Berita Terkini

13 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Syafiq Kyle – Tentang Maskulin Toksik

Rahsia yang membungkam sanubari. Mungkin ini kisah paling kontroversi yang pernah keluar daripada seorang insan seni yang bernama Syafiq Kyle.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 May 2021 9:14AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Zaidi tunjuk bunga-bunga ros sahaja hari itu, Zaidi tak cakap ada bunga-bunga tajam ini…,” canda Syafiq Kyle sambil ketawa semasa penulis bersama penata gaya, Ardi Idewani sedang gigih 'mencucuk' dedaunan hitam di busana Salvatore Ferragamo Spring/Summer 2021 itu. Mungkin dia kegatalan.

Gurauannya disambut dengan hilai tawa seluruh AM Studio pada hari itu. Penggambaran Wajah TARA kali ini dilakukan semasa bulan Ramadan. Pun begitu, Syafiq kelihatan tidak berhenti tersenyum. Segar-bugar seperti bunga-bunga cinta yang menjadi alatan set di sekelilingnya.

Melangut tinggi Syafiq melihat gambar-gambar rujukan di dinding studio. Mudah bekerja dengan pelakon yang satu ini. Syafiq faham konsep dan arahan seni yang ingin penulis sampaikan dan potretkan. Snap. Snap. Snap. Dia beraksi semula jadi. 

Sesekali penulis bertanya, “Syafiq tak takut peminat kecam Syafiq bergambar dengan bunga ini?”

Balas Syafiq, “Ketakutan itu tidak perlu ada. Kita melihat ramai pelakon sekarang ‘takut’ atau teragak-agak dengan penerimaan peminat tentang perkara-perkara yang dia mahu lakukan, ataupun yang sudah dia lakukan. Saya rasa ia keanak-anakan. Minda harus terbuka.”

“Sebagai pelakon, saya berlakon bertukar jantina pun pernah. Saya meniru jantina yang lain. Saya rasa kita tidak perlu bermain dengan keremehan-keremehan dan bermacam-macam kerisauan pandangan orang lain. Saya memilih jalan yang saya harus laksanakan.”

“Saya lakukan untuk seni. Semuanya demi seni. Terserahlah. Jadi kalau si polan berkata dia tidak boleh menerima, bagi saya itu juga suatu seni. Kenapa tangkap gambar dengan bunga? Itu seni. Kenapa tidak suka saya bergambar dengan bunga? Itu seni. Kita tak perlu marah. It’s art.

“Apalah sangat perkara kecil seperti tema penggambaran ini? Setakat bergambar dengan bunga, ia sedikit pun tidak memberi masalah kepada saya. Penerimaan bukan dari segi kepentingan diri. Saya terima dari segi  ‘being open minded’.”

Open minded  yang dimaksudkan ialah melalui cara saya bekerja. Bagaimana saya hargai orang-orang sekeliling saya yang penuh dengan lebih daripada satu dua gender (jantina). Dan bagaimana saya hargai hasil kerja seni saya dan mereka,” ucap Syafiq. 

“Sekejap Syafiq, orang-orang sekeliling yang lebih daripada dua gender? Maksudnya?” soal penulis memancing.

Syafiq seraya membalas, “Sebagai muslim, kita harus melahirkan, mengeluarkan dan menyambung zuriat demi kelangsungan umat manusiawi. Namun manusia itu ada bermacam-macam.

“Kalau tidak silap saya, buat masa ini penduduk Bumi sudahpun mencecah tujuh bilion manusia. Jadi manusia itu ada pelbagai macam perangai, emosi dan ragam.”

Terhenti sejenak penulis mendengar jawapan yang diberikan. Bekerja di dalam industri media ini memang sudah sebati berjumpa dengan pelbagai jenis manusia.

Namun tidak pernah terlintas di fikiran penulis, seorang lelaki Melayu Muslim seperti Syafiq Kyle menyimpan embacang masak. Mampu melihat perbezaan-perbezaan yang ‘terlindung’ di antara spektrum hitam dan putih. 

 

Jantina Dari Kaca Mata Syafiq Kyle

Buat anda yang tergolong di dalam kategori ‘normal’, mungkin bual bicara ini tidak masuk akal. Namun penulis yakin, sesetengah daripada anda yang membaca dapat berhubungan dengannya.

Anda tidak tahu bagaimana rasanya untuk senantiasa berlari dari diri anda yang sebenarnya. Bagai kelip-kelip terbang malam, Syafiq menyambung bicara.

“Sudah tertulis jantina itu ada dua, tetapi kita tidak tahu lagi rahsia-rahsia Tuhan. Kenapa ada jantina yang ‘ketiga’? Kenapa ada jantan? Kenapa ada betina? Kenapa ada wanita yang beremosi lelaki dan kenapa ada lelaki bernaluri wanita?"

“Kenapa lahirnya khunsa? Yang memiliki dua alat kelamin? Kenapa wujud transpuan dan transtuan? Kenapa harus terjadi perkara-perkara di dalam lapisan kelabu ini?”

“Nah, saya rasa ini semua rahsia Tuhan yang kita tidak mahu belajar. Kita hanya tahu menghukum. Menghukum dan terus menghukum. Kamu berkata saya salah, saya berkata kamu salah. Kamu tak bagus? Saya tak bagus? Dan seterusnya. Akhirnya apa yang kita pelajari adalah menghukum sesama sendiri. Kita saling menghakimi.”

“Jadi saya rasa keadaan kita yang saling tidak berhenti menuding jari ini membuatkan kita semua tidak dapat sedikit pun ilmu kenapa Tuhan itu jadikan perkara-perkara lain selain daripada lelaki dan wanita."

“Kita harus saling belajar. Semua jantina. Kamu tidak boleh berbangga dengan jantina kamu kerana kita tidak minta pun dilahirkan sebagai jantina apa.”

“Namun satu perkara yang harus kita semua pegang, kamu perlu hargai jantina kamu. Pelajari ilmu dan bukan hanya tahu menghakimi. Saya melihat ramai orang yang suka menghukum ini mereka yang tiada ilmu. Dia menghukum kerana dia tidak suka. Dia tak faham ada hikmah di balik tiap kejadian. Akhirnya dia hanya melihat keburukan.”

“Di pihak sana sama, di pihak sini pun sama. Yang menang? Adalah syaitan. Memang kerja syaitan menghuru-harakan anak-anak Adam."

“Walaupun kamu sebaik-baik umat, kamu mahu mengetengahkan perkara-perkara yang kamu rasa benar, kalau diketengahkan secara pergolakan dan kekerasan, kamu kalah. Syaitan menang,” jelas Syafiq tak berhenti kalimah. 

Melawan Dogma Masyarakat

Penulis melihat mata Syafiq Kyle yang berkaca-kaca. Bersemangat dan membara. Dia seorang yang berfikiran positif. Perbualan menjadi semakin rancak dan hangat. Di saat ini, Syafiq tidak lagi peduli tentang omong kosong.

Sampai bila? Seperti mawar yang membaluti tubuhnya tadi, lantang kembang mekar dengan duri. Cantik namun berbisa.Ya realiti itu menyakitkan.

“Masyarakat kita terlalu mengklasifikasikan semua perkara. Saya rasa kita perlu berhenti meletakkan label pada jantina. Kalau dia lelaki? Ya, dia manusia. Kalau dia lelaki perwatakan lembut? Ya, bagi saya dia manusia.

“Begitu juga sebaliknya. Ia tentang persepsi. Gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran. Pandangan dan tanggapan. Saya pernah lalui semua ini.”

“Yang penting, kita sebagai manusia harus memperbetulkan persepsi kita terhadap manusia lain. Jangan ada buruk sangka. Boleh jadi yang kamu lihat tidak bagus itu lebih mulia daripada kamu.

“Banyak perkara yang terjadi di kehidupan ini mengajar saya. Membuatkan persepsi saya sentiasa berubah-ubah. Maksudnya, ada banyak perkara lain yang saya mungkin harus belajar lebih lagi.”

“Makanya, saya rasa ada baiknya sekiranya kita sentiasa berpandangan positif. Kita harus sentiasa memperbaiki diri, belajar dan terus belajar lagi. Masyarakat harus mula belajar untuk berhenti menghakimi. Hentikan segala bentuk perbuatan melabel seseorang dan belajar menerima semua orang seadanya,” jelasnya penuh semangat.

Terdetik hati penulis ingin bertanyakan pendapatnya pula tentang lawan jantina lelaki yakni wanita. Ya, wanita tulen. Apa pandangan Syafiq Kyle tentang kaum Hawa, khususnya?

Syafik berkata, “Orang kata waktu bujang inilah kita terlepas pandang dan tidak tahu banyak tentang kemampuan kaum Hawa. Orang kata selepas berkahwin barulah kita tahu apa sebenarnya yang wanita mampu lakukan, yang kita sebagai lelaki tidak mampu lakukan. Seperti melahirkan, misalnya.”

“Saya rasa ciptaan Tuhan ini sempurna. Manusia ini Tuhan jadikan berpasangan. Tiada yang namanya lelaki boleh buat, wanita tak boleh buat. We complete each other. Saling melengkapi.

“Bagi saya ia bukan isu jantina. Ia tentang individu, pemikiran, mentaliti, personaliti dan sikap yang menentukan seseorang itu adalah seorang yang baik atau tidak,” bingkas Syafiq. 

 

Syafiq Kyle Sebagai Seni Yang Menghidupkan

Sebenarnya, seni dalam kehidupan ini tiada akan pernah berhenti. Setiap hari adalah hari-hari yang berseni. Seni ini sampai bila-bila pun, tidakkan dapat kita habisi. Kehidupan itu sendiri adalah seni. Kata-kata penulis ini disambut baik oleh empunya badan yang bernama Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini.

“Saya melihat seni itu datang dari pelbagai sudut. Saya masuk ke set penggambaran filem, itu adalah seni. Saya bergambar untuk sesi pempotretan TARA tadi, itu adalah seni. Setiap kerja saya adalah seni. Saya berjumpa dengan awak ini pun, saya anggap seni. My life is my art.” 

“Misalnya, kenapa saya pilih tawaran berlakon yang bernilai RM30 ribu, sedangkan saya dapat tawaran berlakon yang bernilai RM100 ribu? Sedangkan sama sahaja, dua-dua pun berlakon.

“Namun, yang ramai tak nampak saya memilih tawaran yang RM30 ribu itu kerana nilai naskhahnya, orang-orang yang bekerja di dalamnya, skrip yang baik dan 1001 alasan yang lain.”

“Saya harus berjalan seiringan dengan seni. Supaya saya lebih memahami seni. Seni itu tidak boleh dinilai dengan nilai wang semata-mata.

“Kita lihat kepada pelakon-pelakon prolifik seperti Ellie Suriati. Kenapa dia sanggup mencium kaki dalam telefilem ‘Ayat Dari Langit’? Sebab dia lakukan kerana seni. Dia tidak merasa itu kaki Adlin. Dia rasa itu seni. Itulah pelakon sejati.”

Tambahnya, “Namun, saya akui seni ini tidak akan ‘duduk’ selama-lamanya dalam sanubari. Kita harus pupuk dan siram hari-hari. Begitu juga dengan kehidupan. Kehidupan itu adalah tentang pelajaran. Pelajaran adalah ibadah. Saya sentiasa belajar dan memperbaiki diri sedari kecil.”

“Berfikiran positif. Pada masa sama, Tuhan memberi saya mesej supaya saya lebih menghargai. Hargai orang-orang di sekitar saya. Tuhan ulang sebanyak dua kali di dalam al-Quran. Tuhan akan beri kesenangan dalam kesusahan. Saya berpegang pada itu. InshaAllah.

“Setiap keburukan yang terjadi kepada saya, sebolehnya saya tukarkan kepada kebaikan. Kepercayaan itu penting.”

“Yang penting juga, seni itu tidak akan membuat orang merasa susah. Seni itu mudah. Seni itu bukan sekadar lukisan atau penampilan, seni itu berada di dalam diri kamu.

“Kita semua tidak akan berada dalam industri ini, jika kita tiada semangat seni yang membara dalam diri kita. Seni berada di mana-mana sahaja di dalam kehidupan,” pungkasnya menutup bicara. – Getaran, 29 Mei 2021

 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Syafiq Kyle

Editor Getaran: M. Zulkifli Abd Jalil

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Penyelaras, Teks & Arahan Seni : Zaidi Che

Suntingan : Ili Farhana

Penata Gaya : Ardi Idewani

Pakaian : Himpunan Musim Bunga / Panas Salvatore Ferragamo

Solekan : Fendi Sani

Jurugambar : Azim Mahayudin

Juruvideo dan Suntingan Video : Jufri Jamal

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Am Studio




 

Isu Pada

Syafiq Kyle – Tentang Maskulin Toksik

29 May 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 7 bulan yang lalu

Syafiq Kyle, Mimi Lana Batal Pernikahan, Mesej Disampaikan Pengurus

2

TARA 9 bulan yang lalu

Pameran ArtScience Prize Jadi Platform Tingkat Pemahaman Gabungan Seni Dan Sains

3

Selebriti 10 bulan yang lalu

Persiapan Perkahwinan Sudah Siap 100 Peratus – Syafiq Kyle Tunggu Masa Untuk Lafaz Akad Nikah Mimi Lana

4

TARA 11 bulan yang lalu

Keindahan Seni Arabesque, Pengaruh Seni Hiasan Dunia Islam Yang Masih Kekal Dan Popular

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis