KUCHING - Menghadapi satu lagi pilihan raya - semuanya dalam tempoh 12 bulan selepas pilihan raya negeri (PRN), Disember lalu - nampaknya telah memenatkan rakyat Sarawak.
Bercakap kepada kepada The Vibes, pemerhati dan pakar politik, Datuk Peter Minos berkata, dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan semasa musim hujan pada November, juga menjadikan rakyat negeri itu seolah-olah hilang keterujaan.
“Saya tidak nampak sebarang keterujaan dalam kalangan pengundi. 'Mood' sangat rendah. Ramai yang berharap pilihan raya umum diadakan selepas musim tengkujuh pada Februari atau Mac tahun depan.
“Lebih-lebih lagi, ia diadakan hampir sejurus selepas pengumuman Bajet 2023, dengan negeri hanya diperuntukkan RM5.4 bilion, turut melemahkan sentimen pengundi di sini," katanya.
Beliau berkata, apa yang selalu didengari pengundi daripada ahli politik adalah perbalahan, retorik dan tadbir urus yang lemah di peringkat Persekutuan.
Penganalisis itu menegaskan, rakyat baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19, yang membelenggu dan menjejaskan negara selama dua tahun.
Menurutnya, tumpuan semasa sepatutnya diberikan kepada usaha untuk kembali ke landasan betul dan menyelesaikan isu asas rakyat terlebih dahulu termasuk dalam aspek pekerjaan, bukannya memikirkan soal politik dan peti undi.
Walau bagaimanapun, di sebalik keraguan orang ramai mengenai pilihan raya akan datang, pemimpin Bidayuh itu berharap, tidak akan berlaku hujan lebat dan banjir pada hari pengundian.
“Adalah menjadi hasrat saya agar rakyat keluar mengundi dan semua langkah keselamatan mesti disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pengundi mesti menggunakan hak sebagai rakyat untuk memilih kerajaan mereka," katanya.
Minos juga meramalkan kemenangan yang memberangsangkan untuk GPS.
Selain itu, beliau turut meramalkan rakyat Sarawak bakal memberikan gabungan pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kemenangan yang besar, manakala semua parti yang berpangkalan di Semenanjung termasuk Pakatan Harapan 'diabaikan'.
“Pengundi di sini memegang sentimen 'Sarawak First'.
“Sudah 'sebati' dalam fikiran rakyat Sarawak bahawa mereka telah dilayan secara tidak adil di peringkat Persekutuan. Terdapat banyak kawasan yang memerlukan dan pengundi akan memandang kepada gabungan GPS untuk memperbetulkan buat mereka."
Oleh itu, katanya, rakyat Sarawak melihat GPS sebagai penjaga dan pemimpin mereka manakala parti seperti DAP dan PKR dilihat kurang menarik minat pengundi.
Malah, Parti Sarawak Baru tambahnya, bergelut untuk mendapatkan sokongan berbanding GPS yang telah memberikan persepsi satu barisan yang kuat, berdisiplin dan bersatu padu.
“Gabungan itu mempunyai rekod prestasi untuk ditunjukkan, sejak beberapa tahun lalu,” katanya sambil menambah bahawa mereka menguasai semua kerusi Parlimen majoriti Bidayuh kecuali Mas Gading.
Mas Gading disandang oleh Mordi Bimol dari DAP yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 dalam pertembungan dua penjuru menentang Datuk Anthony Nogeh Gumbek dari Parti Demokratik Progresif (PDP) dengan majoriti 3,024 undi.
Kerusi Parlimen Serian disandang oleh Datuk Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parlimen Puncak Borneo disandang olej Datuk Willie Mongin yang baru-baru ini melompat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke parti komponen GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB).
“Saya yakin Mas Gading akan dimenangi GPS pada PRU-15 nanti,” katanya. – The Vibes, 15 Oktober 2022