KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) akan mengetengahkan 80 peratus muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia termasuk calon yang mempunyai pengalaman.
“PRU-15 amat penting bagi GERAKAN untuk terus bergerak ke hadapan bersama-sama dalam perjuangan Perikatan Nasional(PN) membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat di Ipoh, Perak hari ini.
Dominic berkata, GERAKAN juga mensasarkan bertanding lebih daripada tiga kerusi Parlimen.
Malah, katanya, perbincangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah selesai diadakan di peringkat Jawatankuasa Pusat GERAKAN dan kini hanya menunggu ia dilaksanakan Majlis Tertinggi PN.
“Mengenai kerusi tradisi, iaitu Parlimen Taiping dan Parlimen Teluk Intan, ia bukanlah menjadi perkara utama pada PRU-15, tetapi apa yang penting bagi GERAKAN adalah kemenangan PN,” katanya.
Dalam pada itu, Dominic berkata, persidangan perwakilan nasional GERAKAN yang dijadualkan berlangsung November ini, ditangguhkan.
“Tarikh baru akan diumumkan.
“Penangguhan tersebut kerana kita ingin memberi fokus sepenuhnya terhadap kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi GERAKAN,” katanya. – Getaran, 15 Oktober 2022

