Berita Terkini

18 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Di Balik Pesona Roberto Guiati

Istimewa sempena hari Krismas, kami tampilkan Roberto Guiati, jejaka tampan kelahiran Itali yang bergelar suami kepada pelakon dan model jelita Kavita Sidhu serta Presiden PETRA Lifestyle.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Dec 2021 9:07AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bijak, tampan dan segak bergaya. Atas sebab-sebab itulah kami memilih dirinya menjadi wajah TARA untuk penutup bulan Disember 2021.

Apatah lagi hujung minggu terakhir bulan ini adalah hari Krismas dan tiada yang lebih sesuai untuk bercakap tentang sambutan Krismasnya di Malaysia kalau bukan jejaka kelahiran Itali pilihan kami pekan ini.

Roberto Guiati merupakan Presiden PETRA Lifestyle di bawah syarikat PETRA Group, salah satu syarikat di bawah konglomerat gergasi ini yang mengkhusus kepada perniagaan berteraskan gaya hidup, seperti restoran dan penyediaan makanan, hotel serta pelancongan dan seumpamanya.

Dia juga bukanlah wajah asing dalam dunia glamor Malaysia kerana dirinya juga adalah lelaki bertuah yang bergelar suami kepada pelakon dan model tersohor Malaysia, Kavita Sidhu.

Sudah berusia 41 tahun, Guiati sebenarnya telah bermastautin di Malaysia hampir 15 tahun dan begitu betah dengan negara ini.

Dia tampil untuk sesi fotografi dan temu bual yang telah kami persetujui ini pada waktu pagi di pusat hiburan terbaharu miliknya, iaitu The V’s Lounge di tengah kota.

Berkat wajah tampan semula jadi yang dimilikinya, jurusolek kami pada hari itu, Sara tidak perlu banyak bekerja. 

Malah semasa mengenakan busana lengkap dari Hackett London, kelibatnya seolah-olah mirip peragawan-peragawan profesional yang sering dilihat dalam media massa hari ini.

Semuanya terletak segak di badannya tanpa perlu sebarang perubahan besar. Saya hanya perlu memastikan pakaian kelihatan kemas dan yang lain kami serahkan kepada jurugambar bertugas, Sairien.

Jelas nan ketara, ini bukan kali pertama dia beraksi di depan kamera profesional kerana Guiati tampak bijak menyahut setiap petikan cahaya yang muncul dari peranti tersebut.

Persis seorang bintang sejati, dia selesa di depan kamera dan ini memudahkan kami melakukan tugas. Tanpa perlu mengambil masa yang lama, sesi penggambaran kami selesai dengan sangat cepat tanpa sebarang masalah.

Sebaik sahaja selesai menukar pakaian saya meminta sedikit waktunya untuk memulakan wawancara.

“Pada tahun 2007, saya ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Serantau di sebuah syarikat petroleum Itali di Malaysia. Oleh kerana saya memang menyukai cabaran yang baharu dan berminat untuk menjelajah ke luar, saya menerima tawaran pekerjaan tersebut. 

“Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk terus menetap di Malaysia dan membina kehidupan baharu di sini,” katanya membuka bicara.

Dilahirkan di sebuah kota bernama Ferrara berdekatan bandar Bologna dan Venice di Itali, Guiati sebenarnya merupakan seorang lulusan universiti dalam bidang Geologi.

Namun cintanya kepada dunia penyediaan makanan telah membuka satu lembaran baharu buat dirinya.

“Cinta saya kepada dunia penyediaan makanan dan restoran bukanlah perkara baharu. Semasa bergelar pelajar dulu, saya pernah bekerja sambilan sebagai pelayan dan juga penjaga bar.

“Malah abang saya sendiri berkecimpung dalam dunia perniagaan restoran. Jadi ia bukanlah satu perkara baharu buat saya.

“Walau bagaimanapun saya tidak menjangka yang saya bakal serius di bidang ini. Di awal ketibaan di Malaysia dulu, saya fokus dengan kerja saya sebagai jurutera dan penasihat dalam bidang petroleum.

“Kemudian saya menemui beberapa rakan kongsi dan mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan restoran dan penyediaan makanan Itali.

“Ia bermula sebagai satu projek sampingan namun kini lain pula jadinya. Sekarang dunia penyediaan makanan dan restoran sudah menjadi sumber pendapatan utama saya dan bidang petroleum pula yang menjadi kerjaya sampingan, kerana saya masih ditawarkan menjadi penasihat bebas untuk projek petroleum tertentu,” tambahnya lagi sambil tersenyum menjelaskan perubahan tersebut.

Guiati juga memberitahu bahawa dirinya bernasib baik kerana restoran asal yang dimulakan dahulu, iaitu Zenzero disukai ramai.

Kemudian dia ditawarkan pula peluang pelaburan dan kerjasama oleh pihak PETRA Group di bawah pelawaan Pengerusi dan Ketua Eksekutif syarikat tersebut iaitu Datuk (Dr.) Vinod Sekhar.

Ternyata dia membuat keputusan yang tepat kerana kerjasama ini telah membuka lebih banyak peluang baharu buat dirinya di dalam dan di luar Malaysia.

“Saya sangat gembira dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh Datuk Vinod dan pihak pengurusan PETRA Group. Mereka bukan setakat hendak membuka satu atau dua restoran baharu, tetapi macam-macam projek besar lain yang dapat membangunkan lagi jenama serta kualiti industri produk gaya hidup lain,” kongsinya dengan penuh rasa teruja.  

Terbaharu, restoran miliknya Zenzero telah berpindah lokasi di Menara Amplewest, di pusat bandar raya bersebelahan Menara Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, di atas Zenzero pula sudah dibuka The V’s Lounge untuk pengunjung yang ingin menikmati minuman, sambil bersantai mendengar alunan muzik secara langsung dan menikmati curut berkualiti tinggi.

Selain itu, restorannya Roberto’s yang menyajikan menu hidangan asli Itali di Bangsar Shopping Centre juga mendapat sambutan luar biasa sejak dibuka Disember tahun lalu.

“Saya sangat gembira dengan semua perkembangan ini. Roberto’s di Bangsar sentiasa dipenuhi pelanggan dan ramai menyukai apa yang kami sajikan. Dan kini, pembukaan Zenzero baharu bersama The V’s Lounge ini akan mengukuhkan lagi jenama perniagaan kami di Malaysia.

“Dan untuk pengetahuan semua, kami juga sudah berkembang ke luar negara dan bakal mengumumkan projek terbaharu kami di Eropah selain dua buah lagi restoran di Chennai dan Bangalore, India,” ujarnya penuh semangat. 

Kini jenamanya sudah mempunyai lapan restoran di Malaysia dan beberapa lagi akan dibuka di destinasi lain seperti Langkawi.  

Memang jelas, Guiati seorang yang rajin bekerja dan sangat mencintai tugasnya. 

Sungguhpun begitu, dia juga suka menghabiskan waktu melakukan aktiviti-aktiviti sukan. Ini juga tidak menghairankan kerana dirinya pernah bergelar pemain bola sepak semi-profesional di negaranya dahulu.

Mula bermain bola sejak berumur lapan tahun, Guiati juga pernah beraksi di peringkat tempatan di Itali.

“Di Itali sebaik sahaja bergelar pemain semi-profesional kami sudah mendapat bayaran. Saya pernah aktif mewakili daerah tempatan saya dari zaman remaja hingga bergelar mahasiswa.

“Malah pernah menjadi atlet olahraga universiti untuk kategori 400 meter.

“Sebab itu sehingga kini saya habiskan sekitar lima hari seminggu bersenam di gimnasium untuk mengekalkan kesihatan,” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun cinta terbesarnya masih lagi bersosial di restoran-restorannya saat bekerja.

