KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) dijangka melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Konvensyen Harapan yang diadakan di Ipoh Convention Center (ICC), Perak, pada 20 Oktober ini.
Selain manifesto, gabungan tersebut turut dijangka mengumumkan keputusan pembahagian kerusi dan tema pilihan raya pada konvensyen berkenaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua perkara berkaitan termasuk hal ehwal manifesto dan pengagihan kerusi antara parti komponen perlu dimuktamadkan sebelum konvensyen terbabit.
"Kita akan melancarkan manifesto dan mengumumkan pembahagian kerusi, iaitu parti mana lawan dekat mana. Pembahagian mesti diumumkan pada 20 Oktober. Itu adalah persiapan yang baik sebab (Suruhanjaya Pilihan Raya) umum sahaja bila penamaan calon, kita sudah boleh umum keputusan kita.
"Jadi, dari sekarang hingga 20 Oktober, kita ada tempoh beberapa hari, maka apa yang belum muktamad kena muktamadkan (termasuk) pembahagian kerusi, manifesto, tema dan sebagainya. Itu semuanya akan dimuktamadkan sebelum 20 Oktober.
Pada malam 20 Oktober, kita akan membuat pengumuman di Ipoh," katanya ketika menjadi tetamu sebuah program bual bicara di media sosial baru-baru ini.
Hari ini, media sosial PH dan parti-parti komponennya telah berkongsi butiran berhubung konvensyen itu yang dijangka bermula pada jam 7.30 malam.
Jelas hantaran berkenaan, Konvensyen Harapan kali ini sangat penting kerana ia berlaku dalam suasana Dewan Rakyat telah dibubarkan dan PRU-15 akan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Konvensyen ini juga bakal menonjolkan kesiapsiagaan dan kesediaan seluruh jentera Harapan untuk mendepani PRU15. Ayuh, kita hadir beramai-ramai," katanya. - Getaran, 15 oktober 2022

