Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Inilah Nasibku: Kisah Pembikinan Album Debut Ikonik NICO G (Bahagian 2)

Minggu lalu kita membaca bagaimana kisah Nico, Dino dan Affa bergabung menjadi NICO G dan meraih kontrak rakaman dengan BMG Music. Minggu ini, jom ikuti kisah Nico merakam album di Los Angeles pula.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jul 2021 1:36PM

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

(Klik sini untuk baca bahagian 1)

 

BUATAN L.A.

Selepas hampir sehari masa perjalanan, Nico akhirnya tiba di Lapangan Terbang Los Angeles. Di tempat yang begitu asing, tidak ternampak kelibat sesiapa pun datang untuk menyambut artis rakaman baharu BMG Music itu.

Nasiblah dalam poket ada nombor telefon penerbit Boon Tan. “Aku call dia dan beritahu aku dah sampai. Terperanjat dia!” cerita Nico. Terdapat kesilapan komunikasi dari segi tarikh dan akibatnya, Nico terpaksa tunggu di lapangan terbang untuk beberapa jam lagi.

Boon Tan ketika itu baru mencipta nama sebagai penerbit graduan Berklee College of Music. Sebelum ke sana, Nico langsung tak diberitahu apa yang patut dijangka semasa bekerja dengan Boon.

Cuma yang diberitahu dari awal lagi oleh Aziz Bakar adalah album yang dihasilkan mestilah sesuatu yang baharu dan unik. Bukan bunyian mirip 4U2C atau KRU yang semakin popular di kalangan peminat muzik tempatan ketika itu.

“Masa aku sampai, baik punya aku kena pancing,” kata Nico. “Aku dibawa ke Universal Studios dan Disneyland. Bayangkan, tak pernah rasa benda ni semua. Memang enjoy!” 

Nico juga disuruh untuk berjoging setiap hari untuk meningkatkan tahap stamina. Dia juga diberikan sebuah Walkman untuk mendengar lagu. Tapi Nico hanya dibenarkan mendengar lagu-lagu rap dan Boon sendiri akan memastikan arahan ini dipatuhi.

Sehingga hari ini, Nico tak boleh lupakan pengalaman hari pertama proses rakaman bermula. “Lagu pertama aku disuruh rap, lagu 'Orang Kota',” cerita Nico. “Nak tau apa Boon sound? Dia boleh cakap, ‘Eh, are you rapping or reading?’”

Nico tersentak. “Apa benda yang aku buat ni?” dia terfikir. Nico ketika itu memang buta muzik dan terpaksa membuat tandaan sendiri pada nota dan baris lagu. Semuanya melalui ingatan dan hafalan. 

Selain daripada Boon, turut berada di studio ialah penolong penerbit Tony Vescio yang berbangsa Itali, pemuzik Grant Guessman dan DJ Evan yang bertanggungjawab untuk bunyian ‘scratching.’ 

Sebelum proses bermula, Boon menekankan kepada Nico yang setiap lagu seharusnya memakan masa satu hari saja untuk rakaman vokal, berdasarkan standard antarabangsa. Jadi dari permulaan lagi, mereka telah pun ketinggalan dari segi masa. 

Selepas tiga hari yang sangat mencabar dan kerana tidak tahan dengan mulut lancang Boon, Nico membuat keputusan nekad untuk pulang ke Malaysia. “Aku rasa tak sanggup dah!” kata Nico.

“Aku ambik barang dan pasport dan aku mula berjalan kearah lapangan terbang, bersendirian.” Perbuatan yang sangat bahaya, kerana lebuh raya yang begitu besar dan sibuk itu sememangnya tidak dibuat untuk pejalan kaki. 

Mujurlah Nico fikirkan semula tindakan melulunya itu dan walaupun perasaannya masih berkecamuk, dia melangkah pulang ke studio. Apabila mendapat tahu tentang cubaan Nico untuk lari, Boon mula mengubah nada dan memujuk Nico dengan memberi kata-kata semangat yang lebih positif.

Bagi Nico pula, inilah masanya untuk membuktikan kebolehan diri dan tidak mensia-siakan peluang keemasan sekali seumur hidup. 

“Dua, tiga malam aku tak tidur,” ingat Nico. “Aku belajar setiap baris dan tak lupa juga aku berdoa. Lama-kelamaan, aku dapat flow yang aku cari. Mungkin juga sebab putus harapan, semangat baharu pun datang.”

Bermula dari saat itu, Nico mula selesa dan garang menunjukkan kebolehan yang sebenar dalam studio. Satu demi satu lagu dapat disampaikan dengan yakin dan ritma yang bertenaga. 

Menariknya, banyak juga lagu yang masih perlu disiapkan oleh Boon, krew penerbitan dan Nico sendiri, walaupun sesi rakaman telah bermula. Sebagai contoh, inspirasi lagu ‘Inilah Nasibku’ (yang dicipta oleh Boon), datang ketika Nico berjoging dan terjumpa sebuah taman yang indah.

“Aku pun mula menulis di situ,” kata Nico. “Tapi aku hairan kenapa Boon tak pernah beritahu aku tentang tempat ini. Aku rilek je menulis, sampailah aku berjalan ke depan dan ternampak ada sebuah bangsal. Tapi rupanya di situ ada keranda. Dan baru aku perasan aku sebenarnya berada di tanah perkuburan!

“Dahlah nak masuk senja, aku pun terus jalan laju balik ke studio. Sampai sekarang memang aku ingat hantu LA bila aku fikirkan tentang lagu ‘Inilah Nasibku’!”

Satu perkara lagi yang menarik tentang lagu itu juga adalah penyanyi-penyanyi latarnya yang berbangsa Filipina dan tak boleh bertutur dalam bahasa Malaysia. Ketiga-tiga mereka, Edna, Ailen dan Zobelle, belajar lirik mereka secara fonetik dan maksudnya diberitahu sendiri oleh Nico.

Bait-bait bahagian bridge, “leng aleng aleng kang, leng aleng mang kung” pula memang diolah Nico dari lagu tradisional 'Lenggang Kangkung.' Siapa sangka improvasi ini menjadi salah satu hook yang sinonim dengan kumpulan NICO G.  

Ketika di sana juga Nico mendapat inspirasi dari segi fesyen yang sesuai untuk kumpulannya. “Aku keluar untuk membeli surat khabar dan aku ternampak seorang mamat Chicano ni. Dia pakai kasut high cut, seluar londeh dan baju kotak. Terus aku ambik dan simpan idea itu,” cerita Nico.

Walaupun proses rakaman kini sudah pun berjalan lancar, Nico kemudian terpaksa membuat satu keputusan penting. Sebelum ke LA, Nico masih lagi bertugas sebagai kerani di Menara Maybank. 

“Aku mintak cuti dan beritahu Maybank aku nak ke LA untuk melancong,” kata Nico. “Selepas dua minggu, dorang pun dah mula cari aku. Entah macam mana, dapat pulak contact aku di LA, tapi aku beritahu dorang yang aku nak berhenti kerja sebab belum dapat balik lagi.”

Keluarga Nico sendiri dan juga Dino pun sudah mula bertanya bila beliau akan pulang ke KL. Rancangan awal adalah untuk menghabiskan semua rakaman sebelum Hari Raya tahun itu. Tapi apabila sepuluh lagu telah pun siap dirakam, mereka menerima arahan daripada Aziz Bakar yang inginkan sebuah lagu ‘bonus track’.

“Aku dah nak balik ni!” kata Nico. “Tapi tak apalah, bos dah mintak satu lagu lagi. Lagipun aku excited jugak nak rasa pengalaman baharu.” Lengkap dengan baju Melayu dan samping, Nico masih ingat lagi dibawa Boon dan DJ Evan ke Malaysia Hall untuk sambutan Aidilfitri.

Teruja melihat rakyat Malaysia, Nico memperkenalkan diri kepada yang lain, tetapi dibalas dengan pandangan “Siapa mamat ni?” “Yang lain semua kenal antara satu sama lain, aku je yang macam warga asing! Tapi aku ingatlah masa tu sempat berjumpa dan berkenalan dengan Datuk Shake,” kata Nico. 

 

DARI L.A. PULANG KE KG BARU

Nico pulang ke tanah air dengan harapan kerja yang telah disiapkan bakal membawa kejayaan. Namun, ada banyak lagi perkara penting yang masih tertangguh. Nama kumpulan belum dipersetujui dan kontrak sebagai artis rakaman belum ditandatangani. 

Tetapi berbekalkan pengalaman berharga dari LA dan juga wang elaun yang dikumpulkan, Nico mula mengorak langkah memantapkan trio yang kini di bawah jagaannya.

Dengan latar belakang sebagai penari, Nico inginkan aspek persembahan kumpulan mereka terus dimantapkan. “Aku nak kalau kita buat show, mesti penuh tenaga dengan koreografi yang bagus,” kata Nico. 

Menggunakan duit elaun yang telah ditukar dari dolar Amerika, Nico mendaftarkan kumpulan mereka ke kelas koreografi Norazah Aziz yang membuka studio tarian di Lorong Hamzah, Kampung Baru.

“Aziz Bakar sendiri pun cakap ini masanya kami kena kuat practice, jadi itulah yang kami buat,” kata Dino. Selain dari mereka bertiga, Nico juga membawa masuk empat orang penari lain termasuklah seorang rakan lamanya, ABG. 

Apabila duit tak cukup, mereka akan membuat latihan di sebuah kawasan Driving School berhampiran yang tidak digunakan lagi. “Tapi bahaya jugak. Kalau polis datang, memang kena tahan,” kata Dino. “Jadi memang kena pandai-pandai blah awal.”

BMG Music berpuas hati dengan hasil kerja di LA apabila akhirnya mereka mendengar sendiri lagu-lagu yang telah dirakamkan. Beberapa buah lagu terus disasarkan sebagai lagu hit. 

‘Untukmu Sayang’ merupakan pilihan ramai, tetapi Aziz Bakar sendiri memilih lagu ‘Inilah Nasibku.’ “Masa tu 4U2C dah ada lagu ‘slow’, jadi Aziz pilih yang lagi rancak,” kata Nico. “Kita orang memang OK sebab dah puas practice untuk lagu rancak. Lebih sesuai dengan jiwa kita pun.”

Album debut NICO G akan mengambil masa untuk dirilis di pasaran tapi mereka dah pun mula membuat show di kelab dan funfair, dengan bantuan seorang tauke, Lim Sawah. “Masa tu bayaran dalam RM300-RM500 setiap persembahan,” kata Nico.

Affa masih lagi belum bebas bergerak sepenuhnya dan banyak terlepas show. Tempat Affa biasanya digantikan oleh Riot Kool dan bila tiba masanya untuk merakamkan video muzik “Inilah Nasibku”, ABG pula mengambil tempat Affa. 

Dari segi aktiviti promosi lain, NICO banyak bergerak sendiri, tanpa kehadiran staf PR dari BMG. “Kita orang memang faham. Yalah, belum keluar album lagi, jadi memang kena cari show sendiri, tampal poster sendiri,” kata Affa. 

Bagi pihak BMG pula, lebih enam bulan diambil untuk test market, sebelum mereka pasti album NICO G boleh diterima di pasaran. Lagu ‘Inilah Nasibku’ telah diselitkan dalam CD promo bersama artis BMG lain dan tanpa disangka, lagu pengenalan itu merangkak naik ke beberapa carta radio.

Sebahagian peminat menyambut kedatangan NICO G Di Singapura
Sebahagian peminat menyambut kedatangan NICO G Di Singapura

 

EPILOG

Seperti yang telah tercatat kini, album debut NICO G, Buatan L.A., akhirnya dirilis pada tahun 1993 dan mencetuskan fenomenanya tersendiri. Lagu ‘Inilah Nasibku’ merentas genre dan diminati komuniti besar peminat muzik tempatan.

Walaupun ada figura dari aliran arus perdana yang terus mempertikaikan kesesuaian budaya hip hop itu sendiri, ribuan peminat yang sentiasa membanjiri venue persembahan mereka merupakan pengiktirafan yang lebih bermakna buat Nico, Dino dan Affa.

‘Inilah Nasibku’ juga layak ke peringkat separuh akhir dalam program Muzik-Muzik di TV3. Dan selepas lebih 23 tahun, lagu berhantu ini diberikan nafas baharu dan dikeluarkan semula sebagai antem utama filem Showdown The Movie pada 2016. - Getaran, 18 Julai 2021

Semua gambar: Ihsan NICO G

Isu Pada

Anugerah Terindah Alif Satar and The Locos

17 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

4

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini