Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Syahir Rosdi: Cetera Tekong Emas Negara

Kenali Syahir Rosdi, atlet pertama yang kami abadikan sebagai wajah TARA kali ini juga pernah bergelar 'Tekong Emas Negara' untuk sukan Sepak Takraw. Ketahui misi dan visinya dalam membina kerjaya sambil memartbatkan sukan tradisional ini.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Feb 2021 9:00AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hari itu damai. Sosok tinggi lampai ini tampak begitu bersahaja semasa sesi pemotretan. Siapa sangka jejaka berketinggian 1.9 meter ini memiliki aura peragawan? Mempersembahkan Syahir Rosdi sebagai wajah TARA isu kelima! 

Ini pertama kali kami abadikan seorang atlet. Orangnya tinggi ragah, tetapi bersifat merendah. Jujurnya kami melangut saat pertama Syahir melangkah ke studio. Punya alis mata tebal dan struktur persis peragawan profesional, Syahir tak kekok menyarung busana.

Walau masih di usia muda, empunya nama  Mohammad Syahir Mohd Rosdi (25) ini sudah pun berjaya mencatat sejarah negara apabila berjaya menamatkan kemarau emas 24 tahun di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang lalu semasa dia baru sahaja menginjak usia 22 tahun. 

Tiga tahun berlalu, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini pernah mendapat jolokan ‘Tekong Emas Negara’. Dia mampu melibas atau mengangkat kaki kanannya hampir setinggi tiga meter, melakukan servis tegak di atas kepala. Dia atlet sepak takraw yang luar biasa.

“Sepak takraw bukan sukan kampung”- Syahir Rosdi 

Pertama-tama, Syahir mula berjinak dalam sepak takraw seawal 12 tahun. Tak hanya sepak takraw, dia bermain segala macam sukan. Bola sepak, lumba lari, bilang sahaja. Senang kata, Syahir aktif bersukan. Namun sepak takraw menjadi pilihan kerana minat dan keserasian.

“Bermula di Sekolah Sukan Mutiara Impian (Pulau Pinang) perjalanan takraw saya biasa-biasa sahaja. Bakat saya sebenarnya berdasarkan saiz dan ketinggian. Saya bertuah kerana dilahirkan dengan fizikal yang sesuai dengan sukan ini,” ujarnya dalam nada rendah diri. 

Demikian Syahir bercerita pula satu peristiwa yang tak boleh dia lupakan sampai hari ini. Peristiwa yang mengubah perjalanan hidup seorang insan yang bernama Syahir Rosdi. Di sinilah bermulanya titik tolak takdir dengan sukan yang dianggap keramat olehnya ini.

“Sebelum diterima masuk, saringan sangat ketat. Bayangkan, saya hanya berjaya menimang bola takraw beberapa kali sahaja, sedangkan kawan-kawan lain berjaya menimang sehingga 50-100 kali. Itu asas, tetapi saya gagal. Mati-matian saya ingat saya tak berjaya.”

“Tiba-tiba, saya dikejutkan dengan satu perkhabaran gembira. Dimaklumkan, saya diberi peluang kedua kerana potensi dalam sukan ini. Mereka melihat dari segi kelenturan dalam pergerakan semasa saya bermain takraw.”

“Jadi, untuk mereka di luar sana, jangan bersedih sekiranya kamu gagal buat kali pertama. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Kamu sendiri tidak tahu apa sebenarnya bakat kamu. Saya sendiri tidak pernah tahu saya ada badan dan kaki yang fleksibel.”

“Bermula dari itu, saya bermain sepak takraw dari tingkatan satu sampai tingkatan lima, sebelum melangkah ke peringkat kebangsaan,” imbasnya sambil tersenyum.

“Bukan sudah tiada hati. Saya memang mahu bermain untuk negara, tapi...” – Syahir Rosdi

Pandangan Syahir terhadap sukan sepak takraw pun agak bernas. Dia memandang sukan sepak takraw ini dengan mata kepala sendiri dengan jelas. Sepak Takraw sudah menjurus ke arah sukan-sukan yang popular. Zaman berkembang, sepak takraw moden sudah dikenali oleh semua lapisan masyarakat dan peringkat usia. 

“Sepak takraw bukan ‘sukan kampung’. Jika mahu sukan ini diminati golongan belia, kita harus lakukan perubahan. Perubahan itu seperti menjadikan sukan ini sebagai pilihan karier. Bukan sekadar separuh masa (part-time). Setiap pemain wajar diberi gaji. Tidak hanya elaun.”

“Macam saya sekarang, saya berkerja sepenuh masa di MARA. Saya bermain untuk kelab KL Thunder hanya part-time. Selepas waktu kerja, saya bergegas untuk sesi latihan. Jadikanlah sukan tradisi kita ini sebagai kerjaya utama pilihan belia dan bukan hanya sekadar hobi.”

“Tidak perlu lihat jauh, lihat sahaja Thailand. Mereka menjaga kebajikan pemain bagai menatang minyak yang penuh. Negara mereka cukup mementingkan masa hadapan sukan sepak takraw. Hasilnya? Lihat sahaja ranking Thailand di mana?” ucapnya membara, mengenang kembali episod duka penggantungannya sebagai atlet kebangsaan.

DAHULU DISANJUNG, SEKARANG DIPASUNG

Sayangnya, Syahir kini tidak lagi bergelar ‘Tekong Emas Negara’, gara-gara tragedi yang membadai kerjaya. Benarlah kata orang, hari tidak selamanya panas. Ganas. Kehidupan ini bergelora. Masa dan realiti pantas berubah. 

Terkala kita hanya mampu mendiam. Kerana hanya sanubari yang tahu erti perasaan. Yang tak dapat pula diterjemah menjadi kata. Yang boleh dicerna minda. Itulah yang menghentam Syahir selama dua tahun penggantungannya dari arena sepak takraw negara. 

“Sebenarnya, saya tidak kisah pun digantung” – Syahir Rosdi

“Saya tidak dibenarkan sertai mana-mana kejohanan. Permainan tidak akan bermula. Markah tidak akan dikira. Seolah-olah saya bermain dengan angin. Sia-sia. Penganjur juga bakal dikenakan saman sekiranya membenarkan saya bermain.”

“Sebenarnya, saya tidak kisah pun digantung. Dua tahun saya angkat kaki. Saya harus bersabar kerana ‘diharamkan’ bermain takraw. Saya sedih kerana tak dapat bermain, bukan sedih kerana digantung,” selorohnya.

Mendengar penjelasan Syahir membuat kami terpelangah. Sebegitu sekali hukuman pemain yang pernah mengharumkan nama negara ini. Apa besar dosa yang telah Syahir laksana?

Seraya Syahir menjawab, “Semasa itu saya masih mentah. Masih hingusan. Saya tak berapa faham undang-undang. Saya digugurkan atas alasan disiplin. Lewat dan tidak hadir sesi latihan. Sepak takraw bukan keutamaan saya semasa itu.”

“Mungkin, ya mungkin saya digugurkan atas alasan-alasan itu. Saya mengaku. Darah muda. Saya memberontak. Saya yang nak keluar. Saya buat semua itu supaya digantung. Bukan sudah tiada hati. Saya memang mahu bermain untuk negara, tapi...,” diamnya sejenak.

Hilang kabus, teduh hujan. Kehidupan adalah serangkaian pelajaran yang harus dijalani dan difahami. Di balik semua itu, Syahir pelajari.

“Apabila berada di atas, kita boleh nampak. Ramai yang mendekat semasa kita di puncak. Apa jua kesalahan saya lakukan, mereka bersorak. Itu bukanlah kawan sebenar. Kawan sepatutnya menasihati. Tegur mana yang baik, mana yang buruk.”

“Bila tiba saat saya jatuh tersungkur (digantung), barulah saya nampak siapa yang tinggal. Itu saya panggil kawan. Saya kenal mana satu kawan, mana satu lawan. Itulah yang saya pelajari,” bingkasnya dengan semangat berkobar untuk bangkit semula membina kerjaya. 

