Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Cantik Di Mata, Memikat Selera

Dunia kulinari tidak pernah berhenti berevolusi. Ada sahaja sajian yang melangkaui imaginasi. Minggu ini TARA berbual bersama Putri Samihah Mohsin dari TroublebakerMY, bercerita tentang 'karya-karya' uniknya. Ada dua resipi menarik juga daripadanya!

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Aug 2022 9:40AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Memasak mungkin kedengaran enteng bagi kebanyakan orang, namun ia juga bukanlah mudah untuk segelintir individu. Bukan semua di antara kita mampu menggalas tugas memasak. 

Bukan semua di antara kita mampu bergelar ‘master’ dalam bidang masakan. Memasak adalah seni. Kerja atau tugas yang sinonim dengan kaum wanita ini menggabungkan kreativiti, kepintaran, ketepatan dan kemahiran bagi menghasilkan ‘karya’ yang cantik di mata, memikat selera.

Melihat kepada perkembangan dunia masakan atau bahasa enaknya, ‘dunia kulinari’, bidang yang sering mengundang bahagia ini tidak pernah berhenti berevolusi. Ada sahaja sajian yang melangkaui imaginasi.

Ada sahaja sajian yang menjadi buruan hati. Salah satu tempat yang menjadi saksi dunia kulinari terus berevolusi tidak lain tidak bukan pastilah platform media sosial. 

Di sini adalah tempat anda menjamu mata, sebelum menjamu selera. Di sini jugalah tempat untuk pencinta makanan mengikuti serta mempelajari cara-cara memasak daripada ‘sifu-sifu’ masakan.

Bahkan, di sini jugalah bakat-bakat luar biasa berhimpun untuk mencipta nama, sekali gus mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Putri Samihah Mohsin
Putri Samihah Mohsin

Salah seorang daripadanya ialah Putri Samihah Mohsin, 35, yang menggunakan akaun Instagram @troublebakermy untuk mempromosikan pemanis mulut yang lazat menyelerakan.

Jelas graduan jurusan perundangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, bukan mudah untuk kekal relevan dalam dunia kulinari jika tiada ‘keghairahan’ di dalam hati. Selain itu, jangan pernah kenal erti jemu dalam menghasilkan sesuatu yang menarik perhatian.

“Dalam era digital yang semuanya di hujung jari ini, sama ada suka atau tidak, kita harus akur dengan kuasa atau pengaruh media sosial dalam mempromosikan bisnes. Namun begitu, asas yang paling penting sudah pastilah terletak pada minat. 

“Tanpa minat yang mendalam, jujur saya katakan bisnes dalam bidang masakan ini agak sukar untuk dipertahankan,” ulas Putri ketika kami sempat meluangkan masa baru-baru ini.

Ditanya mengapa dia memilih bidang masakan sebagai punca pendapatan, Putri menjelaskan dia mencari kepuasan diri. Dia juga mahu melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan hati. Bukan atas desakan orang lain, jauh sekali mengikut trend.

Dark fudge chocolate cake - antara kek yang sering ditempah oleh pelanggan
Dark fudge chocolate cake - antara kek yang sering ditempah oleh pelanggan

“Saya pernah bekerja dengan orang sebaik sahaja tamat belajar di UiTM, tetapi saya tidak benar-benar gembira, malah jauh sekali berasa puas apabila dapat menyelesaikan tugasan.

“Ketika itu saya menggalas tugas sebagai pembantu fesyen kepada salah seorang pereka fesyen terkenal. 

“Namun, apabila saya membuat kek untuk jualan kepada kenalan-kenalan rapat, kepuasan yang dirasakan bukan kepalang. Hati tambah berbunga apabila ada yang memuji. 

“Maklumlah, sebagai pembuat kek yang tidak mendapat latihan profesional, sudah pasti pencapaian tersebut menjadi kebanggaan,” ujar Putri jujur.

 

Cantik itu wajib

Banyak orang, banyaklah ragamnya, namun jika membabitkan makanan ia tidak pernah salah. Mata memainkan peranan utama dalam ‘menghasut’ empunya badan untuk menjamu selera.

Jika mata tidak terpesona, ada kebarangkalian makanan yang terhidang di depan mata dipandang sepi. Kenyataan ini bukanlah omongan kosong, tetapi diakui Putri yang sudah 8 tahun bergelumang dalam industri ini. 

“Kalau dahulu, sebelum media sosial mendominasi kehidupan harian, mungkin situasinya tidak sama. Pada zaman ini, mata yang harus makan dahulu. 

“Mata yang akan membuat penilaian, barulah timbul nafsu untuk merasa makanan terbabit. Sebab itu, saya sangat bersetuju bahawa sesebuah hidangan itu perlu tampil cantik. Ia perlu menyerlah dalam apa jua cara sekalipun,” tuturnya lagi. 

Bagaimanapun, sebagai ‘tukang masak’ yang bertanggungjawab, tentang rasa juga tidak boleh diabaikan. Pelanggan membeli sajian yang disediakan dengan kepercayaan, jadi biarlah rasanya seiring dengan penampilan. 

Chocolate caramel pecan slices - salah satu menu yang sentiasa menjadi buruan pelanggan Troublebaker
Chocolate caramel pecan slices - salah satu menu yang sentiasa menjadi buruan pelanggan Troublebaker

“Saya sendiri tidak sampai hati membiarkan pelanggan kecewa kerana mereka membeli dengan wang yang bukan sedikit. 

“Saya mahu mereka gembira. Itulah kepuasan yang saya cari. Lagipun saya percaya dengan hebahan mulut ke mulut. 

“Jika kek atau manisan yang saya hasilkan itu sedap serta memikat selera, sudah pasti pelanggan terbabit bercerita kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain. 

“Jadi, makin bertambahlah pelanggan di kemudian hari,” ulas Putri yang tidak berkompromi tentang bahan-bahan yang digunakan.

“Untuk menghasilkan rasa yang terjamin kelazatannya, saya hanya menggunakan bahan-bahan premium untuk semua resipi yang dihasilkan.

 Setakat hari ini, pelanggan saya tidak pernah merungut tentang harga kerana mereka tahu tentang kualiti yang saya janjikan,” tambah Putri lagi.   

Sebelum mengakhiri bicara, Putri sempat memberi tip kepada mereka yang bercadang untuk memulakan bisnes makanan, khususnya kek menggunakan platform media sosial. 

Jelas pembuat kek hari jadi bertatahkan kristal Swarovski untuk Neelofa (pernah viral dan menjadi bualan ramai, ketika itu menggunakan nama @butterflykek di Instagram) ini, minat adalah paling utama untuk kekal relevan. 

Selain itu, jangan pernah jemu untuk terus belajar bagi mengasah kemahiran. Akhir sekali, kena cipta identiti tersendiri. Jangan terikut-ikut dengan orang lain.  

Istimewa untuk pembaca Getaran, berikut adalah dua resepi lazat daripada @troublebakermy untuk anda cuba sendiri di rumah. Boleh sediakan untuk acara minum petang bersama keluarga atau meraikan hari-hari istimewa. 

 

APPLE PIE LOVE ROSIE

Bahan-bahan untuk crust:

350 gram biskut digestive

50 gram gula merah

100 gram mentega cair

Cara penyediaan:

1. Masukkan biskut dan gula dalam mesin pengisar dan kisar hingga hancur

2. Gaulkan mentega cair ke dalam biskut hancur

3. Tekapkan ke loyang pai berukuran 9 inci

4. Bakar selama 5 minit dan biar sejuk.

Bahan-bahan untuk inti epal:

3 biji epal merah dipotong dadu

30 gram gula merah

10 gram mentega

3 gram serbuk kayu manis

½ sudu kecil tepung jagung

Cara penyediaan:

1. Masukkan epal dan bahan-bahan lain kecuali tepung jagung ke dalam periuk. Masak di atas api sederhana lebih kurang 10 minit atau hingga epal menjadi sedikit lembut.

2. Campurkan sedikit air ke dalam tepung jagung dan tuangkan ke dalam bancuhan epal.

3. Kacau sehingga melekit. Ketepikan dan biarkan sejuk.

Bahan-bahan untuk inti kacang badam:

40 gram gula kastor

40 gram mentega – suhu bilik

1 biji telur

40 gram kacang badam – dikisar

10 gram tepung kek

Cara penyediaan: 

1. Pukul gula dan mentega sehingga gebu putih.

2. Masukkan telur diikuti dengan kacang badam dan tepung kek.

3. Kacau adunan sehingga sebati dengan menggunakan spatula 

Cara penyediaan inti pai:

1. Masukkan inti epal ke dalam crust dan ratakan.

2. Masukkan inti kacang badam dan ratakan.

3. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah selsius selama 30 minit atau sehingga bahagian atas berwarna keperang-perangan.

