Berita Terkini

4 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 1 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019 2 minggu yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

IKUTI KAMI


Kerusi Panas ‘Lembah Klang’ Jadi Rebutan Calon Berprofil Tinggi

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Oct 2022 6:23AM

Azmin Ali dan Amirudin Shari antara calon yang bakal merebut kerusi panas dalam PRU-15 kali ini. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Beberapa kerusi panas di Lembah Klang bakal mencuri tumpuan apabila ramai calon berprofil tinggi dijangka dipertaruhkan parti politik pada PRU-15.

Antaranya, kerusi Parlimen Batu yang mungkin menjadi rebutan gabungan politik termasuklah calon Bebas.

Bagaimanapun calon sebenar yang akan bertanding pada PRU-15 hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, 5 November ini.

Berikut adalah senarai beberapa kerusi panas di Kuala Lumpur dan Selangor yang perlu diberikan perhatian.

Batu (Kuala Lumpur)

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kerusi Parlimen ini dimenangi calon Bebas yang disokong PKR, P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi.

Beliau menang dalam saingan empat penjuru menewaskan Dr Dominic Lau Hoe Chai dari Barisan Nasional (BN), calon PAS, Azhar Yahya dan seorang lagi calon Bebas, Datuk VM Panjamothy.

Sebagaimana empat tahun lalu, Parlimen Batu dijangka menjadi antara kerusi paling panas pada PRU-15 kerana menjadi rebutan ramai.

Terbaharu, pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali sebagai Cleopatra turut menyuarakan hasrat untuk mencuba nasib di kerusi tersebut.

Pengarah syarikat pertahanan dan keselamatan itu berkata, beliau akan bertanding atas tiket Bebas dan tidak gentar untuk bersaing dengan nama-nama besar dalam arena politik negara.

Pada Ogos lalu, timbul desas-desus bahawa peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim menawarkan diri untuk bertanding di kerusi tersebut.

Selain itu, Tian Chua juga dikatakan akan kembali semula ke Parlimen Batu selepas tidak bertanding pada PRU 2018.

BN juga akan mengetengahkan calon dalam kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi merampas kembali kerusi tersebut.

Antara calon yang disebut-sebut bakal mewakili BN di kawasan tersebut adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali Arul Alavudeen.

Arabath, 35, yang juga seorang akauntan dan ahli perniagaan turut bergiat aktif dalam kerja kebajikan dan kerja amal melalui NGO dan dewan perniagaan.

Parlimen Batu dianggarkan memiliki seramai 112,000 pengundi selepas mengambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu adalah Melayu sebanyak 43 peratus, Cina (38 peratus), India (17 peratus) dan lain-lain dua peratus.

Parlimen Batu adalah kubu kuat PKR sejak 2008 dengan Tian Chua menyandang kerusi itu selama dua penggal sebelum dirampas Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas.

Selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14, Prabakaran telah menyertai PKR dan dijangka bertanding semula di Parlimen Batu berdasarkan rekod cemerlangnya sebagai wakil rakyat, apatah lagi berjaya mengalahkan Tian Chua untuk jawatan Ketua Cabang PKR baru-baru ini.

Titiwangsa

Pada PRU-14, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Rina Harun berjaya merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada penyandangnya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili BN, dengan meraih majoriti 4,139 undi.

Namun khabar angin Rina akan berpindah dari kerusi ini untuk bertanding di Parlimen Sepang pada PRU-15 semakin hangat diperkatakan mutakhir ini.

Ia berikutan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dilaporkan sering menyertai pelbagai program dianjurkan di kawasan Sepang, terbaharu adalah sesi bersama jentera pilihan raya BERSATU Bahagian Sepang di Paya Indah Wetland, Bukit Changgang.

Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tekad merampas kembali Parlimen Titiwangsa meskipun menerima tawaran kerusi lain. 

Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Titiwangsa istimewa di hatinya kerana beliau dilahirkan dan bersekolah di kawasan berkenaan. 

Justeru, katanya, atas alasan itu, beliau ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang masih berlarutan, termasuk isu pembangunan semula Kampung Baru.

Untuk rekod, Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016.

Selain itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) turut akan mempertaruhkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad untuk kerusi Titiwangsa, sekali gus menjadikan ia antara kerusi yang menarik untuk diperhatikan.

Pencalonan itu dianggap satu pengorbanan luar biasa kerana Khalid akan meninggalkan Parlimen Shah Alam yang disandangnya selama tiga penggal.

Walaupun keputusan tersebut satu langkah berisiko tinggi, ia sebenarnya mengambil aspirasi dari Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang bersedia untuk meninggalkan ‘zon selesa’.

Ketua Pemuda BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi tersebut sekiranya dicalonkan pucuk pimpinan parti.

Namun beliau menyifatkan Parlimen Titiwangsa sebagai ‘kerusi sukar’, kerana melibatkan pertembungan pelbagai penjuru dan sentimen pengundi yang berbeza.

Dalam pada itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut mengintai kerusi tersebut pada PRU-15.

MUDA mengakui parti itu telah menggerakkan aktivisnya, Siti Rahayu Bahardin, 41 untuk diketengahkan sebagai calon di Parlimen tersebut.

Bandar Tun Razak

Mutakhir ini, nama Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disebut-sebut bakal bertanding di kerusi tersebut pada PRU-15.

Dr Wan Azizah yang juga penyandang Parlimen Pandan dikatakan akan berpindah ke Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk kembali bertanding dikerusi disandangnya itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan spekulasi yang timbul sebaliknya memaklumkan perkara itu akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

Kerusi ini dimenangi Datuk Kamaruddin Jaffar yang bertanding atas tiket PKR pada PRU-14 dengan meraih 41,126 undi.

Kamaruddin yang berdepan saingan tiga penjuru ketika itu menang dengan majoriti 19,930 undi.

Beliau kemudiannya bertindak meninggalkan PKR bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan menyertai BERSATU.

Sebelum Kamarudin, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah menyandang kerusi Bandar Tun Razak selama dua penggal.

Beliau bagaimanapun keluar PKR pada 2014 sebelum menyertai PAS pada 2018.

Bandar Tun Razak mempunyai kira-kira 61 peratus pengundi Melayu, 29 peratus pengundi Cina, lapan peratus India dan lain-lain sebanyak satu peratus.

Gombak

Malam Ahad lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau bersedia mempertahan kerusi Parlimen Gombak pada PRU-15.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau bersedia meneruskan khidmat dan baktinya kepada rakyat di kawasan berkenaan bagi penggal seterusnya.

Mohamed Azmin merupakan penyandang kerusi Parlimen Gombak sejak tahun 2008 selepas memenanginya atas tiket PKR.

Bagaimanapun, sekiranya mempertahankan kerusi itu pada PRU-15, beliau akan bertanding di bawah logo PN.

Kerusi itu turut menarik perhatian adiknya yang juga pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Diva AA.

Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali, 56, berkata, beliau tidak gentar untuk bertanding merebut kerusi disandang abang kandungnya itu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) itu memaklumkan, dia akan mula berkempen dengan menjual rendang yang pernah meraih perhatian ramai pada PRU-14, termasuk menyantuni komuniti di kawasan tersebut dengan menghadiahkan juadah air tangannya sendiri itu.

Terdahulu, Azwan yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU-14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa mencuri perhatian netizen apabila memuat naik beberapa keping foto dirinya dengan solekan ala wanita.

Pada PRU-14 empat tahun lalu, Azwan hanya meraih 90 undi sekali gus tewas di kawasan tersebut selepas menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk berkempen.

Dalam pada itu, sumber PKR memaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga akan bertanding di Parlimen Gombak.

Pencalonan beliau di kerusi tersebut dibuat berdasarkan pencapaian dan rekod cemerlangnya sebagai menteri besar Selangor.

Sumber berkata, pencalonan Amirudin amat sesuai bagi mengembalikan mandat rakyat yang dicabuli melalui Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kubu kuat PKR itu ‘dicuri’ pengkhianat.

Ampang

Parlimen Ampang antara kerusi panas di Selangor yang akan menyaksikan penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin bakal dicabar nama-nama besar yang akan diumumkan parti lawan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dilihat mempunyai pengaruh kuat dan menjadi sebutan dalam kalangan penduduk di Ampang.

Zuraida sebelum ini menyatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang dan masih menunggu keputusan BN untuk menerima kemasukan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diterajuinya bagi menghadapi PRU-15.

Pada masa sama, timbul desas-desus bahawa anak sulung Anwar, Nurul Izzah akan bertanding di kerusi tersebut.

Namun Anwar memberi bayangan anaknya itu akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

BN pula masih berteka-teki mengenai siapakah calon yang akan dipertaruhkan dan UMNO Ampang menolak keras cadangan penyertaan PBM untuk bersama-sama parti itu menghadapi PRU-15.

Sebelum ini, Datuk Hans Isaac yang memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Ampang pada Julai lalu disebut-sebut akan diketengahkan di kerusi tersebut pada PRU-15.

Bagaimanapun beliau menyerahkan perkara tersebut untuk diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Kerusi Parlimen Ampang merupakan kubu kuat PKR sejak PRU-12 pada 2008.

Pada PRU-14, Zuraida yang juga mantan Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.Dalam pertandingan itu, beliau menewaskan Leong Kim Soon dari BN, Nurul Islam Mohammed Yusoff (PAS), dan Tan Hua Meng (Parti Rakyat Malaysia).

Kuala Selangor

PH dan AMANAH mahu penyandang Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusi itu pada PRU-15.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, adalah penting bagi Dr Dzulkefly mempertahankan Kuala Selangor selepas UMNO memutuskan untuk meletakkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon parti itu di kerusi berkenaan.

Salahuddin berkata, PH dan AMANAH yakin mantan Menteri Kesihatan itu mampu mengekalkan kerusi Kuala Selangor berdasarkan prestasi kerja buat pengundi di Parlimen berkenaan.

Dr Dzulkefly memenangi kerusi tersebut pada PRU-12 namun tewas kepada BN pada PRU-13.

Beliau bagaimanapun kembali merampas kerusi Kuala Selangor daripada BN pada PRU-14.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul bagaimanapun masih berteka-teki mengenai spekulasi beliau akan dipertaruhkan di kerusi tersebut.

Beliau sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan sama ada beliau akan bertanding pada PRU-15.

Tengku Zafrul berkata, beliau kini hanya mahu memfokus untuk membantu rakyat.

Pada Ogos lalu, media melaporkan nama Tengku Zafrul  mungkin tersenarai dalam beberapa calon yang dicadangkan untuk bertanding di bawah BN pada PRU-15.

Jangkaan itu adalah selepas Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim mendedahkan senarai calon bagi Parlimen dan tiga DUN sudah diserahkan kepada pimpinan parti untuk diputuskan.

Tanjong Karang

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kemenangan di Parlimen Tanjong Karang sejak tahun 1995 iaitu pada PRU-9 sehingga PRU-14.

Pada PRU-14 lalu, Noh yang juga calon BN memperoleh majoriti 1,970 undi selepas menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada PKR dan calon PAS iaitu Nor Az Azlan Ahmad.

Kali ini, Noh berkata, beliau bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Tanjong Karang sekiranya dipilih BN pada PRU-15.

Dari segi politik, Tanjong Karang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan bukan sahaja kubu kuat UMNO serta BN, tetapi juga kawasan penyokong Noh.

Semasa PRU-14, Tanjong Karang hanyalah satu daripada dua kerusi Parlimen di Selangor yang dimenangi BN, dengan satu lagi kerusi ialah di Sabak Bernam.

PH telah memperuntukkan kerusi itu kepada BERSATU pada PRU-14 tetapi selepas keluar daripada gabungan itu pada 2020, kerusi tersebut dikembalikan kepada DAP.

Meskipun rundingan mengenai kerusi itu belum dimuktamadkan, DAP dilaporkan sedia memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Jika DAP diberikan kerusi itu, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim berkemungkinan besar akan diletakkan sebagai calon.

Bagaimanapun beliau keberatan untuk bertanding di Parlimen Tanjong Karang yang disifatkannya sebagai kerusi panas di Selangor.

Majoriti pengundi Tanjong Karang terdiri daripada orang Melayu (74.67 peratus), diikuti Cina (15.96 peratus) dan India (8.94 peratus).

Klang

Teka-teki sama ada penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago dikekalkan atau tidak akhirnya terjawab.

Charles malangnya digugurkan sebagai calon DAP di kerusi berkenaan pada PRU-15.

Posisi beliau akan digantikan ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau yang juga Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor.

Sebelum itu, ADUN Seri Kembangan dan mantan exco negeri, Ean Yong Hian Wah turut disebut-sebut sebagai pengganti Charles.

Namun Ean Yong berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini oleh pemimpin atasan DAP berhubung pencalonannya di Klang bagi menggantikan Santiago dan segala keputusan akan ditentukan oleh pimpinan parti.

Beberapa laporan dalam DAP sebelum ini menyebut, Klang memerlukan Ahli Parlimen Cina walaupun Charles sentiasa berada di hadapan bagi membawa suara rakyat, mencakupi isu bekalan makanan untuk penduduk memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), isu perbandaran dan banjir yang sering melanda.

Bagaimanapun Charles tersenarai sebagai calon kegemaran penduduk setempat di Klang untuk bertanding di kerusi Parlimen, menurut tinjauan dijalankan Persatuan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan (PAPDK).

Charles menjadi Ahli Parlimen Klang sejak 2008, apabila beliau menamatkan penaklukan MCA di kerusi majoriti Cina itu.

Sejak itu, beliau mempertahankan kerusi tersebut dengan peningkatan majoriti dalam pilihan raya seterusnya.

Kemenangan beliau pada 2018 ke atas calon MCA menyaksikan majoriti lebih 78,000 undi. – Getaran, 28 Oktober 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 8 bulan yang lalu

Main Watak Antagonis, Sanusi Bawa Kedah Jadi Tumpuan Ketika PRN

2

Politik 1 tahun yang lalu

MCA Adakan AGM Secara Tertutup Tahun Ini

3

Politik 1 tahun yang lalu

Pengundi Awal Parlimen Padang Serai, DUN Tioman Tunai Tanggungjawab Esok

4

Politik 1 tahun yang lalu

PH Tidak Letak Syarat Bentuk Kerajaan Negeri - Wan Rosdy

Sorotan

1

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

2

Lee Akan Dilantik Sebagai Menteri Kanan Dalam Kabinet Baharu - Wong

3

Gangguan Kuasa Jejas Kekerapan Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya

4

KPWKM Bantu Wanita Didakwa Diberi Layanan Buruk Pegawai JKM - Nancy

5

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Port, Namun Perlu Patuhi Dasar - Menteri

6

Rasionalisasi Subsidi Mampu Tangani Isu Ketirisan, Seludup Diesel - Pakar Ekonomi

7

Kolam Selam Tempur Kem Iskandar, Mersing Siap Jun - Onn Hafiz

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Ingatkan Akar Pokok, Rupanya Bangkai Ikan Lumba-Lumba

oleh Rafisqi Radhi

Sukan 1 hari yang lalu

Xiong Du Du, Yu Rong Rong Dipilih Maskot Piala Thomas, Piala Uber 2024

Semasa 9 jam yang lalu

Kejayaan Proses Evakuasi Keluarga Nadir Al-Nuri Bukti PM Prihatin Kebajikan Rakyat

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 jam yang lalu

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir