KUALA LUMPUR - Pulau Pinang mengambil pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Perkara itu turut didebatkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada mesyuarat pagi tadi dan memutuskan Pulau Pinang, wajar berpegang kepada keputusan gabungan tersebut untuk tidak membubarkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Loke berkata, beliau tahu keputusan berkenaan akan mengecewakan sesetengah pihak, namun ia perlu dilakukan atau PH akan dilihat saling bercanggah dalam membuat keputusan.
“Kalau kita membuat keputusan bubarkan (DUN Pulau Pinang) tetapi DUN Selangor dan Negeri Sembilan tidak, itu akan diterjemahkan sebagai satu keputusan yang memecahkan PH, iaitu keputusan berlainan dalam negeri PH,” katanya pada sidang media hari ini.
Jelas Loke, keadaan itu akan menjadi senjata atau peluru kepada musuh PH untuk menggambarkan seolah-olah blok berkenaan tidak boleh bersatu dan buat keputusan secara kolektif.
“Kita faham ‘backlash’ (kemarahan). Sebab itu dalam keadaan begitu genting sekarang, dalam masa sebulan kita akan adakan PRU-15, saya sebagai Setiausaha Agung perlu buat keputusan,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, aspek perpaduan dan keutuhan PH dalam memasuki PRU-15 adalah penting, justeru, sebarang gambaran bahawa wujud keretakan dalam gabungan politik tersebut perlu dielakkan.
Beliau berkata, isu pembubaran berkenaan sudah beberapa kali dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
Menurutnya, DAP Pulau Pinang sememangnya telah bersuara supaya diberi kelonggaran untuk membubarkan DUN.
“Ada hujah-hujah mereka, ada juga permintaan daripada pengundi-pengundi mereka supaya tidak perlu mengundi dua kali. Saya amat memahami perkara tersebut,” katanya.
Namun begitu, tambahnya, sebagai Setiausaha Agung, beliau perlu membuat satu keputusan yang agak sukar dan terpaksa mengecewakan rakannya di Pulau Pinang.
Keputusan sama ada Pulau Pinang akan mengikut jejak negeri PH lain yang tidak membubarkan DUN masing-masing serentak dengan PRU-15 di peringkat Parlimen, menjadi tanda tanya banyak pihak sebelum ini. - Getaran, 15 Oktober 2022