“Saya percaya kepada kata-kata bahawa jika anda melakukan apa yang anda cintai, anda tidak akan bekerja seumur hidup. Dan ini sangat benar, apatah lagi di Malaysia.

“Saya menyukai Malaysia kerana negara ini membuktikan kepada saya sebagai orang luar bahawa, jika anda rajin berusaha anda akan dapat melihat sendiri hasilnya. Ini telah terbukti sejak saya mula berkerja dan berniaga di sini dahulu,” katanya lagi.

Namun ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa abangnya juga pernah mempunyai perniagaan restoran di Malaysia sebelum berpindah ke United Kingdom.

Malah seluruh keluarganya sudah ke Malaysia sebelum dirinya sendiri dan mereka juga mengenali serta menyukai Malaysia.

Dan sekarang dirinya sudah berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia, yang bukan sahaja jelita malah terkenal dan baik hati. Ini mengikatkan lagi dirinya dengan negara ini.

“Saya memang bertuah dapat memperisterikan Kavita. Dia bukan sahaja cantik menawan dan baik budi bahasa, malah bijak dan penuh semangat.

“Kami lebih ‘kuat’ bila kami berdua. Kami saling menyokong satu sama lain dan dia memberikan saya ruang untuk menjalankan tugas saya mengikut rentak sendiri.

“Mungkin di awal-awal perkahwinan dulu ia sedikit janggal buat saya namun kini saya sudah biasa dan sangat bahagia bila bersamanya. Malah saya juga menyenangi keluarganya yang sangat baik dan memahami,” tambahnya lagi.

Saat ditanya tidakkah dia merindui Itali dan suasana perayaan Krismas di sana, Guiati tersenyum sambil memberikan jawapan yang jujur.

“Sejak saya bermastautin di Malaysia, saya rasa hanya dua kali sahaja saya pulang ke Itali untuk menyambut Krismas. Ini kerana saya tidak terlalu sukakan cuaca musim sejuk di kampung halaman saya di sana. Ia sangat dingin dan kurang menyenangkan.

“Walaupun begitu, Itali memang menyeronokkan untuk percutian. Saya dan Kavita biasanya akan pulang ke Itali untuk bercuti tapi bukan semasa Krismas. Lebih kerap di musim panas. Biasanya saya akan bercuti sebelum atau selepas hujung tahun. 

“Saya sudah terbiasa meraikan Krismas musim panas di sini dengan Kavita dan keluarganya. Selain itu saya juga kerap meraikan Krismas di restoran saya bersama rakan dan kenalan.

“Ia kini menjadi satu kemestian yang sudah sebati dengan diri saya dan akan berterusan,” jelas Guiati menutup bicara.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Roberto Guiati

Pengarang Urusan: M. Zulkifli Abd Jalil 

Penyelaras & Teks : Shah Shamshiri

Suntingan Teks: Ili Farhana

Penata Gaya & Pengarah Seni : Shah Shamshiri

Solekan & Dandanan : Sara Mack Lubis

Busana: Hackett London

Jurugambar: Sairien Nafis

Juruvideo : Syeda Imran 

Penerbit & Pengarah Seni Video : Sara Mack Lubis

Suntingan Video : Muharram Kasim 

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi: The V’s Lounge Kuala Lumpur

Sekalung penghargaan buat Sunitha Thayaparan, Yusairi Yusof, Datuk Seri Dr. Farah Khan dari The Melium Group

Isu Pada

Di Balik Pesona Roberto Guiati

25 Dec 2021

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 tahun yang lalu

September Bulan Fesyen - Artis Bukanlah Model! 

2

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Di Sebalik Tabir Pembikinan Wajah TARA Bersama Roberto Guiati

3

Selera 2 tahun yang lalu

V’s Lounge Oleh PETRA Lifestyle, Bintang Baharu Ibu Kota

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut