Perkongsian Tomok mengenai jumlah royalti karya-karya lagu ciptaannya yang diterima baru-baru ini benar-benar mengejutkan banyak pihak. Sukar untuk diterima akal bahawa royalti yang diterimanya itu hanya berjumlah RM19.06.
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan, 37, memuat naik perkongsian tersebut menerusi akaun instagramnya pada 12 Januari lalu.
Ditanya adakah tindakan itu dilakukan kerana rasa kecewa, Tomok berkata dia mahu memberitahu realiti yang dilalui pencipta lagu di negara ini.
“Kalau hendak ikutkan royalti yang dikira itu adalah untuk beberapa tahun tetapi jumlahnya memang tidak masuk akal.
“Inilah realiti yang berlaku. Jadi, kita kena sentiasa beringat, ada duit, kena simpan, usah membazir.
“Bukan semua perkara indah dalam industri ini. Di depan sahaja nampak indah tetapi belakang, kita tidak tahu kesukaran yang dilalui seseorang itu dalam kehidupan dan kerjaya seni,” katanya pada sidang media drama bersiri ‘Tumpang Lalu Bang’ yang berlangsung secara maya.
Menurut Tomok lagi, bukan niatnya untuk mencetuskan kekecohan menerusi perkongsian mengejutkan itu.
“Niat saya sekadar berkongsi tentang realiti yang berlaku dalam industri. Perkara ini perlu saya beritahu.
“Bila ada nama simpan duit. Jangan tahu nak enjoy sahaja. Saya dulu pun pernah enjoy, tetapi sampai satu masa kita kena tahu bila hendak tarik handbrake,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tomok kini sibuk dengan penggambaran drama 'Tumpang Lalu Bang' arahan Eoon Shuhaini dan skrip oleh Wan Mahani.
Drama bersiri terbitan Zamriez Gilden Oictures Sdn Bhd itu turut dijayakan barisan pelakon popular tanah air seperti Kilafairy, Black Hanifah, Afzan A. Rahman, Raja Afiq, Aidil Aziz, Qi Razali, Danial Dashuki dan Ziana Zain.

Membawakan watak sebagai Nizam yang perlu mendapatkan restu ibu dan lima abang gadis yang dicintainya, Tomok berkata, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Nizam teruk dibuli abang-abang kekasihnya terutama watak abang kedua lakonan Black.
“Bukan kena buli dalam set sahaja tetapi di luar set pun kena juga. Lebih-lebih lagi Black. Walaupun kena buli ‘kaw-kaw’, mereka banyak bantu saya dalam aspek lakonan.
“Kami seronok menjayakan drama ini. Kami dah jadi macam satu keluarga," katanya sambil ketawa.
Menyedari dirinya bukanlah pelakon tegar, watak Nizam antara faktor mengapa dia bersetuju membintangi drama bersiri ini.
“Saya suka watak Nizam kerana dia santai dan saya yakin untuk melakukannya.
“Saya bukanlah seorang pelakon dalam erti kata sebenar. Kalau diberikan watak serius atau berat, itu di luar kemampuan saya. Saya sedar tahap dan kemampuan saya.
“Seperkara lagi yang membuatkan saya menerima tawaran ini adalah kerana barisan pelakonnya. Semuanya hebat belaka," katanya lagi.

‘Tumpang Lalu Bang’ mengisahkan Nizam (Tomok) jatuh cinta pandangan pertama apabila bertemu Sofiah (Kilafairy). Pada awalnya Sofiah tidak mengendahkan Nizam kerana dia berpegang kepada prinsip hanya akan melayan bakal imam yang sempurna di matanya dan juga keluarganya.
Kesungguhan Nizam bagaimanapun berjaya membuka pintu hati Sofiah untuk menerimanya. Dan, bermulalah cabaran apabila Nizam perlu mendapatkan restu keluarga Sofiah.
Ibu bapa Sofiah tidak memandang harta benda sebaliknya mereka menetapkan syarat Nizam perlu mendapatkan restu lima abang Sofiah iaitu Sufian lakonan Aidil Aziz, Sobri (Black Hanifah), Syahrin (Raja Afiq), Syamil (Afzan A. Rahman) dan Shuib (Danial Dashuki).
Nizam berdepan jalan sukar apabila kelima-lima bakal iparnya itu bersikap terlalu melindungi adik kesayangan mereka. Dia juga terpaksa bersabar apabila teruk dibuli lima jejaka itu.
Gambar: Instagram Tomok