Satu-satunya aktor yang memiliki filemografi terbanyak adalah Farid Kamil. Sejak memulakan kerjaya profesional dalam bidang lakonan pada 2003, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sudah membintangi 66 filem cereka.
Suatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa buat Farid, bahkan ia menyamai jumlah filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Dan, Farid bakal menambahkan jumlah filemografinya apabila dia membintang Telaga Suriram arahan Osman Ali yang bakal menjalani penggambaran pada 20 Januari ini sehingga 10 Mac di beberapa lokasi iaitu Perlis, Kedah dan Perak.
Oleh itu, kenyataan Farid bahawa dia sudah bersedia untuk bersara pada bila-bila masa seperti yang dinyatakan pada tahun lalu cukup mengejutkan. Apakah itu satu kenyataan yang hakiki?
“Sebetulnya, kenyataan itu keluar sewaktu kita sedang berada dalam PKP dan setiap orang di Malaysia tidak pernah diperlakukan begitu.
“Ada benda yang kita mahu buat tidak dapat buat kerana PKP. Sebelum PKP, kita sudah merancang banyak perkara, tetapi ia tidak dapat dilakukan.
“Sebagai pelakon, apabila kita sudah bersedia untuk masuk ke set lokasi pada bulan depan, kita sudah lakukan persediaannya sejak dua bulan yang lalu. Apabila ia tergendala, kita rasa kita telah membuang tenaga dan paling mengecewakan apabila tidak dapat melaksanakan perkara yang sudah kita bayangkan.
“Jadi, kenyataan tentang bersara itu saya keluarkan disebabkan keadaan pada waktu itu. Ia bukanlah suatu keputusan yang muktamad,” katanya kepada Getaran.
Menurut Farid lagi, sebaik sahaja berakhir PKP karya lakonannya bersusun keluar dan Telaga Suriram bakal menjadi filem ke-67.
“Semua ini di luar jangkaan. Malah, semua ini juga adalah qada dan qadar daripada Allah SWT. Saya bersyukur kerana diberikan rezeki melimpah ruah selepas PKP.
“Bermula dengan dua drama di Astro, diikuti dengan filem Gila Kayos dan skrip untuk filem Remp-It 1 iaitu prekuel kepada Rempt-It. Seterusnya tawaran membintangi Telaga Suriram yang diterima pada tahun lepas.
“Dalam pada saya ingat saya sudah tua, ada pula watak lain yang lebih bersesuaian untuk saya.
“Benda-benda ini membuatkan saya terfikir semula bahawa saya boleh buat cerita-cerita baharu untuk tambahkan filemografi saya.
“Saya sudah banyak buat filem dan saya akan terus buat filem sampailah cukup 100 tajuk. Itu adalah sasaran dan matlamat andai diberikan rezeki,” katanya.
Mengulas tentang Telaga Suriram, Farid berkata, dia diberi mandat untuk menggalas watak sebagai Zakir iaitu watak yang tidak pernah lagi dipertontonkan dalam mana-mana filem cereka tempatan.
“Akan tetapi watak ini adalah cerminan masyarakat kita dan Zakir itu sendiri adalah simbolik kepada ahli politik di Malaysia.
“Dari waktu belajar sehinggalah penglibatannya dalam arena politik, ia telah diaturkan bapanya. Namun, landskap geografi politik untuk filem ini berlatarkan tahun 1985.
“Jadi, saya perlu kaji apakah yang dilakukan kebanyakan ahli politik dan pada waktu itu juga Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat yang mana negara baru 20 tahun lebih merdeka," katanya.
Mengenai persediaan membawakan watak ini, Farid berkata dia akan cuba menelaah skrip Telaga Suriram dan cuba menggali watak ini dengan bantuan jurulatih lakon, Ellie Suriaty Omar.
“Dia seorang jurulatih lakon profesional, jadi dia akan tunjukkan apa yang perlu saya gali dan korek demi membina dan mendalami watak Zakir.
“Sebetulnya, waktu ditawarkan membintangi filem ini dan membaca skripnya, saya terus berlari di atas threadmill selama 90 minit tanpa henti.
“Sebab saya rasa saya tidak punya kemampuan untuk membawakan watak ini. Memang saya tidak boleh.
“Tetapi, saya terima tawaran ini kerana Osman Ali serta penglibatan pelakon-pelakon lain seperti Maya Karin, Nabila Huda dan Scha Al-Yahya.
“Walaupun saya tidak yakin dengan kemampuan diri, saya percaya merek boleh memberi saya apa yang Zakir perlu dan mahukan,” katanya.
Farid juga mengakui sebelum ini dia tidak berasakan akan berpeluang membawakan watak dan filem sehebat Anak Halal.
“Apabila Osman Ali panggil untuk Telaga Suriram dan mengetahui cerita serta skripnya, saya rasa ia mampu menjadi filem lebih baik daripada Anak Halal. Saya beritahu sendiri apa yang saya rasakan ini kepada Maya Karin.
“Saya juga rasa beruntung digandingkan dengan Maya, Nabila dan Scha. Apa-apa pun, filem ini harus direalisasikan,” katanya.
Farid turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang tidak henti-henti mendoakan kebahagian dan kejayaannya.
“Dari dulu sampai sekarang, mereka sering doakan saya. Tahun ini, saya janji akan muncul dengan pelbagai genre filem tidak lama lagi,” katanya seraya memaklumkan Remp-It 2 akan muncul di pawagam pada 5 Mei akan datang.
Gambar: Instagram Farid Kamil.