Berita Terkini

3 hari yang lalu: Lebih 10,000 unit Residensi MADANI dan Wilayah disasar dibangunkan di Putrajaya bermula tahun ini - Dr Zaliha 3 hari yang lalu: Kerajaan teliti secara terperinci sebelum buat keputusan tawaran anjur Sukan Komanwel 2026- PM 2 minggu yang lalu: Kadar zakat fitrah bagi Terengganu ditetapkan RM10, RM22 seorang tahun ini - MAIDAM 2 minggu yang lalu: Zakat fitrah bagi negeri Sabah ditetapkan RM7.50 seorang tahun ini - MUIS 2 minggu yang lalu: Sebuah helikopter terhempas di Kuala Selangor pagi tadi - APMM

IKUTI KAMI


Kembara Fakhrul Razi

Minggu ini kami mengorak langkah bekerjasama dengan beberapa insan kreatif dari negara jiran Brunei Darussalam. Terimalah, selebriti tersohor Brunei, Fakhrul Razi dan kisah kembaranya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 12 Jun 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Apakala kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu yang lebih ketat beberapa minggu lalu, kami sedar bahawa kami tidak akan dapat melakukan sesi penggambaran wajah TARA untuk satu tempoh yang agak lama di Kuala Lumpur.

Lalu, kami terpaksa bekerja dengan lebih bijak, mencari alternatif terbaik untuk tetap menghasilkan sampul digital yang menarik dan eksklusif selain bahan bacaan yang informatif. 

Sesuai dengan perancangan kami untuk mendekati pembaca Bahasa Melayu dari negara-negara jiran terdekat, kami mencuba nasib untuk bekerjasama dengan selebriti-selebriti serumpun yang berhampiran.

Oleh itu, saya menghubungi seorang rakan industri yang saya kenali semasa mula berkhidmat sebagai pengacara di sebuah stesen TV berita sedekad yang lalu. 

Dia kini seorang bintang besar di negara asalnya dan saya mempelawanya untuk menjadi wajah TARA kami kali ini. Alhamdulillah, tawaran kami disambut dengan begitu baik sekali oleh dirinya.  

Fakhrul Razi Bin Haji Ibrahim empunya nama. Seorang penyanyi, pencipta lagu dan pengacara yang sangat berbakat. Anak kelahiran negara Brunei Darussalam ini mempunyai suara yang luar biasa saat menyanyi dan mungkin ada yang perasan, dirinya pernah mencuba nasib di Malaysia tak lama dahulu. 

Bakatnya mula dikesan lewat sebuah pertandingan nyanyian di Brunei dan kemudian dia ditawarkan menjadi penyampai radio. Selepas itu diberi peluang pula mengacara rancangan TV di sana sehingga ke hari ini. 

Buat yang mengikuti perkembangan muzik tempatan pasti pernah mendengar lagunya diputarkan di radio sekitar tujuh atau lapan tahun yang lalu. Malah dia juga pernah tercalon untuk kategori Artis Baharu Terbaik dan membuat persembahan di Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun 2014. 

Pada tahun 2019 pula dia terpilih untuk menyanyikan lagu tema runut bunyi filem Upin dan Ipin : Keris Siamang Tunggal yang berjudul 'Keris Sakti.' Klip video itu sahaja sudah mendapat lebih 27 juta tontonan di laman YouTube. 

Ya, dirinya berani menduga nasib di negara orang sehingga tercalon untuk anugerah berprestij. Sedangkan banyak bakat tempatan sendiri gagal meraih kejayaan sebegitu rupa, namun Fakhrul Razi seorang yang tidak kenal erti putus asa. 

Bahkan, kembara kerjayanya tidak terhenti di situ. Fakhrul kemudian dipilih menjadi juri beberapa rancangan realiti nyanyian berkonsep dangdut di Indonesia sehingga diberi nama timangan ‘Kang Alul’ oleh peminatnya di sana. Padahal dia tidak pernah berdangdut sebelumnya.

Selepas itu dia diundang lagi menjadi peserta untuk sebuah rancangan realiti nyanyian, 'Dil Hai Hindustani' di India pula dan di situ dia kukuh memperkenalkan negara dan budayanya. Menurutnya sejumlah besar penduduk India tidak tahu kewujudan Brunei.  

“Saya boleh katakan sekitar 95% penduduk India tidak tahu kewujudan Brunei. Semasa saya menyertai rancangan tersebut mereka semua memanggil saya peserta dari Malaysia.

“Jadi setiap kali saya membuat penampilan saya tegaskan bahawa saya orang Brunei dan perjelaskan mereka tentang Brunei,” seloroh Fakhrul membuka bicara.

Benar. Kita di Malaysia mungkin tahu tentang negara tersebut kerana ia begitu dekat dengan kita. Tetapi hakikatnya masih ramai yang tidak mengenalinya. Malah saya yakin ramai rakyat Malaysia yang tidak pernah menjejakkan kaki ke negara unik tersebut.

Arakian, sesi penggambaran wajah TARA kali ini menampilkan tangkapan gambar yang melambangkan identiti peradaban negara Brunei di bayang samudera.

Penduduk Brunei pada asalnya dikatakan bertatih sebagai nelayan menyara hidup berkat rezeki dari laut. Dan sehingga hari ini kawasan perkampungan air sangat sinonim dengan imej negara tersebut. 

Maka atas dasar itu, Fakhrul Razi dan jurugambar tersohor Brunei, Malik Razak memilih tema visual yang anda saksikan dalam liputan ini. Berkat solekan Rabiatul Halim dan busana rekaan Fared, Fakhrul Razi berjaya menzahirkan isu Brunei pertama kami dengan jayanya.

“Sebenarnya kami telah merancang untuk melakukan sesi penggambaran di kawasan sebenar yang bernama Kampung Ayer. Namun pada hari penggambaran, hujan lebat tidak berhenti dari pagi, sedangkan kami sudah bersiap untuk beraksi. 

“Jalan pun mula sesak dengan kenderaan hingga akhirnya kami memilih untuk ke destinasi lain yang lebih dekat dengan kediaman saya di Pantai Meragang dan Kampung Batu Marang. Daerahnya juga cantik tapi jarang diberi perhatian.

“Alhamdulillah. Kami akhirnya dapat mengabadikan pelbagai tangkapan gambar yang baik. Walaupun terpaksa berhadapan dengan sedikit hujan di awal sesi namun ia berbaloi.

“Dalam berbasahan dek air laut dan titisan hujan sambil memanjat puing-puing batu di atas permukaan sungai, saya tetap gembira kerana hasilnya memenuhi ekspektasi kami,” tambah Fakhrul sewaktu diwawancara lewat pertemuan maya kami baru-baru ini.

Sememangnya itulah Fakhrul Razi yang saya kenali dari pertama kali bertemu dahulu. Sentiasa mahu memberikan yang terbaik dalam setiap yang dia kerjakan. 

Saya percaya sebab itulah usahanya tidak pernah sia-sia. 

Sewaktu menyertai rancangan realiti 'Dil Hai Hindustani' di India, dia membuat bintang Bollywood ternama seperti Shah Rukh Khan dan Karan Johar terpegun dengan suara serta nyanyiannya walaupun sama sekali tidak biasa mendendangkan lagu Bollywood.

Namun selepas bertualang ke Malaysia, Indonesia dan kemudian ke India, Fakhrul kembali ke tanah kelahirannya untuk menyambung untaian rezeki.

“Kenapa balik ke Brunei?” saya bertanya jujur.

“Saya ke luar negara bukan sebab hendak mengejar atau mencipta nama tetapi saya inginkan pengalaman tersebut. Saya hanya hendak mencuba nasib. Saya ingin mengetahui bagaimana rasanya tinggal dan bekerja dalam dunia seni di tempat orang. 

“Kendati apa pun, saya orang Brunei dan saya bangga akan kedudukan saya sebagai orang Brunei. Kala saya berada di negara orang, saya seperti duta kecil negara saya sendiri. Saya perkenalkan Brunei kepada mereka.

“Dan kembalinya saya ke tempat kelahiran saya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia memang seperti yang saya mahukan. Dan saya gembira dengan keputusan saya ini,” jelasnya panjang lebar. 

Namun kepulangannya ke Brunei selepas melihat dunia membawa statusnya sebagai selebriti tempatan ke aras yang lebih tinggi dari sebelumnya. 

Biarpun kembali ke bidang asalnya sebagai pengacara program bicarawara 'Rampai Pagi' di stesen Radio Televisyen Brunei (RTB), dia dianggap oleh penduduk Brunei sebagai seorang ‘A-List celebrity’. 

Malah ketua kami di pejabat Getaran sendiri sempat berjenaka. 

“Wow, jumlah pengikut dia di Instagram berkali ganda lebih banyak dari jumlah populasi Brunei sendiri,” kata pengarang urusan kami, Encik M. Zulkifli semasa saya memberitahu bahawa Fakhrul Razi akan menjadi bintang Brunei pertama paparan kami.

Sungguhpun begitu, Fakhrul seorang yang merendah diri. Dia tidak menganggap dirinya seorang yang ‘gah’ atau besar.

“Ya saya bersyukur sekarang saya berada di satu tahap yang boleh dianggap ‘‘selesa’ untuk seorang artis Brunei. Dan lebih ramai mengenali saya selepas mereka tonton saya di acara TV Malaysia, Indonesia serta India.

“Malah selepas berpeluang menyanyikan lagu tema filem Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal, anak-anak kecil pun melambai ke arah saya saat terserempak di mana-mana. 

“Buat seorang seniman itu sudah cukup saat bakat kami dihargai,” katanya jujur.

Walau bagaimanapun kita tahu realiti kehidupan adalah lebih dari itu. Semua orang bekerja untuk mencari nafkah. Mampukah seorang penghibur menyara diri dengan bidang seni di Brunei?

“Mampu. Alhamdulillah rezeki kami tidak putus. Seniman di Brunei sebenarnya boleh menjadikan seni sebagai satu kerjaya. Apatah lagi negara kami sekarang sudah bebas wabak COVID-19 sejak setahun yang lalu.

“Acara sudah boleh diadakan. Jadi undangan membuat persembahan sentiasa ada. Jika anda rajin dan ikhlas bekerja saya yakin rezeki itu akan ada,” ulasnya lagi.

Beruntung mereka di Brunei. Sejak bebas dari wabak itu dan tiada lagi kes baharu, mereka mampu menjalani hidup seperti biasa dengan sedikit sahaja amalan norma baharu seperti mendaftar diri di aplikasi khas setiap kali mengunjungi sesuatu tempat. 

Namun mereka tidak perlu lagi memakai pelitup muka atau menjaga jarak secara ekstrem. 

Mereka dapat bersalaman dan bersentuhan sewaktu perayaan Aidilfitri yang lalu. 

Cemburu saya mendengarnya namun apakan daya, lain tempat lain cara dan rezekinya.

“Betul. Lain tempat lain caranya. Oleh sebab itu saya perlu tegaskan bahawa untuk menjadi seorang penghibur di Brunei tiada formula dasar. Yang kekal di Brunei boleh berjaya. Yang terbang ke luar Brunei juga boleh berjaya.

“Ia terpulang kepada diri masing-masing.

“Pada saya jika diberi peluang ke luar negara, mengapa tidak? Tiada ruginya. Mengembara membuka mata serta minda kita. Ia menjadikan kita lebih cakna tentang dunia luar dan memahami perbezaan. 

“Dan sudah tentu ia membuka peluang-peluang baharu juga. Itu sahaja. Namun ia sama sekali tidak bermakna anda perlu ke luar untuk berjaya.

“Sungguhpun demikian, saya sedia maklum rakan-rakan senegara saya ramai yang sempat mencipta nama di luar. Seperti Aziz Harun dan Nina Iskandar yang begitu dikenali di Malaysia. 

“Tidak lupa juga Jaz Hayat yang sampai hari ini, masih ramai warga Indonesia tidak tahu bahawa dia rakyat Brunei yang bermastautin di Indonesia sebagai penyanyi. 

“Namun itulah yang saya katakan. Ini pilihan individu dan rezeki masing-masing yang telah ditetapkan Tuhan,” ujarnya lagi.

Kini di negara asalnya, selain mengacara dan terus menyanyi, Fakhrul yang sudah menjangkau usia 41 tahun itu juga dipilih menjadi salah seorang juri untuk rancangan pencarian bakat baharu Brunei. 

Selayaknya, dia memang wajar berada di kerusi juri kerana kembaranya sudah jauh namun masih beterusan. Bukan sekadar pertualangan fizikal ke luar negara tetapi juga keluar dari zon selesanya. 

Lagipun dia sendiri menyatakan dia tetap akan kembali ke tanah kelahirannya, sejauh mana pun dia menjelajah.

Selepas mengeluarkan lagu berjudul ‘Bahagia Tanpa Kekasih’ tahun lalu yang juga menjadi juara sebuah rancangan anugerah tempatan Brunei iaitu Anugerah Express E-Hits, dirinya kini merancang untuk menghasilkan album studio keduanya tidak lama lagi.

Dan kini kami yakin walaupun sirih sudah pulang ke gagang, kembara Fakhrul Razi akan berterusan baik di bidang kerjaya ataupun sisi kehidupan yang lain. All the best Fakhrul! – Getaran, 12 Jun 2021.

 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Fakhrul Razi

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri & Fakhrul Razi

Teks : Shah Shamshiri

Suntingan : Ili Farhana

Penata Gaya : Farid Edros

Pakaian : Fared

Jurusolek : Rabiatul Halim

Jurugambar : Malik Razak

Juruvideo dan Pembantu Set : Maisarah

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Pantai Meragang dan Kampung Batu Marang, Brunei Darussalam.

Isu Pada

Kembara Fakhrul Razi

12 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 2 bulan yang lalu

Pernikahan Putera Mateen, Dayang Anisha Berlangsung Hari Ini

2

Filem & TV 2 bulan yang lalu

Filem Indonesia, Siksa Neraka Diharamkan Di Malaysia

3

Selebriti 2 bulan yang lalu

Istiadat Perkahwinan Diraja Putera Mateen, Anisha Sudah Bermula

4

Selebriti 4 bulan yang lalu

Badrul Muhayat Sering Bercakap Soal Kematian - Sahabat

Sorotan

1

Cloud KBS Digodam, Hannah Sahkan Tiada Ketirisan Data

2

Agong Kurnia Surat Cara Pelantikan Kepada 5 Hakim

3

Kebakaran Hutan Di Bukit Broga Berjaya Dipadamkan

4

Malaysia Tidak Sebelahi Mana-Mana Negara, Sambut Baik Pelaburan Beri Manfaat - PM

5

Putin Dahului Pilihan Raya Presiden Rusia

6

Cukai Perkhidmatan: Tiada Kenaikan Tambang Feri, Penginapan Di Marina Island

7

Syarat Hamas Dalam Cadangan Gencatan Senjata Di Gaza, Realistik