web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


PRU-15: Hari Mengundi Diramal Pada 5 Atau 12 November

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Oct 2022 7:00AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas tanda tanya mengenai tarikh pembubaran Parlimen terjawab apabila Perdana Menteri mengumumkan ia berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, kini persoalan seterusnya tertumpu kepada bilakah hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Teka-teki itu bakal terjawab Khamis ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat berhubung pelaksanaan PRU-15, sekali gus akan memuktamadkan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Bagaimanapun, menjelang pengumuman itu, timbul spekulasi bahawa PRU-15 akan dilaksanakan sebelum pertengahan November, memandangkan menginjak ke minggu ketiga bulan berkenaan, ia dikatakan tidak sesuai berikutan Monsun Timur Laut diramal berlaku yang menyaksikan risiko cuaca lebih buruk, sehingga kemungkinan menyebabkan banjir besar.

Sekiranya dicongak tarikh di kalendar, waktu paling sesuai untuk diadakan hari membuang undi adalah pada 12 November ini kerana ia sudah merangkumi jangka masa penamaan calon dan berkempen yang ‘logik’.

Ia turut mencakupi tempoh kebiasaan diperlukan SPR untuk mengadakan pilihan raya bermula daripada tarikh pembubaran Parlimen hingga hari mengundi, iaitu empat minggu.

Tarikh 12 November Munasabah

Mengulas mengenai spekulasi itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan, tarikh 12 November sememangnya sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana ia memberi tempoh mencukupi untuk penamaan calon dan kempen dilaksanakan.

Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

“Saya rasa tempoh berkempen perlukan masa, tak boleh dipendekkan, kena paling kurang dua minggu. Kalau begitu jika kita tengok, selepas SPR buat pengumuman pada 20 Oktober ini, penamaan calon pula sekurang-kurangnya seminggu, iaitu hingga hujung minggu terbabit, itu secara kasar sudah 29 Oktober.

“Selepas itu kena beri masa dalam dua minggu (untuk berkempen), jadi lebih kurang sampai dekat 12 November, jadi tarikh 12 November itu sesuai lah kalau diadakan PRU-15,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Ditambah tarikh terbabit adalah pada Sabtu, Mohd Azizuddin berkata, ia pastinya lebih afdal untuk diadakan PRU-15, malah mengadakan pilihan raya pada hujung minggu memudahkan rakyat, terutama mereka yang bekerja lebih selesa keluar mengundi dan mengelakkan terpaksa mengambil cuti atau kerajaan negeri perlu mengisytiharkan cuti khas.

Namun, beliau tidak menolak sekiranya PRU-15 diadakan pada hari biasa kerana ia bukan kesalahan, malah pernah dipraktikkan pada pilihan raya terdahulu dengan menyaksikan kadar keluar mengundi tinggi.

Mohd Azizuddin berkata, apa paling penting adalah tempoh berkempen itu mesti sekurang-kurangnya dua minggu bagi memberi peluang kepada parti dan calon politik untuk meraih sokongan serta mempromosikan agenda masing-masing, terutama dalam masa sekarang yang dikatakan ramai individu muda akan ditampilkan sebagai calon.

“Walaupun mungkin nama parti sudah cukup dikenali dan dilihat banyak membantu rakyat sebelum kempen rasmi, harus diingat, pengundi bukan mengundi parti sahaja, hanya dalam 40 peratus undi parti, 60 peratus akan undi calon serta isu.

“Manifesto dan calon pun, terutama calon baharu hanya ditampilkan ketika tempoh berkempen, belum kira calon bebas dan sebagainya, jadi bagi saya persediaan dua minggu itu menerusi kempen memang penting,” katanya.

Dr Mohd Izani Mohd Zain
Dr Mohd Izani Mohd Zain

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain turut senada bahawa 12 November adalah tarikh munasabah untuk diadakan PRU-15 kerana ia tidak terlalu ‘awal atau lewat’.

Jelasnya, ia diperkukuh dengan cadangan pelbagai pihak supaya tarikh PRU-15 ditetapkan dalam tempoh sebulan selepas Parlimen dibubar, justeru ia bermaksud selewat-lewatnya pertengahan November.

“Bagaimanapun, saya rasa tempoh kempen tidaklah perlu terlalu lama, saya kira 10 hari itu ‘cantik’ lah sebab mengambil kira parti politik pun sudah memulakan kempen dan sekarang ini pun, dengan sosial media, mereka boleh meraih pengundi (walaupun sebelum kempen rasmi).

“Kalau lagi lama lagi ‘panas’, jadi 10 hari itu waktu munasabah dan sesuai, dilewatkan risiko tengkujuh, jika diawalkan kurang 14 hari tak mengapa, ia tidak beri masalah besar pun,” katanya.

Mohd Izani turut tidak menolak kemungkinan PRU-15 diadakan pada hari biasa kerana hak menentukan tarikh itu bergantung kepada SPR, tetapi beliau berharap pengundian ditetapkan pada hujung minggu atau hari cuti, bagi membolehkan semua orang melaksanakan tanggungjawab terbabit, terutama mereka yang berada di luar kawasan serta terpaksa merentas negeri.

“Sekiranya memang mahu buat pada hari biasa, sewajarnya beri cuti peristiwa kerana hari mengundi adalah hari penting yang akan menentukan masa depan negara, malah saya masih ingat lagi masa PRU-14, jatuh hari rabu, ada sesetengah kerajaan negeri bagi cuti peristiwa,” ujarnya.

Mungkin Juga Pada Minggu Pertama November

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjangkakan hari mengundi PRU-15 mungkin lebih awal, iaitu pada 5 November dan tempoh berkempen juga memadai tujuh hari.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Ditanya rasional di sebalik jangkaannya bahawa pengundian akan diadakan pada tarikh itu, beliau berkata selain mencakupi tempoh berkempen yang sesuai, ia adalah relevan kerana jatuh pada Sabtu, berbanding sekiranya ia diadakan pada Ahad, sudah semestinya menyukarkan pengundi bekerja atau berada di bandar untuk pulang mengundi di kampung halaman.

Tegasnya, walaupun jika tempoh berkempen lebih panjang dikatakan mampu memberi ruang demokrasi semakin banyak untuk parti politik menjalankan kempen, beliau menganggap tempoh seminggu mencukupi kerana kempen secara tidak rasmi sudah bermula dua tahun lalu sehingga kini, iaitu menerusi media sosial dan kempen rumah ke rumah.

“Macam kita lihat tahun lepas, ada bencana banjir yang menyaksikan parti politik turun dengan baju tertera logo parti masing-masing, itu sebenarnya secara tidak langsung adalah kempen, maksudnya seminggu atau kurang sepuluh hari untuk PRU-15 ini untuk memantapkan sahaja,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata, meskipun kuasa menetapkan tarikh penting PRU-15 terletak di tangan SPR, pihak suruhanjaya itu dan parti politik boleh berbincang antara satu sama lain untuk penetapan tarikh dirasakan sesuai kerana ia melibatkan ruang serta keselesaan pengundi keluar mengundi.

“Semestinya parti politik ada suara mereka untuk menyatakan perkara demikian kepada SPR dan saya berpandangan, SPR tidak ada masalah untuk mempertimbangkan, contohnya mengenai keselesaan pengundi atau tetapkan pada hari cuti hujung minggu kerana ia badan bebas dan boleh berfikir serta berbincang dengan semua pihak, bukan dikawal mana-mana parti politik ataupun dikawal langsung kerajaan,” katanya.

Dr Wong Chin Huat
Dr Wong Chin Huat

Penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, undang-undang menetapkan bahawa tempoh berkempen untuk pilihan raya mestilah tidak kurang dari 11 hari, bermula hari penamaan calon, manakala pengeluaran writ mesti berlaku empat hari sebelum hari penamaan itu, sekali gus memerlukan 15 hari daripada pengeluaran writ kepada hari pengundian.

Menurutnya, jika writ dikeluarkan pada 21 Oktober, iaitu sehari selepas SPR bermesyuarat, penamaan calon paling awal boleh diadakan pada 25 Oktober atau hari kelima selepas itu dan hari pengundian boleh berlaku paling awal pada 5 November atau hari ke-16.

Jangan Ulang #UndiRabu

Berhubung tarikh pengundian, Chin Huat berkata, pengulangan penetapan hari mengundi pada hari biasa dan bukan hujung minggu, seperti Rabu semasa PRU-14 akan dilihat sebagai berniat jahat dan mengundang kemarahan rakyat.

“Tarikh pengundian mesti dipilih dengan mengambil kira kesiapsediaan untuk membolehkan kempen dan pelaksanaan pengundian, termasuk undi pos dibuat dengan baik,” jelasnya.

Sejarah Di Sebalik Pilihan Raya Malaysia

Sementara itu, mengimbau sejarah sistem pilihan raya umum (PRU) di Malaysia, ia diadakan buat pertama kali pada 27 Julai 1955 dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya perlu diadakan sekali dalam tempoh lima tahun.

Sejak tahun 1957 pula, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Malaysia menggunakan sistem berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’, iaitu calon memperoleh majoriti diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya.

PRU diadakan apabila Parlimen atau DUN dibubar atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh lima tahun.

Memetik laporan Berita Harian, mantan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar memaklumkan, SPR memerlukan tempoh sekurang-kurangnya empat minggu untuk menganjurkan sesebuah PRU, selepas tarikh Parlimen dibubar.

Katanya, tempoh itu dianggap mencukupi untuk memberi ruang kepada suruhanjaya berkenaan menguruskan pelbagai persiapan dan keperluan berkaitan pilihan raya.

Bercakap berdasarkan pengalaman, beliau berkata, ia adalah amalan biasa dipraktikkan SPR sejak sekian lama.

“Kebiasaannya SPR sudah buat persiapan awal. Jadi apabila sudah bubar Parlimen, bermula dari tarikh pembubaran, paling baiknya SPR memerlukan dalam empat minggu.

“Tempoh itu mencukupi untuk pelbagai urusan mengambil kira tarikh keluar writ pilihan raya kepada pegawai pengurus di seluruh negara, tarikh keluar notis pilihan raya iaitu empat hari selepas writ dikeluarkan, menentukan tarikh penamaan calon serta tempoh berkempen,” katanya.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, kebiasaannya apabila masuk tahun keempat penggal Parlimen, semua agensi kerajaan, terutama SPR hanya memberi fokus membuat persiapan pilihan raya.

“Apabila masuk tahun keempat itu, pertama sekali SPR akan mencari bajet daripada Kementerian Kewangan, membuat pelantikan petugas pilihan raya di seluruh negara dan melaksanakan program latihan,” katanya. - Getaran, 19 Oktober 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 13 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Singapura 1 tahun yang lalu

Singapura Bubar Parlimen Menjelang Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon 23 April

3

Luar Negara 1 tahun yang lalu

Parti Buruh Britain Dijangka Menang Pilihan Raya

4

Luar Negara 2 tahun yang lalu

Parti Modi Gagal Peroleh Majoriti Mudah Setakat Ini

Sorotan

1

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

3

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

4

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

5

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

6

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

Disyorkan untuk anda

Politik 13 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

Luar Negara 14 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

oleh Sophia Ahmad

Politik 7 jam yang lalu

Wajah Baharu UMNO Negeri Sembilan, Apakah Masih Dibayangi Pemimpin Dilingkari Kontroversi?

oleh Sophia Ahmad