunia sepanjang zaman itu dibawakan oleh Cityneon Holdings, Disney Location-Based Experiences, serta Lightstorm Entertainment milik James Cameron dan Jon Landau.

Pengunjung akan mengembara menelusuri dunia asing Pandora bagi menyaksikan persekitaran bercahaya (bioluminescent), berinteraksi dengan makhluk mistiknya dan flora serta berkongsi budaya menarik orang aslinya, Na'vi.
Acara yang dijangka bakal memukau orang ramai ini bakal mempersembahkan visual yang luar biasa, memukau dan mungkin juga tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Lebih mengujakan, pengunjung juga dijanjikan dengan tarikan interaktif yang pastinya mengukir pengalaman luar biasa untuk dibawa pulang.

Tarikan interaktif ini termasuklah penampilan sulung banshee animatronik bersaiz sebenar. Pengunjung boleh melihat penampilannya yang luar biasa secara terperinci, bunyinya yang asli dan reaksinya kepada persekitaran. Saksikan juga anak banshee yang dikendalikan oleh pakar pemain boneka. Tidak ketinggalan, sesi perkenalan dengan arca artistik makhluk marin baharu, IIu, yang akan menghiasi filem Avatar akan datang, The Way of Water.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Cityneon Holdings, Ron Tan dalam satu kenyataan media memberitahu pihak akan berusaha sehabis baik untuk mempersembahkan Avatar: The Experience.

"Kami amat berbesar hati untuk mempersembahkan Avatar: The Experience, di Cloud Forest di Gardens by the Bay di Singapura. Ini merupakan satu usaha global dengan rakan kerjasama untuk menterjemahkan keajaiban di layar perak ke dunia nyata dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sesungguhnya, kami benar-benar teruja dan mengalu-alukan kedatangan anda," ujar beliau.
Untuk rekod, Gardens by the Bay telah meraikan inovasi selama lebih sedekad dan menyambut lebih dari 85 juta pengunjung dengan hortikultur yang mengagumkan. Pengunjung yang mengunjungi Avatar: The Experience berpeluang mendapat inspirasi dan rasa terhubung dengan keajaiban Pandora di bumi ini.
Avatar: The Experience akan berlangsung di Cloud Forest, Gardens by the Bay mulai 28 Oktober 2022 hingga 31 Mac 2023. Tiket-tiket sudah boleh dibeli di www.gardensbythebay.com.sg dan juga platform rakan kongsi rasmi, www.klook.com.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.AvatarTheExperience.com