web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 5 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Berhujung Minggu Di Sekinchan

Tidak jauh dari Kuala Lumpur, Sekinchan menawarkan tempat-tempat kunjungan yang menarik dan sangat mesra Instagram.

Jelajah Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Apr 2021 8:45AM

oleh

Ana Johar

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Menerima perkhabaran boleh merentas daerah di musim pandemik ini umpama jambatan emas bagi warga Selangor. Rata-rata mereka yang bermastautin di sini mula mengemudi pencarian di Google untuk tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi tatkala hujung minggu.

Geli hati pula apabila ramai yang teruja walaupun destinasinya hanyalah Klang ataupun Kajang sahaja. Ini jelas membuktikan bahawa orang Malaysia sememangnya kaki berjalan.

Sebelum COVID-19 muncul, pantang sahaja hujung minggu, lebuhraya PLUS pasti akan sesak dengan kenderaan ke utara dan ke selatan warga Malaysia yang gemar berlibur.

Di antara destinasi hangat di Selangor kala ini ialah bandar Sekinchan yang terletak di Sabak Bernam. Jauhnya lebih kurang 98km dari tengah bandar Kuala Lumpur dan kedudukannya yang dekat dengan pesisir pantai menjadikan Sekinchan lokasi pilihan ramai.

Lebih mengujakan apabila ramai pengunjung lepas yang memuatnaik foto-foto ‘grammable’ masing-masing dengan pemandangan yang cukup memukau.

Nama Sekinchan yang bermaksud ‘kampung sesuai untuk bercucuk tanam’ di dalam bahasa Mandarin amat bertepatan kerana bandar ini merupakan bandar jelapang padi negeri Selangor.

Kunjungan di sekitar bulan Mac dan April menyajikan hamparan hijau sawah bendang dipenuhi pokok padi yang baru bercambah menyejukkan mata memandang. Lantas, berbondong-bondong pengunjung meniti batas-batas sawah untuk bergambar sakan dengan pelbagai aksi.

Foto-foto indah yang berlatarbelakangkan kehijauan bendang yang terbentang memberi ilusi umpama seluruh alam itu milik mereka sahaja pada ketika itu.

Selain permandangan sawah padi yang menghijau, Sekinchan juga terkenal dengan makanan lautnya yang segar. Walaupun makanan laut yang lain seperti siput sedut, ketam, kerang, lala dan udang tersedia, siput mentarang dan belangkas menawarkan keunikan kepada para pengunjung.

Siput mentarang atau bahasa Inggeris angel wing clam yang dibakar menjadi kegemaran ramai di sini, dinikmati dengan cicahan cili pedas manis, memang menambat selera.

Namun, untuk yang berminat dengan masakan lain, mentarang masak lemak, cili padi dan masak sambal juga ada. Mencuba mentarang bakar untuk pertama kalinya, kami terkesima dengan kelazatan siput ini. Teksturnya yang lembut berkrim dan sedikit kenyal di bahagian ekor, dengan rasa lemak-lemak masin menghidupkan deria rasa.

Siput mentarang bakar mengambil sedikit masa untuk disediakan jadi untuk menikmati lebih, tempahlah banyak sikit agar tidak jenuh menunggu. Selain siput mentarang dan belangkas, ikan sembilang juga menjadi hidangan unik di Sekinchan ini yang ditawarkan dalam pelbagai jenis masakan. Siput mentarang mentah juga banyak dijual ditepi jalan untuk dibawa pulang.

Setelah puas menjamu selera, Sekinchan juga menyediakan banyak lokasi menarik untuk dikunjungi. Ah Ma House atau rumah tradisional kaum Tionghua yang terletak betul-betul di tepi bendang mengimbau nostalgia bagi mereka yang membesar di era 80-an dan 90-an.

Kuih kapit, bedak sejuk, bedak nyonya, mangkuk tingkat lama, pinggan ayan, jajan zaman lama semuanya boleh dibeli di sini.  Dah terlanjur berada di kawasan padi, bolehlah berkunjung ke Kilang Beras Rakyat, untuk menimba pengetahuan tentang cara pemprosesan padi serta mengetahui cara penanaman padi dan proses tumbesarannya.

Anda juga berpeluang membeli beras wangi Sekinchan yang unik. Di sepanjang jalan besar terdapat banyak gerai buah-buahan yang sesuai dibeli sebagai buah tangan, terutama mangga dan jagung.

Lokasi Sekinchan yang dekat dengan pesisir pantai menawarkan Pantai Redang kepada para pengunjungnya. Aktiviti bermain layang-layang kelihatan popular di pantai ini, mungkin kerana pantainya tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

Gambar: Jackie Chin, Unsplash
Gambar: Jackie Chin, Unsplash

Untuk ibu-ibu yang gemar membeli, banyak makanan laut kering tersedia untuk dijadikan stok harian di rumah. Selain itu, ramai juga yang menunggu matahari menyinsing dan terbenam untuk mengabadikan momen Instagram yang memukau.

Kepada mereka yang berminat untuk bermalam di bandar ini, Sekinchan menyediakan berbagai pilihan penginapan yang unik seperti hotel kontena di Paddy Box, Triangle Farm Cottage dan Farm Ville Cafe and Homestay.

Untuk yang lebih gemar duduk di apartment dan hotel, pilihan juga tidak terbatas. Kalau nak jimat duit, lakukan kunjungan balik-hari sahaja. Mulakan perjalanan di awal pagi dan bila malam, boleh juga singgah di Kelip-Kelip Kampung Kuantan di dalam perjalanan pulang. - Getaran, 8 April 2021

Semua gambar: Ana Johar kecuali tertera

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

7 Ajaran Sesat Dikenal Pasti Di Selangor Dalam Tempoh 5 Tahun

2

Semasa 6 hari yang lalu

Malaysia Kekalkan Prinsip, Selesaikan Semua Konflik Dengan Diplomasi - PM

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Kematian Pegawai Kanan Polis Tiada Unsur Jenayah - Shazeli

4

Semasa 2 bulan yang lalu

Anwar Ucap Tahniah Kepada Anutin, Sasar Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand

Sorotan

1

Perlombongan Emas Haram: Kelantan Rampas 45 Jentera Pengorek

2

Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi Dan Diesel Turun Bagi Tempoh 4 Hingga 10 Jun

3

Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

4

Pertemuan Aminuddin-Tuanku Muhriz Cetus Teka Teki Tarikh PRN Negeri Sembilan

5

Kereta Langgar Paip Air, 5 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

6

Nahas Simpang Renggam: Reman Pemandu Punca Kejadian Dilanjut Sehari Lagi