Berita Terkini

3 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kerusi Panas Zon Utara Bakal Jadi Rebutan Parti Politik

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Oct 2022 8:45PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Walaupun tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya diumumkan hari ini, setiap parti politik sudah menyusun strategi masing-masing terutamanya berkenaan calon yang akan diturunkan di kerusi panas.

Adakah calon sama dikekalkan atau berlaku kejutan luar jangka pada pilihan raya kali ini? Cakap-cakap yang tersebar ketika ini boleh dianggap betul atau pun hanya khabar angin semata-mata.

Hakikatnya teka-teki itu akan terjawab sepenuhnya pada hari penamaan calon, 5 November depan.

PRU-15 diramal unik dan lebih dramatik, apatah lagi lebih 21 juta pengundi layak mengundi bagi memilih kerajaan baharu.

Semua mata kini tertumpu kepada beberapa kerusi bersifat marginal dan majoriti pengundi Melayu yang dijangka menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru, terutamanya apabila PAS memutuskan untuk menangguhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam laporan siri pertama ini, Getaran akan menyenaraikan beberapa kerusi Parlimen di zon utara tanah air merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang menjadi idaman parti politik di negara ini menjelang PRU-15.

Langkawi (Kedah)

Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, 2008 dan 2013, Parlimen Langkawi adalah kubu kuat UMNO. Calon BN yang diturunkan menang dengan majoriti besar di kerusi itu.

Namun segalanya berubah apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merampas kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (2018).

Beliau berjaya mengetepikan Datuk Nawawi Ahmad dari BN dengan majoriti 8,893 undi.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir turut mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-15.

Menariknya kali ini, bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Ezam Mohd Nor turut menyatakan hasrat akan bertanding di Parlimen Langkawi.

Ezam dilaporkan akan bertanding sebagai calon bebas atau calon mana-mana parti yang sudi memberi laluan kepadanya untuk mencabar Dr Mahathir.

Jerlun (Kedah)

Sama seperti bapanya, Presiden Parti Perjuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhasrat untuk kekal bertanding di kerusi Parlimen Jerlun yang dimenanginya dengan 18,695 undi di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-14.

Beliau sebelum ini disebut-sebut bakal menggantikan kerusi disandang bapanya yang mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU-15 sebagaimana dilaporkan media dua tahun lalu.

Namun Mukhriz berkata beliau lebih selesa di Jerlun, kerusi sama dimenanginya pada PRU 2008 dengan 19,424 undi ketika mewakili BN.

Kerusi yang mempunyai 91 peratus pengundi Melayu itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan BERSATU, PAS dan BN pada PRU-14, empat tahun lalu.

Bagaimanapun saingan kali ini agak sengit apabila BERSATU dikhabarkan akan meletakkan Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon.

Peluang Wan Saiful untuk menang di kerusi berkenaan agak cerah selepas kajian dalaman BERSATU menunjukkan kemerosotan tahap sokongan PEJUANG di Jerlun.

Timbul spekulasi Mukhriz akan berpindah ke Kubang Pasu kerana auranya di Parlimen Jerlun sudah tidak lagi relevan.

Kulim Bandar Baharu (Kedah)

Kerusi Parlimen ini menyaksikan saingan sengit antara PKR dan BN sejak PRU 2004 lagi. Kedua-dua parti itu sering bersilih ganti memenangi kerusi tersebut.

Pada PRU-14, ia berjaya dirampas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri  Saifuddin Nasution Ismail apabila menewaskan calon BN, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 4,860 undi.

Saifuddin beberapa hari lalu memberi bayangan akan menjadi calon parti itu pada PRU-15 tetapi tidak mendedahkan sama ada beliau bakal mempertahankan kerusi tersebut.

Adakah kedua-dua parti masih berhasrat menurun calon sama yang bersahabat baik ini dan pernah duduk dalam saf kepimpinan yang sama ketika dalam Pergerakan Pemuda UMNO suatu ketika dulu?

Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tambun (Perak)

PRU-15 memang penuh kejutan dengan penganalisis politik Profesor Dr P Sivamurugan meramalkan beberapa ahli politik terkemuka akan bertukar ke kawasan Parlimen lain.

Katanya, tindakan itu antara strategi untuk mengimbangi serta membawa pengaruh mereka dari tempat asal ke kawasan lain sekali gus memperluaskan penguasaan sesebuah parti dalam Parlimen.

Situasi tersebut dijangka berlaku terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mendedahkan ada menerima pelawaan untuk bertanding di Tambun yang dianggapnya diwakili oleh ‘pengkhianat’.

Malah beliau juga dilaporkan sedia mempertimbang tawaran bertanding di Parlimen Tambun yang disandang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas memenangi PRU-14 dengan 38,661 undi.

Menteri Belia dan Sukan itu menundukkan calon BN yang juga mantan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan majoriti 5,320 undi.

Namun keputusan sama ada Anwar bertanding di kerusi itu akan diumumkan pada Konvensyen Nasional Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan berlangsung di Perak, 29 Oktober ini.

Anwar bermula sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh seawal 1982 dan kekal di situ sehinggalah PRU 1999 sebelum berlaku episod penyingkirannya daripada UMNO dan kerajaan.

Pada PRU-14, Anwar tidak bertanding kerana menjalani hukuman penjara sehinggalah beliau diberi pengampunan Diraja ekoran kejayaan PH membentuk kerajaan Persekutuan.

Pada 12 September 2018, penyandang kerusi Port Dickson (PD), Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi membuka jalan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Anwar bertanding.

Dalam PRK pada 13 Okt 2018 itu, Anwar memenangi kerusi tersebut apabila menewaskan enam calon lain dengan majoriti besar iaitu 23,560 undi.

Bagan Datuk (Perak)

Kerusi Parlimen ini cukup sinonim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih menjadi pilihan pengundi di kawasan itu sehingga PRU-14.

Beliau menundukkan calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dengan majoriti 5,073 undi di Parlimen itu pada PRU-14.

Pada PRU-15, laluan Ahmad Zahid untuk mempertahankan kerusi itu sedikit berliku apabila Tawfik Ismail yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman mengumumkan mahu mencuba nasib di Bagan Datuk.

Tawfik berkata, beliau memutuskan untuk bertindak berani demi membuktikan kepada pengundi Melayu bahawa terdapat alternatif lain dan pemimpin lebih berwibawa, berbanding apa yang ditawarkan oleh UMNO dan PAS.

Beliau yang pernah menyandang kerusi Parlimen Sungai Benut (kini Simpang Renggam) dari 1986 hingga 1990 akan bertanding sebagai calon Gerak Independent (GI).

Bagaimanapun, pendirian Tawfik dianggap sebagai satu misi yang agak mustahil kerana Zahid tidak pernah tewas di Bagan Datuk sejak mula menguasai kawasan terbabit pada 1995.

Selain Tawfik, GERAKAN Perak turut mencadangkan Anwar untuk bertanding di kerusi tersebut yang disifatkan sebagai pertembungan buku dan ruas.

Namun Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengakui kerusi itu terlalu berat untuk Anwar.

Umum mengetahui Zahid kini berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana bernilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Malah beliau didakwa mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi memudahkan usahanya menggugurkan kes di mahkamah.

Parit Buntar (Perak)

Sejak Mei lalu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar.

Saingan kali ini pasti sengit apabila beberapa nama besar turut dikhabarkan akan bertanding di kerusi tersebut.

Antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Harus diingat Mujahid yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal memenangi kawasan tersebut buat pertama kalinya dibawah tiket PAS pada PRU 2008 dan 2013.

Pada PRU-14, beliau yang bertanding sebagai calon AMANAH, mempertahankan kerusi tersebut dengan mendapat majoriti 3,098 undi.

Malah kerusi tersebut yang terletak di utara Perak boleh dianggap sebagai kubu kuat pembangkang kerana kekal dipertahankan sejal PRU-12 pada 2008.

Parlimen itu mempunyai 68,523 pengundi berdaftar dengan hampir 70 peratus pengundi Melayu, 26 peratus Cina dan lima peratus pengundi India.

Permatang Pauh (Pulau Pinang)

Adakah Parlimen ini kekal kerusi tradisi keluarga Anwar? Jawapannya ya!

Ini kerana anak sulung penyandang Parlimen PD itu, Nurul Izzah memberi bayangan akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-15.

Katanya, beliau secara peribadi mahu terus berkhidmat kepada rakyat di sana kerana ada beberapa perkara yang masih belum diselesaikannya.

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 2018 apabila memenangi PRU-14 dengan majoriti 15,668 undi.

Dia memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon BN, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PAS (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang Anwar atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1982.

Namun ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang kini menyertai BERSATU menyatakan kesediaan untuk mencabar Nurul Izzah.

Afif mendakwa Nurul Izzah tidak komited terhadap pengundinya.

“Di Permatang Pauh pula, majoriti Melayu yang berjaya, berpendidikan, saya tak nampak idea baru dibawa oleh Nurul Izzah.

“Bahkan ketika saya masih dalam PKR, sukar saya dapatkan komitmen beliau turun ke padang bersama masyarakat di Permatang Pauh,” katanya.

Namun tidak dinafikan PKR terlalu kuat di Permatang Pauh, tetapi apa sahaja boleh berlaku jika rakyat ingin melihat kawasan itu berubah.

Tasek Gelugor (Pulau Pinang)

Pada PRU-14, calon BN, Shabudin Yahaya berjaya mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas Timbalan Presiden PEJUANG, Datuk Marzuki Yahya apabila meraih kemenangan tipis dengan majoriti 81 undi.

Namun kali ini, Shabudin yang mengumumkan keluar UMNO pada Disember 2018 dan menyertai BERSATU pada 2019 mengumumkan tidak berhasrat bertanding pada PRU-15.

Katanya, keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa membabitkan isu perebutan kerusi bagi memberi laluan kepada calon muda.

Awal bulan ini, mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad membayangkan beliau masih berminat bertanding pada PRU-15 jika ditawarkan mana-mana parti untuk berbuat demikian.

Dan kerusi itu sudah tentunya Parlimen Tasek Gelugor kerana beliau aktif melakukan kerja kebajikan di kawasan itu sejak awal tahun ini.

Dalam pada itu, PAS turut sedia meletakkan calonnya bertanding di kerusi ini.

Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh, berkata PAS kawasan itu sudah mempunyai senarai muktamad calon untuk diletakkan di kerusi berkenaan.

Untuk rekod, PAS sudah tujuh kali bertanding di kerusi Parlimen itu sejak pilihan raya pada 1986, namun sehingga kini belum pernah memenangi kerusi berkenaan.

UMNO pula mencadangkan nama anak tempatan sebagai calon di kerusi tersebut.

Ketua Bahagiannya, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata, cadangan itu disyorkan susulan ramai ahli politik berminat untuk bertanding dengan alasan ia merupakan kawasan mudah untuk ditawan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan keyakinan bahawa UMNO mampu merampas semula kerusi ini pada PRU-15.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti itu akan berusaha bagi memastikan kerusi berkenaan menjadi milik UMNO semula.

Katanya, kepimpinan tertinggi UMNO telah menerima lebih daripada satu senarai nama calon bagi bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Kangar (Perlis)

Kerusi Parlimen ini berjaya dirampas PKR dari tangan BN pada PRU-14.

Calon PKR, Noor Amin Ahmad menewaskan Ramli Sharif dari BN dengan majoriti 5,603 undi.

Kerusi itu turut ditandingi calon PAS, Mohamad Zahid Ibrahim yang memperoleh 8,465 undi.

Kali ini, Kangar turut diintai Parti Warisan Sabah (WARISAN) sekali gus memberi bayangan kerusi tersebut akan menyaksikan saingan lebih empat penjuru.

Selain Kangar, WARISAN yang baharu bertapak di Perlis turut mengesahkan akan bertanding di Arau dan Padang serta enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Titi Tinggi, Mata Ayer, Kuala Perlis, Kayang, Pauh dan Simpang Empat. - Getaran, 20 Oktober 2022

Sorotan

1

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

2

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

3

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

4

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

5

Sungai Golok Surut, Tidak Mustahil Wujud Pangkalan Haram Baharu – Kastam

6

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

Disyorkan untuk anda

Semasa 22 jam yang lalu

Mangsa Nahas Helikopter Banyak Beri 'Petanda' Ketika Sambut Aidilfitri Di Kampung - Kakak

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 1 hari yang lalu

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

Semasa 1 hari yang lalu

SPRM Ke Riyadh Untuk Sahkan Surat Derma RM2.6 Bilion - Saksi 

Semasa 1 hari yang lalu

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut

oleh Diyana Nawwar