BANGKIT DEMI MARUAH SEPAK TAKRAW NEGARA

Bagaikan burung phoenix, Syahir Rosdi bangkit. Dari abu-abu kegagalan, kembang di udara, sedia untuk terbang. Syahir mahu terbang tinggi kembali. Dia melihat dengan harapan yang cerah. Zaman semakin berlalu. Hari berganti hari. Anak-anak muda sekarang semakin celik. 

“Saya hanya berfikiran positif. Berlatih bersungguh-sunguh macam tiada hari esok. Jaga nama. Bina momentum. Kembali menjaga prestasi. Menangi kejuaraan. Rebut semula gelaran ‘Tekong Emas’. Saya sedang membina diri untuk ke tahap itu semula.”

“Lihat sekeliling kita. Kita tidak mampu bangkit semula jika berseorangan. Kita perlukan bantuan dan sokongan. Keluarga dan sahabat handai. Ingat semula apa yang kamu impikan semasa kamu mula-mula bermimpi dahulu.”

“Namun, jujurnya saya memang sudah tawar hati untuk bermain sepak takraw selepas insiden gelap itu. Tetapi kawan-kawan ramai membantu. Keluarga tidak jemu memberi nasihat. Supaya saya tidak tinggalkan terus sukan tradisi kita ini,” ujarnya dalam nada mendayu.

“Dapat pingat emas pun belum tentu terjamin” – Syahir Rosdi

Seakannya pemain sepak takraw di Malaysia tidak terbela. Tidak terjamin masa hadapan. Melihat nasib bekas atlet kebangsaan ini, timbul rasa sayu dan bersalah di hati. Kenapa mereka yang menjulang nama negara ini ditimpa nasib sebegini? Apa salah sistem sukan kita? Apa yang kita, sebagai negara bangsa harus lakukan? Bertambah malu, ini sukan tradisi!

“Bergantung pada sukan. Buat masa ini, sukan sepak takraw masih samar-samar. Belum tentu boleh hidup. Dapat pingat emas pun belum tentu terjamin.” 

“Seandainya nanti saya menjadi jurulatih. Saya akan pastikan anak-anak buah (pemain-pemain) saya tidak akan melalui nasib sama yang menimpa saya dan rakan-rakan takraw seperjuangan. Saya mahu bila mereka bermain takraw, mereka tak perlu berfikir nak makan apa? Hujung bulan bagaimana? Tak perlu berfikir macam-macam.”

“Minda dan fikiran mereka tidak terbeban. Masa hadapan mereka terjamin. Mereka punya gaji dan elaun. Barulah mereka boleh bermain dengan senang. Tanpa gangguan emosi. Mereka akan berasa dihargai. Barulah mutu permainan mereka melonjak naik dan tidak dapat ditandingi. Barulah sepak takraw boleh pergi jauh,” ucap Shahir padu. 

“Sepak takraw masih samar-samar” – Syahir Rosdi

Tambahnya, “Saya bercita-cita untuk membuka akademi, suatu hari nanti. Cari penaung. Saya tidak mahu pelapis sepak takraw lalui apa yang saya lalui.”

“Andai kata saya tidak termampu di masa hadapan, saya harap ada insan budiman yang terbuka hati mengubah jalan nasib sukan ini. Agar lebih terbela di bumi sendiri,” ucapnya.

Akhirul kalam, Syahir sempat berpesan, “Jika masih diberi peluang menyarung jersi kebangsaan, saya akan sahut cabaran. Saya mahu membuat kemunculan semula dengan membina nama dan reputasi. Demi negara dan sukan sepak takraw Malaysia,” tuntasnya. 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Syahir Rosdi

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks & Arahan Seni : Zaidi Che

Penyunting : Ili Farhana

Penata Gaya :Arie Sampornak

Busana : Neonate

Solekan: Jibs Salim

Dandanan: Jibs Salim

Jurugambar : Azim Rahman

Suntingan dan Video : Nur Muharram 'Bob' Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : 1o1 style garage, Setia Alam










 

Isu Pada

Syahir Rosdi

27 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 4 hari yang lalu

Sze Fei-Nur Izzuddin Tewas Di Final BAC 2024

2

Sukan 6 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

3

Sukan 1 minggu yang lalu

Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 Diadakan 10 Mei

4

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah