Berita Terkini

20 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Ke Mana Perginya Para Penghibur Bukan Melayu Kita?

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Jan 2021 9:19AM

Francissca Peter, AJL '86. Gambar: YouTube Rasmi TV3 Malaysia

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saya amat yakin bahawa ribuan peminat muzik Malaysia yang menonton saluran televisyen TV3 pada malam ‘keramat’ 30 Disember 1986 masih mampu mengimbas kembali detik yang telah mencipta sejarah muzik tanah air ketika itu.

Malah saya sendiri tidak terkecuali, walaupun pada saat itu saya yang baru berusia lapan tahun masih mampu mengenang dengan jelas kelibat penyanyi legenda Francissca Peter di atas pentas, tampil ayu berbaju kurung moden berwarna putih dengan coretan rona biru muda dan pastel sambil menyampaikan lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’.

Suara merdunya memukau semua yang menonton dari rumah masing-masing dan juga mereka yang bertuah dapat menyaksikannya secara langsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Pada malam itu, lagu tersebut yang dicipta oleh komposer tersohor Manan Ngah bersama dengan penulis lirik Lukhman S. dianugerahkan sebagai juara Pertandingan Akhir Muzik Muzik, Juara Lagu ‘86.

Tanpa disedari ramai, kemenangan pada malam itu juga merupakan simbol keunikan identiti Malaysia di mana rakyatnya tidak pernah menjadikan bangsa dan agama sebagai penghalang untuk mengangkat dan menghargai bakat selayaknya. Francissca, seorang penyanyi berdarah kacukan Cina dan India menyanyikan lagu berbahasa Melayu sambil memakai pakaian tradisional bangsa Melayu untuk sebuah pertandingan muzik tempatan berskala besar buat julung-julung kalinya, menjadikan detik itu lebih bermakna bagi semua yang terbabit pada malam tersebut.

Malah pada malam itu juga, sebuah lagi lagu nyanyian Fran yang turut dicipta oleh Manan Ngah dengan lirik nukilan penulis terkenal Habsah Hassan berjudul ‘Aku Kehilanganmu’ digelar Naib Juara manakala lagu ‘Sampaikan Salam Cintaku’ dendangan kumpulan Alleycats ciptaan penuh A.Ali meraih tempat ketiga. Sekali lagi, keindahan masyarakat majmuk Malaysia terserlah tika itu kerana ketiga-tiga vokalis untuk lagu-lagu hebat ini merupakan rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu namun dapat mendendangkan lagu dalam bahasa kebangsaan dengan begitu baik dan meyakinkan.

Bagi mereka yang tidak mengenali latar belakang sosial Malaysia mungkin akan bertanya apakah kepentingan kejayaan-kejayaan yang disebutkan tadi? Lagipun, bukankah kita semua rakyat Malaysia yang bertutur dalam bahasa yang sama? Kita mungkin menggunakan bahasa rasmi yang sama sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan awam (bukan di sekolah jenis kebangsaaan), tetapi tidak semua rakyat Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan di rumah atau dalam kehidupan harian masing-masing. Dewasa kini, berapa kerapkah kita melihat penghibur bukan Melayu mengambil tempat di pentas utama dalam budaya pop arus perdana Malaysia?

Selain para penyanyi yang saya sebutkan tadi, tahun 80-an dan 90-an juga telah menyaksikan kebangkitan segerombolan pelakon wanita bukan Melayu seperti Nancy Foo, Susan Lankester, Louisa Chong, Alice Voon dan ramai lagi yang telah mencipta nama dalam arena hiburan tempatan. Walau bagaimanapun, pelakon lelaki berbangsa India ketika itu seperti Param, Ayappan dan Accappan hanya diberi watak komedi sampingan untuk hiburan penonton. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang industri kita berkenaan hal tersebut?  (Kita simpan perbincangan itu untuk hari yang lain)

Sekarang, di saat keterangkuman dan pembabitan semua kumpulan etnik diangkat di benua barat, industri Hollywood sedang cuba untuk membuat perubahan dengan memberikan peluang kepada para pelakon yang berbilang kaum untuk memegang watak-watak penting di layar perak. Siapalah yang menyangka bahawa satu hari nanti kita mungkin akan dapat melihat watak ‘James Bond’ atau ‘The Little Mermaid’ dimainkan oleh para pelakon yang bukan berkulit putih, namun itulah kenyataan dunia masa kini.

Jika langkah-langkah ini diambil dengan begitu serius oleh teman-teman kita di kutub yang berbeza, kenapa pula kita tidak cuba melakukan perkara yang sama? Adakah rakan-rakan bukan Melayu kita tidak berminat untuk menceburi kerjaya dalam dunia hiburan tempatan yang rata-rata terdiri daripada penerbitan artistik yang berpaksi pada penggunaan Bahasa Melayu.  Selain daripada dunia teater tempatan yang kerap memaparkan penerbitan di dalam Bahasa Inggeris (biasanya ditujukan kepada komuniti urban Malaysia yang bertutur dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda) anda pasti jarang sekali menyaksikan rancangan TV atau filem tempatan dalam Bahasa Inggeris. Sebab utama senario ini timbul adalah demografik yang mudah, iaitu sejumlah besar populasi negara terdiri daripada kaum Melayu dan bahasa rasmi kita adalah Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu). Jadi, tidak hairanlah sekiranya kebanyakan syarikat penerbitan tempatan lebih memilih untuk menghasilkan produk buat majoriti penduduk, dengan harapan mengaut keuntungan dari kerja keras mereka. (Walau apa pun, ia tetap sebuah perniagaan)

Sungguhpun begitu, apa yang perlu dilakukan untuk melihat lebih banyak keterangkuman serta pembabitan semua kaum dalam gerakan hiburan tempatan kita? Di manakah para bintang bukan Melayu kita bersembunyi (atau menghilang)? Tidak dinafikan ia pasti lebih sukar untuk mereka yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda untuk mengetengahkan bakat mereka dalam bahasa tersebut, tetapi jika mereka diberi galakan serta lebih banyak peluang, mungkin lebih ramai yang akan tampil dan mengambil bahagian.

Akui sahajalah bahawa kita sebenarnya teruja juga apakala menyaksikan pemenang pertama siri realiti ‘Malaysian Idol’ tampil dalam bentuk seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang cantik dan sangat berbakat dan juara pertama ‘Akademi Fantasia’ kita pula seorang rakyat Malaysia berdarah kacukan Cina dan Inggeris. Ya, Jaclyn Victor dan Vince Chong begitu disanjung dan diminati oleh semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, sedangkan mereka sendiri mungkin tidak menyangka bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka. Setelah mengikuti perjalanan mereka di kedua-dua francais antarabangsa yang berasal dari barat ini, ramai yang berfikir pada mulanya para perseta ‘berbangsa majoriti’ yang akan membawa kemenangan, namun ternyata kita semua diberi kejutan yang menggembirakan saat Jac dan Vince dinobat juara.

Mereka berdua telah berkerja keras  selepas memenangi pertandingan-pertandingan tersebut, menghasilkan pelbagai lagu hit dan menjadi nama terkenal di kalangan dunia hiburan Melayu. Sementara bintang dunia nyanyian Melayu seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar terus mempelopori ruang muzik pop Malaysia, Jac dan Vince telah mewarnai industri ini sehingga mewakili negara lewat pelbagai persembahan di persada antarabangsa.

Di layar TV dan perak pula, para peminat menggilai Hans Isaac, bintang kacak berdarah kacukan Portugis-Filipina yang telah menerajui pelbagai siri drama dan filem, seperti rakan seangkatannya yang lebih senior, Susan Lankester yang bukan sahaja meninggalkan kesan di layar lebar tetapi juga sempat melancarkan sebuah album studio penuh dan meraih pelbagai kejayaan sewaktu kemuncak kerjaya masing-masing sehingga memenangi ajnas anugerah yang benar-benar mengiktiraf bakat serta kebolehan mereka.

Sayangnya hari ini di tahun 2021, saya hanya dapat mengenal pasti sejumlah kecil bintang bukan Melayu yang telah berjaya menembusi industri yang dimonopoli oleh bangsa Melayu. Nama-nama yang tidak asing lagi umpama Keith Foo, Sean Lee, Elizabeth Tan, dan Neeta Manisha adalah di antara mereka yang sedang membuka ruang buat yang lain yang menyimpan hasrat untuk menjadi seperti mereka. Persoalannya, ada atau tidak golongan ‘lain’ yang dimaksudkan ini? Untuk sementara waktu, kita belum menemui mereka kerana tidak ramai bakat bukan Melayu yang telah menjejakkan kaki ke dalam industri sejak kebelakangan ini.

Biarpun saya secara peribadi gembira mengetahui bahawa kita tidak ada atau perlukan lagi ‘Anugerah Bintang Bukan Melayu Paling Popular’ untuk mengiktiraf watak bukan Melayu sampingan yang sering ditampilkan (ya ia sebenarnya agak memalukan, kita pernah mengadakan anugerah sedemikian rupa untuk acara ‘Anugerah Bintang Popular’ beberapa tahun lalu ), saya masih sedikit kecewa kerana tidak ramai bakat bukan Melayu dalam dunia hiburan tempatan masa kini. Sebagai seorang peminat dan pemerhati industri hiburan tempatan, saya sering teruja kala mengetahui ada lebih ramai bintang bukan Melayu yang mampu bersaing sehebat rakan-rakan mereka yang lain dalam wadah yang serupa.

Sewaktu melanjutkan pengajian di luar negara dua dekad yang lalu, saya sering mempromosi keunikan masyarakat majmuk negara kita kepada kenalan-kenalan asing saya dan sering memberitahu mereka bahawa rakan-rakan karib saya di sekolah dahulu terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bertutur dalam pelbagai bahasa. Namun saat mereka menyaksikan rancangan TV kita, ia sama sekali tidak ketara.

Jadi di sini, saya menyeru kepada semua bakat bukan Melayu kita yang belum ditemui untuk tampil ke hadapan dan serlahkan kehadiran mereka. Bantulah untuk membuktikan bahawa cogankata bahasa Inggeris ‘Malaysia Truly Asia’ bukanlah sekadar satu kempen penjenamaan buat dunia luar. Kembalikan bakat-bakat hebat seperti Ben Nathan, Roy Sta Maria, Fredo, Carol Oormila, Casey dan ramai lagi. Buat rakan-rakan Melayu saya yang sebangsa marilah kita berikan Elvira Arul, Amelia Henderson, Santesh, Alvin Chong dan mereka yang lain yang sedang mencuba sedaya-upaya, peluang yang lebih baik sebelum kita kehilangan mereka kepada ‘benua yang lebih ramah dan menerima’ jauh dari perairan kita. - Getaran, 31 Januari 2021

Isu Pada

Kaka Azraff

29 Jan 2021

Sorotan

1

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

2

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

3

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

4

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan

5

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

6

Belanjawan Pertahanan Beri Impak Penganjuran DSA, NATSEC Asia Untuk Kekal Relevan