KUALA LUMPUR - Kepesatan teknologi maklumat (ICT) ketika ini bukan sahaja membawa anjakan baharu kepada kehidupan seharian, tetapi turut mempengaruhi gerak kerja parti politik tanah air.
Jika sebelum ini, penyebaran maklumat politik, atau dalam bahasa lainnya propaganda dilakukan menerusi media konvensional seperti akhbar, risalah atau secara lisan semata-mata, kini, kesemuanya boleh dibuat dalam talian, dengan tahap keberkesanan yang lebih tinggi.
Mungkin ramai masih mengingati filem pendek menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan penuh emosi bersama dua kanak-kanak.
Dalam video tersebut, seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Aisyah bertanya mengapa Dr Mahathir yang dipanggil Atuk, masih perlu bekerja.
"Kerana atuk perlu buat kerja berkenaan pemulihan negara kita, disebabkan oleh mungkin kesalahan atuk dulu dan keadaan yang ada sekarang," jawab Mahathir.
Filem pendek itu amat meruntun perasaan apabila menggunakan lagu Salam Terakhir sebagai latar belakang.
Ternyata, penggunaan filem tersebut sebagai medium pengiklanan mendapat perhatian orang ramai serta meninggalkan kesan yang signifikan kepada mereka.
Hasilnya pada PRU-14, sama ada secara kebetulan atau sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, sekali gus menyaksikan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Pasca PRU-15 pula menyaksikan kebangkitan gelombang 'Bossku' apabila mantan Perdana Menteri itu, Datuk Seri Najib Razak dilihat memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mengetengahkan naratif politiknya.
Kepesatan teknologi juga membuka ruang penambahbaikan capaian ahli politik kepada pengundi. Sebagai contoh, satu ceramah fizikal di kawasan perumahan tertentu boleh menarik kira-kira 2,000 pengundi sekitar, tetapi menerusi ceramah secara langsung di media sosial, capaiannya boleh mencapai puluhan atau ratusan ribu penonton.
Penggunaan platform ceramah dalam talian juga dilihat lebih selamat, mengambil kira risiko penularan pandemik. Ia juga mudah diakses dan boleh dianjurkan secara percuma.
Pengaplikasian ceramah menerusi platform media sosial juga boleh dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada November 2021.
Parti politik dari kedua-dua blok ketika itu memanfaatkan sepenuhnya ruangan dalam talian untuk menyampaikan ceramah pemimpin dan calon masing-masing, sekali gus menyaksikan satu pendekatan politik yang berbeza berbanding sebelum ini.
Pengiklanan politik di akhbar juga secara tidak langsung dipengaruhi elemen media sosial apabila majoriti mula beralih kepada pengiklanan jaringan media sosial atau social network advertising.
Aplikasi gergasi dilihat mula menawarkan khidmat pengiklanan, sebagai contoh, Facebook menawarkan Facebook Ads, dengan teknologi sasaran bagi membolehkan sesebuah iklan itu mencapai jumlah audien yang lebih spesifik.
Semasa menyiarkan iklan menerusi Facebook Ads Manager, pengiklan disediakan satu set ciri-ciri (characteristics) yang akan menentukan pasaran sasarannya, dikenali sebagai audience targeting.
Sasaran terperinci seumpama ini dilihat dapat membantu parti politik mendekati pengundi sasaran masing-masing terutama dari aspek lokaliti dan latar belakang.
Bagi parti politik berpangkalan di Sabah dan Sarawak, mereka boleh menyampaikan segala mesej merangkumi manifesto dan isu setempat kepada pembaca di Malaysia Timur, sekali gus mengelakkan sebarang pembaziran sumber.
Tidak dilupakan juga, kewujudan laskar siber atau cybertrooper di media sosial, yang ada dalam kalangan mereka diupah untuk mencetuskan persepsi tertentu, baik positif atau negatif.
Kekangan
Namun begitu, penggunaan media sosial sebagai platform untuk meraih sokongan pengundi dilihat turut diselubungi kekangan tertentu, khususnya aspek keboleh capaian Internet di kawasan pedalaman.
Ini ditambah dengan hakikat bahawa pengaplikasian semua teknologi baharu berkenaan tidak dapat menggantikan kemesraan kempen secara fizikal. Kehadiran seseorang calon di depan mata pengundi pastinya berbeza berbanding jika hanya melihat mereka melalui kaca televisyen atau telefon pintar.
Setiap risalah yang diedarkan secara fizikal bersama senyuman yang terukir mesra, sudah tentu akan memberi tarikan istimewa dan sentuhan peribadi kepada pengundi. Setiap walkabout oleh calon di kedai kopi misalnya, akan memberi kelebihan tertentu di pusat pengundian.
Sehubungan itu, wujud persoalan apakah kaedah berkempen secara dalam talian lebih berkesan atau sebaliknya? Atau, adakah kaedah hibrid, iaitu penggabungan kaedah berkempen secara dalam talian dan fizikal terbaik?
Getaran menyenaraikan beberapa platform media sosial yang boleh dimanfaatkan sebagai perkakas untuk berkempen bagi parti politik menjelang pilihan raya.

Malaysia kini memiliki 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini. Jumlah itu teramat besar dan sebahagian daripada mereka aktif menggunakan aplikasi Facebook.
Atas faktor itu, boleh dilihat majoriti parti politik aktif memanfaatkan laman sosial berkenaan dalam menarik perhatian pengguna.
Menerusi Facebook Ads, pengundi di kawasan tertentu boleh memperoleh hantaran bersifat lokal dari parti politik yang bertanding di kawasan mereka merangkumi manifesto, kad laporan pencapaian serta isu semasa.
Sebagai contoh, pada PRN Melaka tahun lalu, DAP dikatakan telah membelanjakan jumlah wang iklan Facebook terbanyak, seperti dilaporkan portal MalaysiaNow.
Pendekatan itu sekali gus mencerminkan anjakan baharu yang dipraktikkan oleh parti politik dalam memanfaatkan kepesatan teknologi dan hakikat bahawa majoriti rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet.
Menjelang PRU-15, pastinya laman Facebook akan menjadi antara pilihan utama, baik menerusi kandungan berbayar atau sebaliknya.

Laman Twitter membuka ruang kepada individu menciap apa sahaja dengan kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan muda. Menerusi Twitter, informasi bergerak sangat pantas dan mudah untuk dikongsi.
Susulan sifat semula jadinya yang memfokus kepada ciapan teks ringkas, Twitter juga menjadi medium popular terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Malah, menerusi jangkaan pertambahan sebanyak 7.8 juta pengundi baharu pada PRU-15, dan dengan 3.8 juta daripadanya mewakili golongan muda berusia 18 tahun, Twitter dijangka menjadi antara platform maklumat pilihan ramai pada pilihan raya akan datang.

Instagram menawarkan kandungan grafik yang lebih menonjol berbanding teks. Kandungan grafik pastinya memberi kelebihan kepada parti politik terutama dalam mengenengahkan pelbagai poster kempen, selain foto gerak kerja calon semasa tempoh berkempen.
Bertepatan dengan kepercayaan bahawa rakyat Malaysia lebih gemar menonton grafik dan video, kandungan yang diterbitkan daripada Instagram mampu menarik lebih perhatian.
Pada masa sama, Instagram juga menyediakan kemudahan pengiklanan.
YouTube

Laman media sosial berorientasikan video ini digunakan hampir semua rakyat Malaysia. Bukan sahaja menerusi telefon pintar, ia juga boleh diakses melalui televisyen pintar yang berperanan sama seperti televisyen, cuma lebih canggih.
Segala kandungan dalam laman tersebut boleh diakses dengan mudah. Bagi yang tidak melanggan akaun premium, tontonan mereka akan dimuatkan dengan beberapa siri iklan pada permulaan dan pertengahan video berkenaan.
Seperti Facebook, YouTube juga mempunyai kekuatan dalam penyiaran kandungan secara langsung, yang dilihat boleh digunakan untuk mengetengahkan video berkempen termasuk ceramah dan aktiviti turun padang.
TikTok

Media sosial terbaru yang mempunyai ramai pengikut ini mempunyai kelebihan dalam penyiaran video ringkas yang menghiburkan dan padat berinformasi. Parti politik dan pemimpin mereka boleh menggunakan TikTok untuk menyampaikan mesej melibatkan dasar negara dengan cara lebih segar, berbanding kaedah konservatif yang lazimnya membosankan.
Melalui TikTok, isu semasa yang 'berat' boleh disampaikan dalam bentuk lebih santai, bersahaja dan menghiburkan, sekali gus mampu menarik minat masyarakat untuk memahami perjuangan dan isu yang dibawa.
Antara pemimpin politik yang berjaya memanfaatkan platform ini ialah Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau dilihat pandai menggunakan TikTok untuk menyampaikan isu-isu politik semasa dengan cara yang menarik.
Seperti Twitter, TikTok turut popular dalam kalangan orang muda sekali gus menjadi antara platform maklumat pilihan bagi pengundi berumur 18 tahun ke atas negara pada PRU-15. – Getaran, 19 Oktober 2022
