Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Tujuh Penambah Penangan Dalam Hidangan Di Malaysia

Nasi putih panas dimakan bersama salah satu penangan hidangan ini memang nikmat dunia. Ya, bahagia boleh jadi sesederhana itu!

Selera Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Feb 2021 3:24PM

oleh

Ana Johar

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Makan dan Malaysia umpama labah-labah cinta kepada telurnya. Berbilang kaum, beraneka lauk-pauk, variasi hidangan, di mana sahaja kita berada, aktiviti cari makan memang sentiasa diberi keutamaan. Dari selatan hingga ke utara dengan mi rebus, asam pedas, masak lemak, gulai tempoyak, laksa dan sebagainya, sehingga ke Malaysia Timur yang menghidangkan mi kolok, umai dan ambuyatnya yang popular, orang Malaysia meraikan makanan lazat di mana sahaja mereka berada. Oleh kerana itu, ketika musim cuti, semua gerai viral akan dikerumuni pengunjung sehingga sesak, tanpa mengira SOP ataupun penjarakan sosial. 

Selain daripada menikmati berjenis masakan utama, masyarakat Malaysia juga memerlukan penambah  penangan atau extra kick ketika menikmati hidangan. Disenaraikan di sini tujuh penangan hidangan di Malaysia yang digemari ramai. Kalau penangan ini ada, ibu mertua lalu pun tidak disapa, nasi tambah berpinggan pun buat-buat tak perasan. 

 

Ikan Masin

Antara penangan utama orang Malaysia ialah ikan masinnya. Ada yang gemar ikan sepat masin goreng garing-garing dimakan dengan nasi panas disadur gulai pedas. Boleh buat kepala berpeluh, mulut tersenyum puas. Antara ikan masin marhaen yang mudah didapati dan murah di pasaran ialah ikan kembung masin, ikan masin bulu ayam, dan ikan gelama masin. Ikan masin pun ada juga tahap kayangan. Jangan ingat dah tak segar, harga akan murah ya, tuan-tuan dan puan-puan. Ikan kurau, ikan terubuk, ikan talang, ikan tenggiri, ikan sepat, dijual dalam lingkungan RM25-RM80 sekilo. Ah, lupakan tentang harga sebab bukan nak masak berkilo sekali masak, kan? Ditambah gorengan bawang besar dengan hirisan cili padi dan renjisan jus limau kasturi, impak visualnya sahaja sudah buat kita terkecur tanpa sedar. 

 

Cili Potong

Permintaan cili potong memang default bila di Malaysia. Ada restoran yang menyediakan tempat untuk ambil cili potong siap-siap, ada juga yang kena minta baru dapat. Ada pelanggan yang suka merendam cili potong di dalam kicap dan menikmati kicapnya, ada juga yang makan cili potong umpama lauk tambahan. Sesetengah kedai mengenakan caj untuk cili potong sebab harga cili padi pun bukan murah di pasaran, kemudian terpaksa menggunakan pekerja untuk memotong berkilo-kilo cili sebab pelanggan tak berhenti nak cili potong. Yang pasti, kalau makan kuetiau goreng, nasi goreng atau mi kantonis tanpa cili potong, terasa sesuatu bagai tidak kena, kurang umph dan kicknya. 

 

Pekasam 

Makanan peram tradisi Melayu, pekasam sinonim dengan masyarakat Melayu Malaysia. Yang popular tentu sekali ikan pekasam,  namun ada juga daging pekasam. Ikan atau daging pekasam dijeruk dengan beras dan garam agar dapat bertahan lama, dan lazat sebagai penangan dalam hidangan. Bau ikan pekasam sedikit masam berbanding dengan ikan masin, kalau jenis hidung sensitif memang tak tahan dengan bau ‘harum’nya. Tetapi bagi penggemar pekasam, bau pekasam goreng boleh membuatkan nasi ditanak nampak sayup-sayup macam tak cukup gitu.

 

Cencaluk 

Jangan berani beli cencaluk dan letak di bonet kereta untuk perjalanan jauh, takut meletup bom cencaluk pula, parah nak membersihkannya! Cencaluk merupakan hidangan penangan orang Melaka yang diperbuat daripada udang geragau yang dijeruk. Untuk menikmati cencaluk cara yang betul, anda memerlukan hirisan bawang merah kecil, cili padi dan jus limau kasturi. Jika suka sedikit cair, masukkan sesudu air suam ke dalam adunan. Cencaluk di Melaka umpama budu bagi orang Kelantan. Dengan adanya cencaluk, lauk ringkas sudah memadai, asyik dimakan ditambah dengan kepedasan cili padi. 

 

Budu

Negeri di pantai Timur akan bertukar suram jika bekalan budu habis di pasaran. Situasinya akan menjadi lebih genting berbanding krisis air di Selangor. Kombinasi ikan bilis dicampur garam yang dijeruk diperam mesra lagi sebati membuatkan budu harum baunya dan begitu digemari penduduk-penduduk di negeri Cik Siti Wan Kembang dan juga jirannya Terengganu. Orang Selatan mungkin tak pandai berbudu-budu, tetapi kalau dah bertemankan orang sana, sama saja perangainya. Dicampur cili dan bawang, menitik air mata mengenang kenikmatan nasi di tangan. 

 

Sambal Belacan dan Ulaman

Lain padang lain belalang, lain orang lain sambal belacannya! Mereka yang di kampung menumbuk sambal belacan mengguna lesung dan menggunakan belacan yang dibakar sempurna dengan sedikit kehangusan di sudut tepi belacannya. Manakala mereka yang di bandar, campak semua dalam alat pengisar dan tekan butang untuk sambal belacan ekspres yang juga tak kurang sedapnya. Walau apa pun cara, sambal belacan memang penangan pembuka sselera. Dengan hirisan mangga muda dan bawang merah, perkataan diet sudah tiada makna. Selalunya sambal belacan diiringi ulam-ulaman hijau seperti ulam raja, tenggek burung, jantung pisang dan pegaga, acah-acah makan sayur sihat walaupun hakikatnya kita sahaja yang tahu berapa pinggan nasi sudah kita sudu. 

 

Petai, Jering, Kerdas 

Apa ada tentang tiga ini? Mereka menawarkan tekstur dan rasa yang berbeza kepada hidangan. Pahit, rangup dan sedikit ‘zing’ membuatkan campuran nasi campur naik taraf dari segi kelazatannya. Boleh dimakan mentah, ramai juga yang suka jenis yang dijeruk. Bukan untuk mereka yang berjiwa sofistikated kerana aroma ulaman ini akan membuatkan anda menggunakan separuh botol pencuci tandas untuk menghilangkannya. Peringatan kepada mereka yang bekerja di pejabat, ingat-ingatlah rakan sekerja yang perlu menggunakan tandas yang sama, dan jangan lupa mengunyah pudina selepas makan sebelum masuk ke mesyuarat ya. 

Ini merupakan senarai tujuh penambah penangan di dalam hidangan orang Malaysia. Tanpa kehadiran mereka ini di dalam hidangan, makanan terasa seperti parti yang membosankan. Apakah penambah penangan untuk anda yang kami tidak tahu? Sila kongsikan dengan semua dan kita pakat-pakat cuba. - Getaran, 1 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 5 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 2 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

2

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

3

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

4

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

5

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

6

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

7

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 hari yang lalu

Jangan Buang Serbuk Kopi Terpakai, Boleh Buat Skrub DIY