Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Hanya Di Radio

Editor Gaya Hidup & Hiburan Getaran mengungkapkan penghargaan dan kisah cintanya kepada media radio sempena Hari Radio Sedunia yang diiktiraf setiap 13 Februari

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Feb 2021 8:50AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hari Radio Sedunia merupakan satu hari yang mengiktiraf kepentingan radio dan sumbangannya kepada manusia sejagat. Diakui oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 13 Februari 2011, kedudukan tarikhnya sehari sebelum Hari Kekasih atau Valentine’s seolah-olah membayangi rasa cinta kepada radio sebagai kekasih buat ramai orang di dunia.

Semasa saya bersekolah dahulu, hari ini belum wujud lagi dan saya sebenarnya lebih cintakan televisyen daripada radio. Namun tanpa saya sedari, radio seperti kekasih yang setia menemani saya setiap kali saya memerlukannya. Seperti seseorang yang bermain kayu tiga, saya mencarinya hanya di kala perlu yakni di saat TV tidak ada. Almaklum sebelum era internet, kami yang membesar di tahun-tahun lewat 90-an terpaksa bergantung kepada dua media ini sahaja.

Walau bagaimanapun, tanpa saya sedari radio telah banyak berjasa kepada diri ini. Pada waktu kecil, saya hanya menganggap radio sebagai sebuah alat untuk mendengar lagu semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Menginjak remaja, semasa sudah mula meminati muzik dan membeli pita kaset penyanyi-penyanyi kesukaan, barulah saya lebih menghargai kewujudannya.

Di pertengahan usia remajalah saya sudah mula mengikuti beberapa program atau segmen tertentu di radio. Rancangan carta-carta muzik yang memainkan lagu-lagu terkini menjadi waktu yang dinanti-nantikan. Malah dahulu, ada beberapa rancangan radio seperti ‘Pilihan Bersama’ di Radio Muzik yang sudah menyenaraikan lagu-lagu yang bakal dimainkan dalam surat khabar sebelum program mereka memainkan lagu-lagu ini pada waktu malam. 

Itulah saat yang paling dinantikan kerana kita tidak mungkin mampu membeli kaset atau cakera padat kesemua lagu yang kita suka. Jadi, zaman kami anak-anak yang membesar tahun 90-an ini, itulah cara paling mudah untuk merakam siaran tersebut dan secara tidak langsung mengabadikan lagu-lagu kegemaran kami di dalam pita kaset kosong yang kami beli. Tidak kiralah lagu antarabangsa berbahasa Inggeris ataupun lagu-lagu hit Melayu yang ada. Malah lagu-lagu bahasa asing juga kadang ada dimainkan di stesen radio Malaysia.

Namun tanpa saya sedari, radio seperti kekasih yang setia menemani saya setiap kali saya memerlukannya

Ya, radiolah penghibur buat yang tidak mempunyai peti televisyen. Ia jugalah peneman bagi mereka yang tinggal di asrama kerana tidak ada TV untuk tontonan. Dan penyampai radio jugalah menjadi sahabat untuk berceloteh. Sekurang-kurangnya mereka boleh dihubungi melalui telefon kalau talian dibuka kepada pendengar. 

Lebih penting, radio jugalah penyampai informasi buat ramai orang. Dari waktu solat, berbuka puasa, imsak, berita terpenting, semuanya termaktub dalam siaran radio yang berkumandang. 

Namun yang paling tidak saya sedari adalah peranan radio dalam menjadi penyambung rezeki ramai orang secara langsung dan lebih istimewa secara tidak langsung.

Mengapa saya sebut tidak langsung? Kerana saya kini bergelar penulis lirik profesional. Sebelum menjadi penulis lirik dahulu saya sama sekali tidak tahu cara karyawan seni muzik mendapat hasil keuntungan. Saya fikir mereka semua, seperti pekerjaan lain dibayar gaji tetap dan sebagainya. Namun setelah bergelar penulis lirik sejak 21 tahun yang lalu, saya baru tahu bahawa para komposer dan penulis lirik menerima timbalan yang lumayan sekiranya karya mereka popular dan terus malar segar di dalam media massa khasnya lewat siaran radio.

Semakin popular lagu yang kami tulis semakin besar jumlah royalti yang kami terima. Dan setiap kali menerima penyata royalti tahunan, jelas sekali radiolah penyumbang terbesar kepada pendapatan kami. Buat sesetengah rakan seperjuangan, royalti ini adalah pendapatan utama dan mereka sangat bergantung kepada siaran radio yang memainkan lagu-lagu ciptaan mereka. Buat kami yang mempunyai kerja sepenuh masa lain dan menulis secara sambilan pula, ia merupakan pendapatan sampingan yang sangat menguntungkan.

Lantas, setelah bekerja di bidang media barulah saya lebih memahami kepentingan radio, khasnya buat golongan seniman seperti saya. Apatah lagi saya perlu mendengar radio untuk mengetahui sekiranya lagu-lagu yang saya karang liriknya, ada diputarkan atau tidak. Dan dari putaran lagu dan permintaan pendengar jugalah saya tahu bahawa karya saya dihargai atau dibenci.

Seperti tulisan saya di media cetak dan elektronik, karangan saya yang dilagukan vokalis terkenal mengingatkan saya tentang bakat yang dipinjamkan Tuhan ini. Ia mengingatkan saya untuk bersyukur atas setiap titisan rezeki yang saya perolehi. Tanpa radio, saya tidak mungkin ada wang poket tambahan untuk menjelajah sebahagian besar muka Bumi. Tanpa radio saya tidak akan tahu jika hasil kerja saya mendapat sambutan atau tidak. 

Radio tidak akan mati. Cuma cara penyampaiannya sahaja yang akan berubah dan berevolusi.

Kini, dengan wujudnya radio internet dan wadah-wadah penstriman muzik, radio umum yang dipancarkan seperti TV biasa katanya bakal mengalami kejatuhan. Dan seperti semua media tradisional, segalanya akan menjadi digital dan mungkin radio siaran umum tidak akan diperlukan lagi.

Buat orang yang sudah biasa dengan radio umum, ia mungkin sukar untuk diterima namun itu hakikat dunia masa kini. Walaupun begitu, saya tahu ia tidak akan berlaku sepantas kilat. Mujur, ramai yang masih mendengar radio di dalam kereta kala kesesakan lalu lintas atau sewaktu memandu sebab manusia tidak akan boleh memandu dan menonton TV pada waktu yang sama. Untuk itu radio tidak akan mati. Cuma cara penyampaiannya sahaja yang akan berubah dan berevolusi. 

Jadi untuk kekasih saya yang sering diduakan ini, saya ucapkan terima kasih kerana setia menemani dari dinihari. Sejak bergelar pelajar tadika sehinggalah menjadi pemenang anugerah untuk lagu-lagu yang pernah saya nukilkan, saya kini sedar kenangan saya bersama radio sebenarnya telah membuka pelbagai pintu rezeki. Tanpa radio, saya tidak akan jatuh cinta pada muzik. Tanpa muzik saya tidak akan memulakan kerjaya di bidang tersebut. Dan tanpa radio juga saya tak mungkin menjadi seorang graduan media yang akhirnya mempelajari kepentingan dan kewujudan radio.

Selamat Hari Radio Sedunia buat semua yang membaca dan teruskan mendengar serta menghargai media penting ini! - Getaran, 13 Februari 2021

Isu Pada

Alvin Chong

13 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini