KUALA LUMPUR - Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta hari ini, selepas sedih dan kecewa apabila namanya tidak dicalonkan untuk kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengumuman itu menyaksikan beliau meletakkan semua jawatan dalam BERSATU, termasuk Pengerusi Parlimen Tangga Batu, Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu, selain pemberhentiannya sebagai ahli seumur hidup parti terbabit.
“Surat rasmi sudahpun saya kemukakan kepada Tan Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU,” katanya menerusi sidang media yang turut dimuat naik di Facebook hari ini.
Terdahulu wujud spekulasi berkenaan kedudukannya dalam BERSATU dan hala tuju politik beliau pada PRU-15 yang menjadi tanda tanya masyarakat, terutama media.
Mohd Rafiq berkata, pada peringkat awal menjelang PRU-15, beliau dimaklumkan pucuk pimpinan tertinggi BERSATU bahawa dirinya akan dinamakan sebagai calon PN bagi Parlimen Tangga Batu, namun ia dimungkiri.
Katanya, beberapa hari lalu, beliau dihubungi Muhyiddin dan Timbalan Presiden BERSATU memaklumkan namanya tidak akan dicalon di parlimen berkenaan, sebaliknya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain, termasuk di Bagan Datuk yang bakal ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Parlimen Tangga Batu selama enam tahun, tidak diberi pertimbangan adil dan sewajarnya. Pelbagai inisiatif dan program membantu rakyat seperti Gerai Prihatin Rakyat sudah saya mulakan untuk masyarakat, walaupun tidak lagi mempunyai peruntukan sebagai wakil rakyat.
“Tambahan pula menjadi amalan dan tradisi bagi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti Naib Presiden untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan dipimpinnya. Dalam konteks ini saya merasakan struktur parti tidak lagi dihormati BERSATU,” katanya.
Menurut Mohd Rafiq, keputusan itu dibuat selepas beliau memikirkan secara mendalam dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan, ahli parti serta keluarganya.
“Selepas ini saya akan memberi tumpuan kepada isteri, anak dan keluarga saya yang banyak memberi sokongan moral serta berkorban masa dalam memahami tugas saya sebagai ahli politik sebelum ini.
“Walaupun saya tidak bertanding pada PRU-15 ini, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan serta khidmat bakti kami menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu dan mungkin juga di peringkat negeri serta nasional,” katanya.
Penglibatan Mohd Rafiq dalam BERSATU bermula sejak 2016, iaitu ketika awal parti itu ditubuhkan dengan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu.
Kemudian pada tahun 2020, beliau bertanding bagi jawatan Naib Presiden dan Ketua BERSATU Bahagian Tangga yang menyaksikannya menang kedua-dua jawatan itu.
Pada tahun 2018, beliau bertanding pada PRU-14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan menang, sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka bagi portfolio Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian serta NGO Pembangunan Belia dan Sukan Melaka.
Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau bertanding di DUN Telok Mas dan turut dilantik sebagai Pengerusi PN Parlimen Tangga Batu. – Getaran, 30 Oktober 2022