4. Biarkan sejuk.

Bahan-bahan untuk hiasan ros:

6 biji epal merah

Cara penyediaan:

1. Siapkan dulang pembakar. Lapik dengan baking paper.

2. Potong setiap epal kepada 4 bahagian dan buang bahagian tengah (berbiji)

3. Menggunakan penghiris mandolin, hiris epal nipis-nipis. 

4. Letakkan hirisan epal di atas dulang pembakar dan bakar pada suhu 170 darjah celsius selama 4 minit.

5. Bentukkan hirisan epal seperti kelopak bunga ros dan susun di atas pai yang telah sejuk tadi.

6. Masukkan ke dalam peti sejuk sekurang kurangnya 3 jam. 

Bahan-bahan untuk hiasan:

Piping jelly

Kacang pistachio dikisar

Edible glitter (jika suka)

Cara menghias:

1. Sapu piping jelly menggunakan berus kecil pada bunga dan keliling pai.

2. Tabur kacang pistachio di keliling pai.

3. Menggunakan berus kecil, taburkan edible glitter pada bunga ros.

4. Sedia dihidangkan.

 

Citrus Butter Cake

Bahan-bahan:

125 gram mentega bergaram (suhu bilik)

110 gram gula kastor

3 biji kuning telur gred A

1 biji telur gred A

170 gram tepung kek - diayak

7 gram serbuk penaik diayak

110 gram krim masakan

1 sudu kecil esen vanilla 

1 biji lemon diparut dan diperah jusnya 

1 biji oren diparut dan diperah jusnya

*asingkan ½ sudu kecil parutan oren untuk aising

Cara penyediaan: 

1. Pukul gula dan mentega sehingga kembang.

2. Masukkan telur satu demi satu dan pukul hingga sebati.

3. Masukkan 1/3 bahan-bahan yang telah diayak, pukul perlahan dan masukkan 1/2 krim masakan, pukul perlahan. Ulangi bahagian ini sehingga semua bahan yang telah diayak habis.

4. Masukkan esen vanila dan parutan buah dan gunakan spatula untuk mengadun.

5. Tuangkan adunan ke dalam loyang 8 inci yang disapu dengan mentega.

6. Bakar kek di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah celsius selama 20 -25 minit atau sehingga kek masak.

7. Untuk memastikan kek sudah masak, cucuk dengan lidi di bahagian tengahnya. Jika tiada sisa yang melekat, itu tandanya kek telah masak. Biarkan kek sejuk.

Sirap Sitrus

Jus daripada sebiji lemon dan oren

30 gram gula kastor 

30 gram air 

Cara penyediaan :

1. Campur semua aduan ke dalam periuk dan masak sehingga ia mendidih. 

2. Tuangkan sirap sitrus ke atas kek.

Aising krim keju

Bahan-bahan

200 gram krim keju (Philadelphia)

50 gram mentega masin

50 gram gula aising, diayak

½ sudu kecil parutan buah lemon dan oren

Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali parutan lemon dan oren ke dalam mesin pengisar dan kisar selama 30 saat setiap kali sehingga tiada ketulan.

2. Masukkan aising krim keju ke dalam mangkuk, dan campurkan parutan buah kacau sebati menggunakan spatula.

3. Sapukan di atas dan keliling kek yang telah sejuk dan hiaskan mengikut cita rasa.

Selamat mencuba!

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : TroublebakerMY

Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali

Teks & Penyelaras : Rahayu MN

Suntingan Teks : Ili Farhana 

Resipi : @troublebakermy

Penata gaya makanan : Sharm Md Zin

Jurugambar & Juruvideo : Syeda Imran

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Cantik Di Mata, Memikat Selera

06 Aug 2022

Berita Berkaitan

1

Gaya 2 tahun yang lalu

Buletin Gaya: Apa Menarik Minggu Ini?

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok