KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan semua jawatan dan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah bersifat peribadi.
Menurut Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, keputusan itu juga tidak melibatkan jawatankuasa dan sayap bahagian Tangga Batu yang masih kekal komited bersama parti berkenaan.
Katanya, BERSATU Melaka terus kukuh menyokong kepimpinan Presiden parti itu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kami semua ahli BERSATU Melaka kekal komited mempersiapkan jentera PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Kami berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan PN menang waima siapa pun calon dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat.
“BERSATU Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen atas segala jasa dicurahkan. Semoga beliau terus maju jaya,” katanya.
Terdahulu, Mohd Rafiq yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden BERSATU, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta hari ini, selepas sedih dan kecewa apabila namanya tidak dicalonkan untuk kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU-15.
Pengumuman itu menyaksikan beliau turut meletakkan semua jawatan dalam BERSATU, termasuk Pengerusi Parlimen Tangga Batu, Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu, selain pemberhentiannya sebagai ahli seumur hidup parti terbabit.
“Surat rasmi sudahpun saya kemukakan kepada Tan Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU,” katanya menerusi sidang media yang turut dimuat naik di Facebook hari ini.
Terdahulu wujud spekulasi berkenaan kedudukannya dalam BERSATU dan hala tuju politik beliau pada PRU-15 yang menjadi tanda tanya masyarakat, terutama media.
Mohd Rafiq berkata, pada peringkat awal menjelang PRU-15, beliau dimaklumkan pucuk pimpinan tertinggi BERSATU bahawa dirinya akan dinamakan sebagai calon PN bagi Parlimen Tangga Batu, namun ia dimungkiri.
Jelasnya, beberapa hari lalu, beliau dihubungi Muhyiddin dan Timbalan Presiden BERSATU memaklumkan namanya tidak akan dicalon di parlimen berkenaan, sebaliknya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain, termasuk di Bagan Datuk yang bakal ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Getaran, 30 Oktober 2022
