Berita Terkini

1 jam yang lalu: Mangsa banjir di Batu Pahat tinggal 444 orang setakat 4 petang 1 jam yang lalu: Sesi libat urus perluas sistem pembayaran terbuka lebuh raya - Salahuddin 1 jam yang lalu: Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM3.22 juta 1 jam yang lalu: Pemohon Skim SRP masih boleh dapat pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan 1 jam yang lalu: 20,041 kes hilang wang daripada institusi perbankan di Malaysia pada 2022

IKUTI KAMI


Khatam Al-Quran Pada Bulan Ramadan, Apa Syaratnya?

Khatam Quran adalah sasaran lazim ramai umat Islam pada bulan Ramadan. Tetapi apakah syarat untuk memastikan khatam Quran anda sempurna?

Refleksi Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Apr 2021 4:20PM

Gambar: Rodnae Productions, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ada beberapa perkara yang kita cuba untuk lakukan dengan sempurna mungkin pada bulan Ramadan iaitu bersedekah, solat Tarawih dan belumba-lumba untuk khatam Al-Quran. 

Seperti yang kita maklum, mendekatkan diri dengan Al-Quran adalah amalan yang sepatutnya dilakukan walaupun di luar bulan Ramadan. 

Allah S.W.T menjanjikan kepada orang yang membaca Al-Quran pelbagai ganjaran dan darjat yang tinggi. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa, Baginda S.A.W bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، طَعْمُهَا مُرٌّ وَلاَ رِيحَ لَهَا ‏"‏‏.

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang beriman yang membaca Al-Quran ialah seperti buah Utrujah (buah limau), yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. "

Riwayat al-Bukhari (7560)


Pada bulan Ramadan ini, ada yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk khatam dalam masa sebulan atau kurang. 

Ada yang membuat jadual jitu bacaan Quran harian, ada yang mengajak beberapa orang kawan dan mengaji bersama serta membahagi-bahagikan juz sesama mereka. 

Nah, di sini terjadi perdebatan antara beberapa pihak. Adakah ia khatam Quran yang sebenar jika seseorang itu tidak membaca sepenuhnya Quran itu sendiri? Dan adakah memadai mendengar bacaan Quran untuk khatam?
 

Hukum Membahagikan Juz Al-Quran

Menurut laman web Mufit Wilayah Persekutuan, Rasulullah S.A.W tidak menentukan kaifiat atau cara khusus untuk mengkhatamkan Al-Quran. 

Justeru, umat Islam bebas melakukan apa sahaja kaifiat dan cara untuk mengkhatamkan Al-Quran kerana ia termasuk perkara yang boleh diijtihadkan.

Umumnya kita mengetahui bahawa orang yang membaca Al-Quran memperoleh pahala yang sangat besar, antaranya berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Riwayat al-Tirmizi ( 3158)

Terdapat beberapa Hadis yang membicarakan berkenaan khatam Al-Quran ini, antaranya:

عن عبدِ اللَّهِ بنِ عمرٍو أنَّهُ قالَ: يا رسولَ اللَّهِ! في كم أقرأُ القرآنَ؟ قالَ: في شَهرٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِكَ، يردِّدُ الْكلامَ أبو موسى وتناقصَهُ حتَّى قالَ: اقرأْهُ في سبعٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِك. قالَ: لاَ يفقَهُ من قرأَهُ في أقلَّ من ثلاثٍ

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Amr bertanya kepada Nabi S.A.W: Berapa hari saya harus menyelesaikan pembacaan seluruh Al-Quran, Ya Rasulullah? Baginda menjawab: Dalam satu bulan. Beliau berkata: Saya lebih bertenaga untuk menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada ini. Beliau (Abdullah) terus mengulangi kata-kata ini dan meminta dikurangkan tempoh sehingga baginda berkata: Lengkapkan pembacaannya dalam tujuh hari. Beliau sekali lagi berkata: Saya lebih bertenaga untuk melengkapkannya dalam tempoh yang kurang daripada ini. Nabi S.A.W bersabda: Barang siapa yang mengakhiri pembacaan Al-Quran dalam waktu kurang dari tiga hari maka dia tidak akan mengerti”

Riwayat Abu Daud (476)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa pembaca Al-Quran tidak boleh terlalu gopoh dan terlalu cepat mengkhatamkan Al-Quran iaitu kurang daripada 3 hari. 

Seharusnya pembaca memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabur iaitu memahami serta menghayati maksud Al-Quran itu sendiri.

Namun begitu, Imam al-Zarkasyi menyebut dalam kitabnya: “Pandangan yang terpilih ialah perkara tersebut (yakni tidak boleh khatam Al-Quran kurang daripada 3 hari) adalah berbeza mengikut keadaan seseorang iaitu (dilihat) dari segi kesungguhannya, kekurangannya, tadabburnya dan kelalaiannya dalam bacaan. Hal ini kerana, diriwayatkan bahawa Saidina Uthman R.A telah mengkhatamkan Al-Quran dalam satu malam.” (Rujuk: Al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/471)

Kesimpulannya, tiada halangan untuk membahagikan bacaan Al-Quran sama ada satu juz seorang atau selainnya. 

Dalam hal ini, ia merupakan salah satu ikhtiar alim ulama untuk menggalakkan masyarakat agar memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan pelbagai cara dan kaifiat.

Justeru, kita dapat lihat ada yang mencadangkan agar dikhatamkan Al-Quran sebulan sekali iaitu dengan membaca satu juz sehari, atau dengan cara membaca empat muka surat setiap kali selepas solat fardu agar dapat mencapai satu juz sehari dan sebagainya. 

Perkara ini terpulang kepada kebijaksanaan dan kreativiti masing-masing.

Kesimpulannya, amalan membahagi-bahagikan bacaan Al-Quran seperti yang diamalkan dalam masyarakat hari ini merupakan suatu amalan yang baik dan dituntut. 

Hal ini kerana Nabi S.A.W tidak menetapkan kaedah tertentu dan terpulang pada kita untuk membacanya dengan apa cara sekalipun. 

Tambahan pula, ia dapat menggalakkan orang ramai memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia.

Namun begitu, seseorang itu hanya diiktibar khatam Al-Quran apabila dia berjaya menghabiskan bacaan 30 juz secara penuh (iaitu dari juz 1 hingga juz 30) atau dia mendengar bacaan 30 juz secara bertadarus iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus. 

Sekiranya dia membaca bahagiannya atau juz tertentu sahaja dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juz-juz berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam Al-Quran.

Kami di Getaran berharap perkongsian ini sedikit sebanyak membantu para pembaca di luar sana yang sedang merancang untuk khatam Al-Quran pada bulan Ramadan nanti. 

Janganlah sampai kita berbalah tentang hal yang satu ini. Ingatlah niat utama kita adalah untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran dan Allah S.W.T. 

Semoga kita berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik untuk melalui Ramadan dengan kondisi optimal dan penuh penghayatan. Semoga semua amal kita dan puasa kita diterima Allah S.W.T. - Getaran, 9 April 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 12 jam yang lalu

Agong Nasihat Umat Islam Elak Bazir Makanan Di Bulan Ramadan

2

Semasa 23 jam yang lalu

Umat Islam Malaysia Mula Berpuasa Esok

3

Semasa 1 hari yang lalu

Agensi Agama Islam Perlu Kreatif Anjur Aktiviti Ibadah Bulan Ramadan

4

TARA 4 hari yang lalu

Tema 'Seindah Kasih' Semarakkan Kempen Ramadan Raya 2023 Media Prima Dengan Drama-Drama Menarik

Sorotan

1

Jangan Salahkan Media, Isu Perkauman Ini Ahli Politik Yang Mulakan!

2

Tambang Bas Sekolah: Jangan ‘Cekik Darah’, Ikut Tempoh Perkhidmatan, Adakan Perbincangan

3

Perkhidmatan Kesihatan Umum ‘Diketepikan’ Demi Perumahan Mewah? NGO Saran Adu Pihak Berkuasa

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 jam yang lalu

Stylofest Mega Raya 2023 Anjur Festival Shopping Kekeluargaan Terbesar 73 jam Tanpa Henti 

oleh Wartawan Hiburan Getaran