KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir bekas pemimpin parti itu yang menyeru rakyat untuk mengundi Barisan Nasional (BN) bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahmad Fadhli yang juga penyandang Parlimen Pasir Mas menasihatkan mantan pemimpin kanan PAS tersebut supaya tidak lagi menggunakan nama ‘bekas Ahli Majlis Syura Ulama’ untuk berkempen.
Sebaliknya beliau berkata, pemimpin yang bergelar ‘Datuk’ itu perlu menggunakan kekuatan sendiri untuk meraih sokongan pengundi.
“Malulah kepada diri sendiri, banyak mana kelebihan yang Datuk dapat sebagai menteri ketika berada dalam PAS.
“Muhasabahlah, tidak akan ke mana politik Datuk ni (ini),” katanya dalam satu hantaran di Facebook tanpa menamakan individu tersebut.
Bagaimanapun sindiran itu dipercayai ditujukan kepada mantan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang meninggalkan PAS pada Mac lalu.
Mohd Khairuddin disebut-sebut bakal diturunkan sebagai calon BN bagi Parlimen Kuala Nerus.
Sebelum ini, Mohd Khairuddin yang juga mantan Setiausaha Majlis Ulama PAS dilaporkan menyeru ahli PAS supaya mengundi BN bagi menyekat PH daripada berkuasa selepas PRU-15.
Namun penyandang Parlimen Kuala Nerus itu berkata, ahli PAS tidak perlu ke tahap meninggalkan parti tersebut, tetapi cukup hanya menyokong calon BN untuk memperoleh kemenangan pada pilihan raya kali ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, untuk menghalang PH daripada berkuasa rakyat sepatutnya mengundi PAS dan PN supaya memperoleh kemenangan besar.
“Nak halang PH berkuasa, undi BN. Terbalik tu (itu) Datuk. Sepatutnya jika semua undi PAS dan PN sehingga PAS dan PN menang besar, itulah yang benar-benar dapat halang PH berkuasa.
“Baik sakan (betul) Datuk dengan BN ya, sehingga satu-satunya cara untuk halang PH hanyalah dengan undi BN. Barangkali mata Datuk sudah rosak atau pertimbangan sudah menjadi kurang stabil,” katanya. - Getaran, 1 November 2022

